• Sepak Takraw : Selamatkan Sukan Sepak Takraw Negara


    Sukan Paling Unik dan Sukar di Dunia : Sepak Takraw


    Sepak Takraw. Sebut sahaja nama sukan ini semestinya sudah tidak asing lagi untuk negara Malaysia. Sukan elit ini bukan sahaja diminati oleh rakyat Malaysia, malah ia merupakan legasi dan khazanah buat Asia Tenggara terutama Malaysia.

    Lihat sahaja pada namanya. Sepak itu asalnya daripada bahasa Melayu manakala Takraw diambil daripada bahasa Thai yang bermaksud Bola. Jelas, sukan ini merupakan pengiktirafan buat negara, bangsa Melayu dan rakyat Asia.

    Kehebatan sukan ini bukan hanya terletak pada nama, tetapi keunikan permainannya. Servisnya yang memerlukan badan yang kuat dan melentik, aksi-aksi akrobatik dalam menyambut dan melibas bola dan tidak kurang juga ketangkasan pemain telah menobatkan Sukan Sepak Takraw merupakan Sukan Paling sukar dan Unik di Dunia (Yahoo News - April 2011)


    Malangnya, sejak kebelakangan ini, prestasi sukan warisan kita ini semakin merudum. Terbaru, pasukan sepak takraw negara kita gagal untuk membawa pulang pingat emas dalam Temasya sukan SEA baru-baru ini. Jelas, ini merupakan satu petanda bahawa badan yang menjaga hal ehwal sukan sepak takraw negara kita, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu menilai dan merangka kembali strategi untuk memartabatkan sukan elit negara kita.


    FAM pernah mengalami zaman gelapnya apabila gagal untuk menghasilkan pemain yang berkualiti selepas era Mokhtar Dahari (Supermokh)

    Jika kita imbas kembali sorotan perkembangan sukan secara umum di Malaysia, ini bukanlah satu isu yang asing. Malah, sukan Bola Sepak di Malaysia pun yang kini semakin meningkat naik suatu ketika dahulu pernah dicaci dan dikritik kerana zaman gelap mereka akibat gagal memenangi sebarang pertandingan pada masa itu. Lantas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik dengan memperkemas strategi pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi, liga bola sepak tempatan dan juga mulai fokus untuk pembangunan bola sepak di peringkat sekolah. Jelas, usaha FAM sepanjang 5 tahun yang lepas berhasil.

    Saya masih ingat lagi bagaimana FAM dan juga NGO dan Syarikat Swasta berganding bahu dalam menerbitkan rancangan bola sepak realiti, My Team di TV3. Malah, bukan itu sahaja. Banyak lagi rancangan yang diperkenalkan atas inisiatif pelbagai pihak antaranya Play More, Learn More (Milo), Liga Bola Sepak KPM-100Plus, Futsal Varsiti FAM-KOSMO / FAM - Felda dan pelbagai lagi aktiviti pembangunan bola sepak diperingkat akar umbi. Malah, FAM telah menghantar tunas-tunas yang berpotensi untuk dibangunkan untuk mengikuti latihan intensif bola sepak di luar negara seperti di Slovakia dan Jepun.

    Lihat sahaja hasilnya, muncul pemain-pemain Bola Sepak dijulang wira seperti Khairul Fahmi Che Mat, Nazmi, K. Gurusamy, Baddrol Bahtiar dan ramai lagi yang berjaya memacu negara dalam pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa. Yang terbaru, mereka berjaya merangkul pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA di Indonesia yang lalu.



    Model pembangunan begini seharusnya diambil perhatian oleh PSM sekiranya mahu memulihkan maruah Sepak Takraw negara. Kebelakangan ini, muncul pihak-pihak tertentu yang tampil memberi tekanan kepada barisan kepimpinan PSM agar meletak jawatan. Bagi saya, ia bukanlah satu tindakan yang terbaik kerana saya yakin bahawa mereka yang dipilih menerajui PSM ini sudah semestinya mereka yang arif dalam sukan Sepak Takraw.

    Cadangan saya supaya PSM mengambil perhatian kepada beberapa perkara yang saya tegaskan di sini;

    1. Memantapkan lagi pembangunan akar umbi sukan Sepak Takraw diperingkat yang berpotensi untuk dicungkil
    - Sekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia)
    - Komuniti / Kawasan perumahan (PBT / NGO / KRT)
    - Kesatuan Sekerja (Pihak swasta / Kerajaan)

    2. Memperbanyakan bengkel-bengkel untuk meningkatkan mutu permainan sepak takraw.
    -cara ini telah dipraktikkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan FAM bagi meningkatkan mutu permainan negara

    3. Membanyakan lagi pertandingan peringkat dalaman untuk sukan sepak takraw
    - Kelemahan pengurusan persatuan sepak takraw negara kita jelas dilihat daripada kurangnya pertandingan diperingkat akar umbi

    4. Tingkatkan kerjasama untuk memajukan sepak takraw negara kita.
    - Saya lihat sukan ini begitu lasak dan ekstrem. Maka, tidak salah kiranya jika saya cadangkan pihak PSM adakan kerjasama dengan Persatuan Silat supaya pemain takraw boleh mempelajari silat supaya ketahanan mereka lebih mantap dan kuat. Tambahan pula, dalam silat akan mengajar pemain agar mendekati agama dan berbudi bahasa. Secara tak tangsung, pembangunan rohaniah dan sahsiah dapat diterapkan dalam sukan Sepak Takraw.



    Silat dilihat satu perkara yang penting dalam usaha pembangunan Sepak Takraw berikutan ketahanan dan juga kelincahannya. Ihsan : http://www.flickr.com/photos/zharie29_photography/4459259642/


    Kita lihat Thailand. Sehingga kini seni mempertahankan diri Tomoi semakin hari diterima umum berikutan penerusan masyarakat terhadap warisan nenek moyang mereka. Di Malaysia keadaannya berbeza. Tatkala terlalu taksub kejarkan pembangunan, seni mempertahankan diri seperti silat dipandang sepi oleh generasi kini. Oleh yang demikian, sepak takraw dan silat saya rasakan mempunyai elemen yang penting dan saling berkait.

    5. Perbanyakan Prasarana untuk Sukan Sepak Takraw di Negara Kita
    - Prasarana yang cukup secara tak langsung akan menarik minat belia / komuniti untuk bermain sukan ini kembali seperti mana usaha KBS memperbanyakkan gelanggang futsal untuk komuniti.

    InsyaAllah, saya cukup yakin dan percaya, sekiranya lima cadangan ini diambil perhatian oleh PSM, ia sedikit sebanyak dapat membantu usaha untuk meningkat mutu permainan sepak takraw negara, sekali gus meletakkan sukan tradisi ini seperti yang sepatutnya. Usaha ini seharusnya digerakkan secara berterusan dan sistematik. Usaha yang bermula pada hari ini insyaAllah akan membuatkan hasilnya akan datang. Jom kita bersama selamatkan Sukan Sepak Takraw Negara Kita!

  • You might also like

    1 ulasan:

    1. terima kasih coz beri info yang baik dan panduan saya untuk menjalankan kajian tentang sepak takraw.. :)

      BalasPadam