P. Ramlee Terus Unggul

Oleh Zieman dan M. Idham


Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee (1929-1973) disamping isterinya, Puan Sri Saloma

Ketiadaannya terasa kehilangannya, kehilangannya terasa kehadirannya….Itulah seniman agung kita Tan Sri P.Ramlee yang semasa hayatnya disifatkan sebagai seniman sejati kerana keperibadiannya yang luhur dan pengabdiannya pada seni tanpa mengira wang ringgit dan penat jerih.

Seniman agung yang mendahului ramai pelakon yang seangkatannya adalah seorang insan seni yang cukup luar biasa. Walaupun dia dipinjamkan 44 tahun sahaja untuk menabur bakti untuk insan seni, jasa yang ditinggalkan bukan kepalang.


Rumah Kelahiran Tan Sri P. Ramlee di Pulau Pinang

Allahyarham dilahirkan pada 22 Mac 1929 di 40A, Counter Hall, Penang, Malaya hasil perkongsian hidup seorang kelasi kapal dari Lho' Seumawe, Aceh Indonesia Teuku Nyak Putih Teuku Karim dengan Che Mah Hussein dari Kubang Buaya, Butterworth, Pulau Pinang.

P.Ramlee telah meninggalkan kita pada dini hari pada 29hb Mei, tahun 1973. Dan hari ini adalah ulang tahun kelahiran P Ramlee. Jika ditakdirkan Allahyarham P Ramlee terus hidup hingga ke hari ini, usianya sudah tentu menjangkau 81 tahun.

Selama hampir empat dekad itu jugalah, kegemilangan dan kehebatan Seniman Agung itu tiada pengganti. Karya yang dihasilkannya sama ada filem dan muzik terus menjadi bahan tontonan dan santapan jiwa. Mungkin benar kata orang, filem P.Ramlee akan terus ditonton buat selama-lamanya dan tetap relevan sampai bila-bila.


Salah sebuah filem P. Ramlee yang berjaya, Trilogi Bujang Lapok yang diarahkan oleh beliau sendiri dan dilakonkan oleh beliau, Aziz Sattar serta S. Shamsudin

Apa sahaja karya yang dihasilkannya sama ada filem dan muzik terus menjadi bahan tontontan dan santapan jiwa.

Filem komedinya seperti Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Labu Labi tidak pernah dijemu ditonton. Filem P. Ramlee dalam serba kekurangan tetap dikagumi dan akan terus ditonton buat selama-lamanya.

Kehilangan P Ramlee semakin terasa setiap tahun kerana belum ada lagi warga seni yang dapat menandingi kehebatannya. Sumbangan bakti dan pengorbanan yang dicurahkan insan ini bukan sedikit.

Ianya tetap mekar di hati peminatnya yang akan tetap mengkagumi dan merinduinya. Karya filem dan muziknya melangkaui sempadan perkauman, usia, geografi dan status. Seluruh Asia pada zamannya mengkagumi kehebatan P. Ramlee dan juga masterpiecenya.

Rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang, pendidikan dan budaya semuanya kagum dan mengakui keunggulan seniman agung ini kerana setiap sentuhan dari karya lagu, filem, nyanyian atau lawak semuanya istimewa. Bakat dan anugerah serta kelebihan yang diberi kepada P. Ramlee bukan sedikit. Bintang serba boleh ini akan terus menjadi idola dan inspirasi kepada generasi baru.

Ketokohan P.Ramlee telah mendapat pengiktirafan sebagai seniman kebanggaan masyarakat rantau Nusantara. Kita sering tertanya di manakah letaknya kehebatan insan yang bernama P.Ramlee ini? Mungkinkah kerana karya seninya melangkaui pemikiran ataupun keikhlasannya berkarya? Ataupun kerja kreatifnya yang bermutu tinggi cukup luar biasa.

Menurut pengarah filem veteran Datuk L.Krishnan, P.Ramlee adalah manusia yang cukup kreatif dan "simple."

"Walaupun dalam usia 20an, ketika industri perfileman Melayu didominasi pengarah dari India, P Ramlee membuktikan anak Melayu boleh menyaingi pengarah-pengarah dari India," kata Datuk Krisnan yang pernah tinggal serumah dengan P.Ramlee ketika seniman agung itu bercerai dengan seniwati Norizan.

Kata Datuk Krishnan lagi, P.Ramlee telah diberi kepercayaan mengarah filem Penarik Beca pada tahun 1955 dengan skrip yang ditulisnya sendiri. Dia mendapat keyakinan pemilik Malay Film Productions (Shaw Brothers) yang mengambilnya sebagai pengarah sejurus selepas itu.

Yang paling menarik tentang filem P.Ramlee adalah skripnya yang ringan, mudah dan bermakna bukannya seperti kebanyakkan skrip kita yang panjang dan berjela-jela seperti memberi khutbah.

Dia jujur dalam memberi pengajaran seperti kata sahabatnya seniman Aziz Sattar.


"P.Ramlee tidak suka menggunakan bahasa yang sukar dan berbelit-belit. Susun katanya sedap didengar, mudah difaham dan tidak seperti filem sekarang," kata Aziz Sattar yang menyifatkan P.Ramlee sebagai sahabat yang baik hati.

Menurut Aziz lagi, filem komedi arahan P.Ramlee bermutu tinggi seperti Tiga Abdul, Madu Tiga, Musang Berjanggut, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Kekuatan filem komedi P Ramlee kerana isi dan persembahannya yang bersahaja dan tidak dibuat-buat. Dalam lucu dan hilai tawa, semua filemnya mengajak penonton berfikir.

Sindiran sinis disulam dengan jenaka tetapi sarat dengan teguran merenung kehidupan. Bukannya syok sendiri macam sesetengah filem sekarang.

Sepanjang hayatnya, P. Ramlee mengarah dan berlakon dalam 64 filem dan menghasilkan lebih 200 lagu. Kehebatan dan pemikiran P. Ramlee terus menjadi bahan tulisan dan perbincangan menerusi majlis diskusi dan seminar, hinggalah membawa kepada penerbitan beberapa naskah buku yang ditulis oleh "peminat-peminatnya" seperti Tan Sri Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Hussain, Yusnor Ef dan Aimi Jarr. Khazanah P. Ramlee juga dikumpul dan pelihara dengan baik oleh peminatnya seperti Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak kini.

Namanya juga turut diabadikan di Jalan P. Ramlee, jalan yang bertentangan dengan menara berkembar paling tinggi di dunia, Menara Berkembar Petronas, Pawagam Mini P Ramlee, Auditorium P Ramlee dan penerbitan setem khas kenang-kenangan P. Ramlee oleh Pos Malaysia. Tetapi apapun majlis yang diadakan saban tahun baik tahlil atau pertandingan menyanyi lagu P Ramlee ataupun penerbitan semula lagunya dalam bentuk cakera padat (CD) serta pengedaran filemnya dalam format cakera padat video (VCD), semuanya masih tidak mencukupi.

Seharusnya, P. Ramlee dikenang sebagai Bapa Perfileman Malaysia dan juga Melayu. Legasi beliau dalam industri muzik tanah air melangkaui zaman. Jika kita lihat di negara-negara Barat ada pemuzik tersohor seperti Wolfgang Amedeus Mozart (Jerman) dan juga The Beatles (Britain), seharusnya kita meletakkan beliau sebegitu. Sesungguhnya, jasa beliau tiada tolok bandingnya, malah mungkin tiada siapa lagi anak seni kita mampu berada setahap dengan beliau ataupun menandingi pencapaian beliau yang cukup gemilang, bukan sahaja seantero Nusantara, malah Asia Pasifik.

P. Ramlee adalah insan istimewa dalam pentamadunan bangsa Melayu. Sebagai anak bangsa, seharusnya kita menghargai pusaka peninggalan anak Melayu sejati ini.

Ubahsuai daripada Artikel P. Ramlee Terus Unggul oleh Zieman dalam mstar.online (22 Mac 2006)


EmoticonEmoticon