• Tanggang Bukti Mustajab Doa si Ibu


    Nasi Sudah Menjadi Bubur - Sujud ampun tidak diterima ketika azab tuhan telahpun melanda, bala akibat derhaka pada ibu sendiri.

    Masyarakat Nusantara sememangnya kaya dengan cerita-cerita dongeng dan lisan yang mampu memberikan pengajaran yang terbaik buat generasi muda Nusantara. Sejak kecil lagi, kita telah disajikan dengan kisah-kisah dongeng sang Kancil dan Buaya, Kisah Kura-Kura dan Arnab dan tidak kurang juga kisah-kisah berat seperti Si Tanggang dan Batu Belah Batu Bertangkup. Pada nukialan kali ini, saya ingin berkongsi bersama rakan blogger mengenai kisah si anak yang menderhaka kepada ibunya, yakni kisah lagenda Si Tanggang. Kisah ini juga mempernyai beberapa versi iaitu di Brunei yang dikenali Nakhoda Manis dan di Indonesia iaitu Malin Kundang.

    Gambar Malin Kundang yang telah disumpah menjadi batu oleh ibunya di Sumatera, Indonesia. Inilah bukti kukuh wujudnya kisah Tanggang@Malin Kundang@Nakhoda Manis di Nusantara.

    Tanggang ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya, dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.

    Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955 . Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.

    Kisah ini lebih awal lagi telah dirakamkan pada 1900 dalam buku Malay Magic yang ditulis oleh Walter William Skeat sebagai satu cerita rakyat berjudul Charitra Megat Sajobang dalam buku Malay Magic (1900) ms 54-55 dicetak oleh The Macmillan Company : New York, yang diceritakan oleh orang Melayu Selangor Ulu Klang. Ia jelas membuktikan bahawa ia telahpun menjadi kisah rakyat pada akhir 1800-an lagi di Selangor.

    Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: jangan derhaka kepada orang tua. Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.

    Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.

    Trilogi Ceritera Tanggang@Nakhoda Manis@Malin Kundang

    Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

    Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

    Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

    Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

    Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

    Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

    Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi dia mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.

    Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

    Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

    Kesimpulan

    Sebagai seorang anak, kita haruslah menghormati ibu ayah kita. Tidak kiralah sejauh mana kita berjaya sekalipun, jasa ibu ayah masih tidak dapat menandingi sumbangan yang kita beri apabila sudah berjaya. Sama ada cerita ini benar ataupun dongeng, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memakbulkan doa ibu ayah dengan mustajab. Faktornya;

    1. Ibu dan ayah adalah orang yang membesarkan si anak

    2. Kerana doa orang yang teranaiya.

    Seharusnya, apabila kita menghayati kembali kisah si Tanggang ini, kita hendaklah bermuhasabah diri, apakah kita ini tergolong dalam golongan si Tanggang? Sebagai mahasiswa, ingatlah bahawa kita pergi ke IPT adalah untuk menuntut ilmu dan membela nasib keluarga di kemudian hari, bukannya untuk bersuka ria dan bersenang-lenang.

    Cerita si Tanggang adalah satu cerita lama yang diturunkan daripada penceritaan lisan oleh nenek moyang kita. Walaupun cerita ini boleh dikategorikan antik ataupun klasik, tetapi nilainya tetap segar dan releven untuk tatapan generasi kini dan juga akan datang.

    Salam bermuhasabah.

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan