• MTM 11/12 - Teks Ucapan Alu-Aluan Mahasiswa Baru UTM 11/12

    Wan Muhammad Idham Wan Mahdi,
    Presiden Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya 2010/2011
    UTM International Campus, Kuala Lumpur


    Bismillahirrahmannirrahim

    Terima kasih saya ucapkan kepada Saudari Pengerusi Majlis.

    Yang saya hormati,
    Encik Mohd. Sharil bin Abdullah,
    Pemangku Pengetua, Kediaman Siswa Jaya,

    Yang dihormati,
    Darisan Majlis Felo,
    Kediaman Siswa Jaya,

    Yang dihormati,
    Encik Isa Mohamad,
    Pegawai Keselamatan Kediaman Siswa Jaya,

    Puan Maryam bt. Madon,
    Staf,
    Pusat Kesihatan UTM

    Yang dihormati,
    Saudara Muhammad Khairul Fitri bin Sarimin,
    Ketua Pengarah Minggu Transformasi Mahasiswa,
    Merangkap Naib Presiden 1 Kampus Antarabangsa,
    UTM,

    Barisan Majlis Tertinggi dan Ketua Jabatan,
    Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya,

    Barisan krew,
    Minggu Transformasi Mahasiswa

    dan seterusnya,
    mahasiswa-mahasiswi baru,
    program diploma sesi akademik 2011/2012,
    Kediaman Siswa Jaya, UTM International Campus, Kuala Lumpur.

    Assalamualaikum wrbh dan Salam Sejahtera.

    Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Illahi dapat kita sama-sama berkumpul dalam satu majlis yang penuh mahabbah (kasih sayang) iaitu Majlis Ramah Mesra bersama Pemangku Pengetua KSJ, Encik Mohd. sharil bin Abdullah pada malam ini.

    Terlebih dahulu, saya bersama seluruh warga kerja JKM KSJ mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada saudara dan saudari, mahasiswa baru KSJ kerana terpilih dan memilih untuk menjadi warga UTM dan bersama-sama menuntut ilmu ke suatu tahap yang lebih tinggi selepas hampir 13 tahun bersekolah. Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat datang dan amat mengalu-alukan warga baru KSJ kali ini.

    Hadirin sekalian,

    Kediaman Siswa Jaya (KSJ) dahulunya Kolej Kedua UTM merupakan salah sebuah kediaman untuk mahasiswa kanan menginap semasa sesi pengajian. Kapasiti KSJ mampu menampung sekurang-kurangnya 3000 orang mahasiswa dan yang menariknya tentang kolej ini adalah KSJ didiami oleh mahasiswa tempatan dan juga mahasiswa antarabangsa. Di sini, kita lihat bahawa KSJ sebenarnya adalah sebuah kediaman yang bertaraf antarabangsa kerana didiami semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

    Oleh yang demikian, sebagai mahasiswa KSJ, seharusnya kita mengambil peluang ini untuk mengenal, mempelajari dan menghayati pelbagai budaya yang ada dalam KSJ ini agar kita mampu menjadi mahasiswa bertaraf global, mampu mendepani perbezaan budaya dan adat resam pada masa hadapan.

    Hadirin sekalian,

    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak saudara/saudari untuk aktif dalam kegiatan kolej. Pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pihak KSJ dan JKM KSJ untuk menjadikan mahasiswa KSJ mempunyai semangat jati diri yang tinggi, mempunyai personaliti unggul serta mampu menjadi mahasiswa yang cemerlang pada agama, bangsa dan negara. Saya ingin menyeru kepada semua agar belajar bersungguh-sungguh dan dapatkan gred purata yang terbaik bagi setiap semester di samping turut sama aktif dalam menjayakan program kolej dan universiti amnya.

    Sekiranya saudara/saudari ada perkara atau apa-apa sahaja yang boleh kami bantu kecuali masalah kewangan, Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya dan pihak KSJ dengan hati terbuka akan membantu anda sebaik mungkin. Jangan segan silu untuk merujuk kepada kami, para felo dan juga Pemangku Pengetua KSJ sendiri. InsyaAllah, kami akan membantu sebaik yang mungkin.

    Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara / saudari mahasiswa baru KSJ 2011/2012 dan saya amat mengharapkan agar kalian bukan sahaja menjadi siswa cemerlang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga cemerlang dalam aktiviti luar bilik kuliah yang sesungguhnya menarik untuk diterokai. Ayuh kita menjadi mahasiswa proaktif.

    Sebelum saya menutup ucapan saya, terimalah serangkap pantun,

    Harapan rang tua tinggi digalas,
    Siswa KSJ cerah haluan,
    Salam perkenalan dihulur ikhlas,
    Moga akrab hidup berkawan.

    Sekian,

    Wabillahi taufiq wal hidayah,

    Wassalamualaikum wrbh.
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan