• Review : Meter pt 1 - Isu Bola Sepak




    Kita bertemu kembali dan berbicara di dalam blog ini. Pada catatan saya kali ini, saya ingin mengajak rakan-rakan saya melihat filem pendek di atas yang bertajuk, 'Meter' arahan seorang pengarah amatur, Lim Benji. Secara jujurnya filem berdurasi 7 minit 35 saat ini banyak menyindir apa yang berlaku di negara kita sekarang tetapi sindirannya agak membina. Tahniah kepada Lim selaku pengarah filem pendek ini.

    Filem ini bukanlah filem yang popular, dibintangi oleh pelakon yang hebat-hebat seperti Rosyam Nor ataupun Erra Fazira, tetapi saya merasakan bahawa pelakon-pelakon dalam filem ini berjaya menyampaikan mesej yang tersirat. Apa yang menariknya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang membintangi filem pendek ini sebagai seorang pemamdu teksi. Wah, dah tukar karier ke YB?? Hahaha..Walau bagaimanapun, beliau berjaya memainkan peranan sebagai pemandu teksi yang bersifat hanya bercakap lebih atau dalam bahasa melayunya, mengata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih...hahaha... Secara jujurnya, filem pendek ini ada komedinya yang tersendiri tetapi berhemah. Tahniah kepada YB Khairy kerana berjaya menjiwai watak pemandu teksi ini...

    Selain itu, filem ini juga dibintangi oleh pelakon-pelakon lain seperti Amber Chia (model), Baki Zainal (Pelakon), Jason Lo, Matthew George dan juga blogger kontroversi mengenai isu lagu Negaraku dan TNB, Namewee.

    Kisahnya mengenai seorang pemandu teksi (YB Khairy) yang ditanya pendapatnya mengenai isu semasa negara sebagai seorang warganegara dan orang awam. Isu pertama yang dikemukakan adalah mengenai isu bola sepak. Pemandu teksi itu menyatakan kekecewaannya terhadap bola sepak negara. Katanya, pemain kita tidak bertahan lama, kurang stamina, tiada kekuatan mental dan ketahanan fizikal. Pada babak ini, pemandu teksi itu menyatakan semangat kesetiannya kepada pasukan bola sepak negara kita dalam masa yang sama mengkritik dan menghentam habis-habisan pasukan bola sepak kita.

    Bercerita pula mengenai bola sepak antarabangsa, pemandu itu agak marah apabila ramai pemuda-pemudi negara kita sanggup memenuhi kedai mamak untuk menonton perlawanan bola sepak antarabangsa. Pemandu teksi ini juga mempersoalkan kewajaran menonton perlawanan bola sepak antarabangsa berbanding bola sepak tempatan. Seterusnya, dia bercerita mengenai FAM ataupun dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak Malaysia. dia mempersoalkan apa perlunya orang yang terbabit dalam bidang politik untuk terbabit dalam aktiviti sukan ini. Malah, ada juga yang mempolitikkan arena sukan untuk kepentingan politik. Itu katanya....

    Babak pertama ini diteruskan apabila seorang lelaki menahan teksi ini. Apabila dia sudah menaiki teksi, lelaki itu bertanya mengapa ada kameramen dalam teksi pemadu itu dan kameraman itu menjawab bahawa mereka sedang berbicara tentang bola sepak Malaysia. Seraya lelaki itu menjawab memang tiada apa pun yang menarik untuk diperkatakan tentang bola sepak negara dan dia mengaku yang dia adalah peminat pasukan Chelsea. Tiba-tiba pemandu teksi itu berang lalu bergaduh dengan penumpangnya sambil mempersoalkan di mana semangat kenegaraan dan kebanggan terhadap negara. selapas penumpang itu keluar dari teksinya, tetiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan nada dering telefonnya adalah lagu MANCESTER UNITED. Aduyay....

    Bagi saya babak pertama ini penuh dengan isi yang agak tersirat, Pertamanya, rakyat teramat kecewa dengan mutu permainan pasukan bola sepak negara. Lihat sahaja perlawanan Malaysia menentang UAE di Stadium Cheras beberapa tahun lepas, penyokong kita membaling botol ke arah pasukan sendiri. Aduh, aib sungguh kan apabila pasukan kita tersungkur di bumi sendiri. Pemain kita sememangnya sangat jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pemain daripada negara lain.

    Walaupun Malaysia mempunyai kemudahan permainan bola sepak bertahap Olimpik, tetapi mutu permainannya masih lagi ditahap rendah. Malah negara dunia ketiga seperti Afrika dan Vietnam pun mampu berada dalam ranking yang lebih baik FIFA. Untuk makluman, negara kita kini berada di ranking yang ke-152 dibawah Eritrea (sebuah negara yang tidak dikenali) dengan 110 mata (FIFA 12/2009). Aduh, aib sungguh kan? Oleh yang demikian, satu usaha konkrit perlu daripada pelbagai pihak terutama daripada KITA, KERAJAAN dan PIHAK SWASTA untuk sama-sama berganding bahu bagi mewujudkan sebuah masyarakat sukan yang hebat.

    Memanglah dari segi logiknya bola sepak tidak menunjukkan kemajuan negara, tetapi dari segi maruahnya amat besar. Bola sepak mampu menonjolkan bahawa rakyat dalam sesebuah negara itu aktif dan sihat. Bersukan juga mampu melahirkan rakyat yang kreatif dan berfikir secara kritis.

    Kedua, rakyat kita terlalu taksub dengan perkembangan bola sepak antarabangsa sehingga mengabaikan perkembangan bola sepak tempatan. Lihat sahaja di stadium kita apabila bola sepak tempatan berlangsung. KOSONG, aduh malunya... Nasib baiklah ia tidak ditayangkan secara meluas di luar negara. Malah tidak salah saya katakan perlawanan lembu garang di negara Mexico lebih ramai penontonnya berbanding perlawanan bola sepak di Malaysia.

    Sebagai rakyat biasa, saya merasakan mungkin kita sebagai rakyat sudah tidak tahan dan muak mendengar dan melihat pasukan kita kalah sahaja. Malah beraksi di gelanggang sendiri pun tumbang, malah dilapah dengan rakus oleh pasukan lain. Sungguh malu. Salahkan juga pada media kita, komen mereka kepada pasukan bola sepak kita terlalu selesa. Kata-kata seperti "Berilah mereka peluang", "Fokus untuk kejohanan lain" dan "Kami masih dalam usaha transformasi" sering kali dicorek di dada akhbar, tetapi prestasi masih di takuk lama. Siapa boleh tahan beb??

    Ketiga, sikap rakyat kita hanya tahu bercakap sahaja, komen sahaja yang reti tetapi tidak ada usaha untuk menyumbang ke arah kebaikan perkara yang di komen itu. Kita dapat lihat melalui sikap pemandu teksi itu yang hanya tahu komen sahaja, tetapi dalam masa yang sama dia sendiri yang teruk. Kita lihat dia suruh penumpangnya berasa bangga dengan pasukan bola sepak dalam Malaysia, tetapi dia sendiri pun peminat Mancester United. Aduh, teruk betul kan? Bak kata pepatah, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.. Jadi salah siapa sekarang, kita renungkanlah bersama....

    Keempat, pemimpin politik sepatutnya usah mencampuri urusan pentadbiran sukan dalam negara kita. Biarlah orang yang dalam bidangnya sahaja yang berkecimpung dalam bidang mereka. Saya amat kecewa melihatkan isu-isu yang berlaku pada Persatuan Bola Sepak yang gagal membayar hutang kepada pemain malahan kepada pengadil juga. Amboi, buat perlawanan sahaja, tetapi duit malas dibayar. Untuk rekod, hampir kesemua Persatuan Bola Sepak Negeri di Malaysia diketuai oleh Menteri Besar dan pemimpin politik. Maka diperlihatkan disini bahawa, pemimpin politik seharusnya menumpukan usaha mereka pada pembangunan negara, bukan menyibuk dalam urusan yang bukan dalam bidang mereka.

    Tidak salah saya katakan yang babak pemandu teksi yang dimainkan sendiri oleh YB Khairy ini menyindir dirinya sendiri. Jika kita lihat, beliau sendiri adalah Naib Presiden FAM dan juga Ahli Parlimen Rembau. Saya rasa adalah tidak wajar jika YB masuk campur dalam urusan FAM jika FAM sendiri masih lagi terumbang-ambing. Saya juga mencadangkan supaya YB memberikan laluan kepada orang yang lebih arif dalam sukan ini dan YB menumpukan perhatian dan komitmen YB pada masalah negara yang kian meruncing.

    ~Bersambung pada review yang kedua~

    Penulis merupakan Pemenang Anugerah Kokurikulum Kebangsaan 2008 dan kini menuntut di IPT terkemuka di Malaysia.


  • You might also like

    1 ulasan: