Khazanah bernama P. Ramlee

Oleh Siti Ruqaiyah Hashim

Beberapa tahun lalu dalam ulasan Muzikal P. Ramlee (dalam majalah Pentas) saya merakam rasa terkilan kerana walaupun P. Ramlee seorang bintang tersohor dalam industri filem kita, tetapi belum ada sekerat pun penghargaan kepada beliau di layar perak.


Seniman Agung Melayu, P.Ramlee (1929-1973)

Selepas menonton dokumentari P. Ramlee terbitan Pesona Pictures di History Channel Astro, sambil menitiskan air mata saya menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Shuhaimi Baba menyatakan terima kasih dan tahniah saya kerana beliau telah melakukan keadilan kepada P. Ramlee dan ini sesuatu yang amat bermakna dan bersejarah dalam industri filem (lebih kepada industri seni sebenarnya) kita.

Selepas program Soal & Jawab di TV3, saya juga menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Datuk Ahmad A.Talib mengucapkan terima kasih kerana melakukan keadilan kepada Shuhaimi Baba dengan membawa pengarah wanita berwibawa dengan kredibiliti yang tidak sedikit dan bukan pengejar glamor ini ke kaca televisyen untuk bercakap dengan jujur tanpa merasa takut tentang dokumentari beliau mengenai khazanah Malaysia yang bernama P. Ramlee.

Semenjak tahun 1998 sewaktu Saloma masih hidup, Shuhaimi telah menyimpan keinginan untuk membuat filem tentang P. Ramlee. Kata Shuhaimi kepada saya, beliau merasa cukup lega selepas selesai membuat dokumentari ini kerana pernah berjanji kepada Allahyarham Nasir anak P. Ramlee untuk membuat filem atau dokumentari tentang seniman agung ini semenjak tahun 2000.

Kekurangan dana menyebabkan Shuhaimi tidak dapat memfilemkan kisah P. Ramlee lebih awal, walaupun ada hikmahnya saya kira kerana dokumentari ini mendapat slot di History Channel yang memastikan lebih ramai manusia di seluruh dunia menontonnya.

Cuma sayang, Nasir juga telah tiada untuk menonton filem tentang bapanya. Begitu rupanya hati budi orang-orang tertentu dalam menjaga khazanah berharga kita! Beberapa bulan yang lalu semasa Shuhaimi Baba dalam proses membuat dokumentari ini saya dijemput ke majlis makan malam di Saloma Bistro untuk mengutip dana untuk waris-waris P. Ramlee.

Ekoran daripada itu, beberapa minggu kemudian ada berita bahawa Universiti Lim Kok Wing telah menganugerahkan biasiswa kepada dua orang cucu P. Ramlee yang menuntut di situ.

Alhamdullilah, ada insan yang terasa, ada hati nurani yang terketuk, ada conscience yang cukup berasa perlu melakukan sesuatu untuk waris-waris yang masih hidup.

Belum ada seorang insan seni Melayu yang begitu hebat dominasinya dalam seni yang bukan saja terkenal di Singapura dan Malaysia, tetapi juga di Nusantara.

Idris Sardi penggesek biola tersohor Indonesia pernah mengakui kepada saya, beliau cukup senang bila memainkan lagu-lagu P. Ramlee dan tidak pernah merasakan keasingannya sebagai seorang komposer Melayu.

Mas Idris merasakan 'kesebatian' lagu-lagu ciptaan P. Ramlee dengan dirinya di mana juga beliau menggesek biola sama ada di New York, London, Paris, Prague atau lain-lain lokasi.

Hubungan emosi dan psikologi antara Idris Sardi dengan P. Ramlee ini cukup dalam malah sesiapa juga yang menonton beliau menggesek biola akan merasakan keistimewaan serta kuasa 'elektrik' yang terkandung di dalamnya.

Ramai yang berkata Idris Sardi akan menitiskan air mata P. Ramlee kalau beliau masih hidup dan mendengar lagunya Getaran Jiwa dimainkan dengan begitu kyusuk dan bertenaga sekali oleh Idris Sardi. Ia satu fenomena sebenarnya.

Saya sependapat dengan Shuhaimi bahawa kita menanggung beban rasa bersalah yang amat sangat terhadap P. Ramlee hingga ke hari ini kerana di akhir-akhir hayatnya, beliau terlantar, terbiar, 'dikhianati' dalam kemiskinan dan kekecewaan oleh orang-orang yang mahu 'mengecilkan' dirinya yang menjadi terlalu popular dan terlalu 'besar' kerana bakat seni yang dipunyainya.

Suatu ironi kehidupan yang sering dilalui oleh sesiapa juga yang merupakan figura larger than life seperti P. Ramlee. Dan hanya mereka yang pernah melalui perkara sebegini yang tahu bagaimana rasanya.

Lebih ironis, Shaw Brothers yang menaikkannya, menatang bagai minyak yang penuh dan memerah segala keringat dan kreativiti beliau tetapi menjatuhkannya sehingga kehilangan keyakinan, harga diri, depresif dan serangan penyakit jantung di umur 44 tahun.

Dan seperti kata Datuk Dr. Ahmad Nawab, ramai orang yang boleh membantu P. Ramlee untuk beliau terus berkarya, tetapi tidak siapa pun yang mahu menolongnya walaupun Sarimah dan HM Shah teman-teman rapatnya berusaha mengeluarkan modal tetapi segalanya telah terlambat.

Mungkin bukan saya seorang yang terkilan dan berjuta-juta rakyat Malaysia yang turut merasakannya, tetapi keterkilanan saya adalah kerana jauh di sudut hati apa yang berlaku kepada P. Ramlee sebenarnya tidak lebih daripada manifestasi situasi 'bumi dipijak milik orang!'

Dan betapa pun besar P. Ramlee itu, dominasi komersialisme dan ekonomi meletakkan orang seperti beliau di akhir hayatnya makan nasi berlaukkan telur goreng dan hanya Saloma yang mendapat tempat di RTM dan diberikan slot program hiburan bagi menampung kehidupan mereka.

Kisah hidup dan kemelaratan P. Ramlee serta keluarganya bukanlah kes terpencil dan satu-satunya berlaku di kalangan aktivis seni kita.

R. Azmi serta beberapa orang lain juga melalui perkara yang sama dan segalanya hanya menunjukkan fakta bahawa kita belum cukup pandai menghargai karyawan seni dan artis kita.

Mungkin kerana hampir semua orang memikirkan bahawa filem, lagu, teater itu hanya untuk hiburan dan tidak lebih daripada itu. Kesedaran kita tentang memanfaatkan seni untuk pembinaan jati-diri, pemikiran dan pengisian minda, emosi dan spiritual yang cukup perlu dalam pengembangan diri manusia masih belum cukup tinggi dan diyakini.

Pun begitu kitalah yang terus ketawa terbahak-bahak melihat parodi, metafora dan kesinisan P. Ramlee dalam Bujang Lapuk, Tiga Abdul dan Madu Tiga.

Lebih sepuluh tahun lalu Shuhaimi Baba membentangkan kertas kerja untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan meletakkan anggaran RM100 juta untuk pengembangan industri filem kita. Sejak tiga tahun lalu, dana serta bajet untuk kegiatan seni telah berlipat ganda diberikan.

Pada tahun 2009, RM100 juta diperuntukan, diikuti RM200 juta bagi tahun 2010 dan tahun hadapan juga diperuntukan RM200 juta. Jumlah yang cukup besar dan pasti penggiat seni negara ini berpuas hati dengan komitmen kerajaan terhadap mereka.

Pun begitu, tidak bolehkah kita ikhtiarkan sesuatu yang lebih terjamin, berjangka panjang, sistematik dan khusus untuk menjaga kebajikan artis? Ketepikanlah RM10 juta untuk apa juga skim yang sesuai untuk menjaga kebajikan mereka. Biarlah tragedi yang menimpa P. Ramlee menjadi yang terakhir dan diingati sampai bila-bila bersama kemashyuran serta kesenimanannya.

Malah masih banyak yang boleh dilakukan untuk waris dan keluarga beliau yang tinggal. Kita mungkin tidak akan dapat berbuat apa-apa tentang hak cipta filem-filem beliau yang masih menjadi harta Shaw Brothers, tetapi lain-lain bentuk bantuan dan kemudahan untuk menyenangkan kehidupan ahli keluarga beliau serta artis-artis lain pasti lebih bermakna.

Walaupun skim bantuan untuk artis yang memerlukan ada tetapi apakah RM10,000 mencukupi untuk meringankan beban artis dan karyawan seni yang dalam keadaan daif, ditimpa bencana dan keuzuran. Saya mencadangkan satu yayasan dibentuk untuk tujuan ini dan tidak keterlaluan kalau ia dinamakan Yayasan P. Ramlee.

Penulis ialah ahli Persatuan Penulis Selangor - kerabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).

Sumber : Utusan Malaysia 15/11/2010


EmoticonEmoticon