Tribute Istimewa P.Ramlee @ Cak-LemponG!

"....Getaran jiwa
Menlanda hatiku
Tersusun nada
Irama dan lagu

Walau hanya sederhana
Tetapi tak mengapa
Moga dapat membangkitkan
Sedarlah kamu wahai insan

Tak mungkin hilang
Irama dan lagu
Bagaikan kembang
Sentiasa bermadu

Andai dipisah
Lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa
Hampa....."

Muzik merupakan intrepretasi seni dan juga jiwa budaya sebuah bangsa. Malah, muzik juga mampu mencerminkan bagaimana tatabudaya atau lebih tepat lagi, sosio-budaya sesebuah masyarakat bertamadun. Lirik di atas diambil daripada lagu "Getaran Jiwa" karya P. Ramlee pada tahun 1960 dan merupakan salah sebuah lagu tema untuk filem Antara Dua Darjat arahan beliau. Jelas, beliau sedar bahawa muzik dan juga manusia tidak dapat dipisahkan bahawa ia adalah lumrah alam.


Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee (1929-1973), Seniman Agung Negara

Bercerita tentang muzik dan seni, pada bulan ini, CaK-LemPonG! dengan rendah hati dan syukur akan mengingati sumbangan seorang ikon seni tanah air yang tersohor, Allahyarham Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee (1929-1973) yang merupakan seorang artis serba boleh. Beliau merupakan seorang pelakon, pelawak, penulis lagu, komposer dan pengarah filem yang tersohor, bukan sahaja di Malaysia malah di seantero Asia.

Beliau merupakan anak kelahiran Pulau Pinang, bakat beliau mula terserlah apabila berjaya memenangi pertandingan menyanyi anjuran Radio Penang pada tahun 1947. Kemudian, beliau meluaskan karier beliau di Singapura apabila menjadi artis untuk produksi Shaw Brothers. Filem pertama lakonan beliau adalah filem "Chinta" pada tahun 1948 sebagai watak pembantu. Kemudiannya nama beliau popular setelah menjadi watak utama bagi beberapa filem sehinggakan menjadi anak emas bagi Shaw Brothers.

Beliau juga meraih beberapa anugerah antarabangsa melalui karya beliau seperti Anakku Sazali (1967), Hang Tuah (1956), Ibu Mertuaku (1963), Madu tiga (1964), Nujum Pak Belalang (1960), Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Sumpah Orang Minyak (1958) di Festival Filem Asia. Sesungguhnya pencapaian anak kelahiran Pulau Pinang ini memang tiada tolok bandingnya berbanding mana-mana artis Melayu sezamannya hinggalah kini. Memang benar kata Tun Razak semasa kematian beliau pada 1973, P. Ramlee tiada tolok banding bakatnya. Malaysia mungkin tidak akan ada lagi bintang seperti P. Ramlee selepas ini.

Oleh yang demikian, sepanjang bulan ini, Cak-LemponG! akan mendekati bintang yang bersinar terang di angkasa ini. P. Ramlee, seorang ikonik Malaysia, pernah melayari zaman kegemilangan di Singapura sebelum terperosok dalam zaman yang gelap di Kuala Lumpur sebelum diangkat semula nama beliau. Itupun selepas beliau pergi buat selama-lamanya kerana kita mula menyedari bakat dan juga sumbangannya tiada tolok bandingnya pada industri seni negara.

"Karya seni adalah satu daripada kerja Tuhan. Oleh itu, buatlah bersungguh-sungguh dengan penuh kejujuran"

Petikan ucapan Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee (A.M.N) 1929-1973


EmoticonEmoticon