Mini USR@Kg Kundang A : Orang Asli perlukan pembelaan

Penulis di Papan Tanda Kampung Kundang A, Rompin, Pahang

Pada 8 Disember 2010, sekitar jam 1300, saya bersama dua rakan saya, Nurfarhana Bt Eusoff dan Iqbal Tajudin Asyraf diberi tugasan untuk melakukan khidmat sosial bersama orang Asli di kawasan Muadzam Shah, Rompin, Pahang. Atas cadangan pemamdu teksi di kawasan perhentian bas Muadzam Shah, kami telah dibawa ke Kampung Orang Asli, Kampung Kundang A, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.

Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 20 minit daripada perhentian bas Muadzam Shah, perjalanan ke Kampung Kundang A disajikan dengan pemandangan hutan belantara dan juga kawasan pertanian kelapa sawit dan juga getah.

Setibanya di sana, kami bertanyakan penduduk kampung rumah Tok Batin dan terus berjumpa dengan beliau. Sepanjang perjalanan berjalan kaki ke rumah Tok Batin yang terletak kira-kira 1 kilometer daripada simpang masuk ke kampung ini, kami disajikan dengan pandangan yang cukup asing bagi kami sebagai orang bandar. Jalan tar yang berturap terdapat najis merata-rata, anjing berkeliaran, kanak-kanak yang ramai tidak berbaju (berbogel) dan tidak kurang juga orang dewasa yang hanya bercawat dan bertuala.

Surau Kampung Kundang A, Rompin, Pahang.

Khidmat sosial kami bermula dengan berjumpa Penolong Tok Batin dan menyampaikan dua bungkusan sumbangan yang mengandungi beras, minyak masak, gula dan juga tin susu untuk disedekahkan kepada keluarga orang asli yang memerlukan. Sumbangan telah diterima oleh Penolong Tok Batin yang mewakili Tok Batin, Encik Ayu bin Gadung dan disaksikan sebilangan orang kampung yang kebetulan ada di sekitar rumah Tok Batin.

Seterusnya, kami mengadakan sesi dialog bersama orang kampung yang diterajui oleh saya sendiri bagi mengetahui kisah di sebalik kampung orang asli ini. Encik Abd Hamid Abdullah @ Rani telah bertindak selaku jurucakap kampung pada sesi ini.

Menurut beliau, suku yang menetap di kampung ini adalah daripada keturunan Jakun. Sejarah kampung di tapat kini bermula kira-kira 4 tahun yang lalu. Dengan jumlah penduduk lebih kurang 300 orang, majoriti yang menghuni kampung ini adalah kanak-kanak dan agama yang dianuti oleh penduduk kampung adalah Kristian, Islam dan Atheis ( Tidak beragama ).

Geografi kampung ini terletak betul-betul bersebelahan jalan utama Muadzam Shah-Rompin, malangnya di kampung ini hanya menikmati bekalan air sahaja. Walaupun terdapat tiang elektrik di simpang jalan yang menghubungkan jalan utama Rompin-Muadzam Shah dan kampung ini, namun orang asli di sini bergelap kerana tiada bekalan elektrik.

Penulis dan rakan-rakan menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas kepada Penolong Tok Batin, Encik Ayu bin Gadung.


Sumber pendapatan penduduk kampung di sini adalah mencari hasil hutan seperti damar dan juga rotan serta menghasilkan kraftangan daripada hasil-hasil hutan.

Bercerita mengenai isu semasa yang berlaku di kampung ini, kampung ini tidak mendapat bekalan elektrik dan penduduk kampung amat berharap ihsan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk menyalurkan bekalan elekktrik untuk penduduk kampung di sini.

Selain itu, penduduk di kampung ini juga amat mengharapkan agar pihak-pihak berwajib mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak ataupun tadika untuk anak-anak orang asli di kampung ini. Penduduk orang asli telah mula sedar betapa pentingnya pendidikan dalam dunia kini. Sekolah dan tadika terdekat pula sangat jauh dan penduduk di sini tidak mempunyai pengangkutan atau wang untuk menghantar anak ke sekolah atau tadika. Oleh yang demikian, penduduk di kampung ini amat mengharapkan agar ada pihak yang sudi tampil untuk membantu penduduk di sini bagi memberikan pendidikan berkualiti dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan orang asli di Kampung Kundang A yang serba daif ini.

Isu tanah dan kebajikan orang asli ujar penduduk kampung seolah-olah dianaka tirikan oleh pihak yang berwajib. Hal ini demikian kerana, orang Asli sering kali cuba ditipu mengenai hal ehwal tanah dan diperkotak katikkan oleh pihak tertentu yang mahu merampas tanah orang asli. Penduduk kampung ini amat kesal dengan tindakan ini kerana pihak tersebut juga berani mempertikaikan hak orang asli yang sememangnya asal pribumi di Malaysia ini. Penduduk kampung amat berharap agar kerajaan negeri ataupun persekutuan tampil dan melindungi hak-hak orang asli kerana orang asli juga mempunyai kuasa undi, jadi mereka juga layak untuk menerima hak yang sama seperti yang diterima oleh rakyat Malaysia yang lain.

Penulis sedang beramah mesra bersama Penolong Tok Batin Kampung Kundang A, Rompin, Pahang.

Lebih mendukacitakan, kebanyakan orang kampung di sini tidak memiliki kad pengenalan dan surat beranak kerana tidak mampu untuk pergi ke bandar terdekat iaitu Pekan untuk membuat dokumen. Jika mampu, banyak pula karenah dan birokrasi yang duiperlukan dalam proses permohonan kad pengenalana dan surat beranak sehingga ramai daripada orang asli ini putus asa dan trauma dengan proses sepanjang permohonan dokumen penting itu.

Pada kesempatan itu juga, wakil kampung mengucapkan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan juga Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kerana sedikit sebanyak membantu orang kampung dan memberikan sumbangan kepada penduduk orang asli di sini.

Pertemuan selama sejam itu berjaya mencadangkan beberapa solusi terbaik yang boleh di ambil kerajaan untuk membantu orang asli di kampung ini.

1) Bagi memupuk minat anak-anak orang asli untuk belajar, kerajaan ataupun pihak berwajib seharusnya menubuhkan tadika dan sekolah khas untuk memberi pendidikan secara formal kepada orang asli. Seharusnya kerajaan perlu sedar bahawa sosio-budaya orang asli sangat berbeza dengan warganegara lain di Malaysia dan seharusnya pendekatan yang lebih khusus perlu diambil bagi mendekatkan pendidikan kepada generasi muda orang asli.

Penulis sedang menemu bual Penolong Tok Batin dalam sesi ramah mesra



2) Yang Berhormat dan wakil kerajaan negeri mahupun persekutuan seharusnya rajin untuk turun ke padang untuk mengetahui sendiri masalah penduduk orang asli di sini. Penduduk tidak mahu orang ketiga yang datang untuk ambil tahu hal ehwal penduduk kampung di sini dan akhirnya memanipulasi isu kampung untuk keuntungan diri sendiri.

3)Penduduk kampung amat mengharapkan jasa baik pihak kerajaan negeri atau pihak berwajib seperti JHEOA agar membina gerai-gerai di tepi jalan supaya penduduk kampung boleh menjual hasil kampung seperti buah dan kraftangan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan Rompin-Muadzam Shah.

Harapan penduduk di sini agar pihak berwajib terutama kerajaan Negeri dan Persekutuan peka dengan kebajikan orang asli di ceruk-ceruk desa dan tidak hanya menumpukan soal pemodenan semata-mata. Orang asli juga sebahagian daripada rakyat Malaysia, juga mengundi dalam pilihan raya, apakah seharusnya orang asli dilayan seperti anak tiri dalam negara sendiri? Tambahan, orang asli tidaklah meminta lebih seperti mana kaum-kaum lain di dada akhbar perdana setiap hari, tetapi janganlah hak asasi orang asli seperti tanah dan juga kebajikan asas dipinggirkan oleh pihak tertentu.

Akhir pertemuan, kami sempat beramah mesra bersama anak-anak orang asli sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kuantan untuk tugasan seterusnya dalam Advance Leadership Programme anjuran Pejabat HEMA UTM International Campus, Kuala Lumpur.


EmoticonEmoticon