Langit Tidak Selalunya Cerah

Assalamualaikum wrbh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, saya masih lagi diberikan nafas, masa dan juga minda untuk sama-sama berkongsi idea dan juga perasaan bersama anda semua. Sesungguhnya, nikmat hidup ini amat bermakna nilainya selepas nikmat Islam dan Iman itu sendiri. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam perlu menghargai setiap detik dan saat kita hidup ini dengan sebaiknya.

"Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
(Begitu aturan Tuhan)

Jadilah rumput nan lemah lembut
Tak luruh dipukul ribut
Bagai karang di dasar lautan
Tak terusik dilanda badai

Dalam suka hitunglah kesyukuranmu
Dalam senang awasi kealfaanmu
Setitis derita melanda
Segunung kurniaanNya


Usah mengharapkan ke segalanya
Dalam perjuangan penuh pengorbanan

Usah dendam berpanjangan

Maafkan kesalahan insan

(Begitu ajaran Tuhan)

Hasbiallah, Hasbunallah

HasbiRabbi jalallahu

Ya Allah

Dalam diam taburkanlah baktimu

Dalam tenang buangkanlah amarahmu
Suburkanlah sifat sabar
(Di) dalam jiwamu itu"

Hijjaz - Lukisan Alam


Pada kali ini, entri saya adalah bertajuk langit tidak selalunya cerah. Saya mulakan entri saya ini dengan lirik daripada kumpulan nasyid yang saya minati, Hijjaz. Bait lirik ini sangat tepat mengambarkan hakikat hidup kita yang sentiasa ada saat turun naik dan suka duka dalam kehidupan seharian.

Memang benar apa yang dikatakan orang, hidup ini umpama roda. Ada kalanya kita berada di atas, ada kalanya kita berada di bawah. Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Nasib kita sebenarnya semuanya ditentukan tuhan yang Esa, Allah SWT. Kita hanya punyai tenaga dan juga doa untuk mengubah ketentuan Illahi.


Sepanjang minggu lepas hingga ke hari ini, fikiran saya agak terganggu dengan perkhabaran yang tidak baik sekeliling saya. Teman baik saya, Shahrul Nizam mengalami kemalangan jalan raya dan kini terlantar di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Aina juga dimasukkan ke hospital akibat demam denggi. Dan pada hari ini, saya sedikit tersentuh apabila seorang sahabat di tempat kerja saya maut akibat kemalangan jalan raya. Inalillah wa inailaihi rajiiun. Sesungguhnya setiap ketentuan Allah itu pasti ada hikmah sebaliknya. Al-fatihah. Semoga rakan saya yang sedang sakit sembuh dengan secepat mungkin dan yang telah kembali itu ditempatkan bersama para solehin. Amin.

Hidup ini penuh dengan warna warni, tidak tergambar dengan kata-kata. Setiap hari pasti akan berlaku sesuatu perkara yang mampu memberikan impak kepada kita walaupun kecil. Kita kena sedar bahawa hidup ini merupakan tutorial untuk menjadi insan yang berguna dan hamba yang tinggi pangkatnya bukan sahaja di sisi manusia, tetapi Allah Azawajallah yang penting. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi babak seterusnya dalam hidup kita kelak.

Pernahkah kita terfikir bila akan tiba masanya kita menjadi tetamu Allah? Secara jujurnya saya ada terfikir, tapi malangnya saya sering terlupa dan alpa mengenai perkara yang dijamin 100% oleh Allah SWT itu. Itu sebenarnya menampakkan kelemahan saya, dan saya perlu tingkatkan iman saya dengan amal ibadat dan juga peribadi terpuji. (Ya Allah, permudahkanlah urusanku dan juga semua yang berusaha ke arah itu). Akhir kata, saya menyeru semua rakan-rakan saya berjihad, bukan sahaja berjihad secara fizikal tetapi secara mental dan spiritual.



EmoticonEmoticon