• Semuanya bermula dengan beberapa helai kertas kerja...


    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, Festival Keusahawanan UTHM (EFEST) 2014 telah melabuhkan tirainya sebentar tadi. Syukur ke atas Illahi semuanya berjalan dengan baik walaupun terdapat pelbagai rintangan sepanjang program. Tahniah buat semua krew program yang menjayakan program ini bermula 23-27 September 2014 dan melaksanakan gerak kerja sebelum dan selepas ini.

    Apa yang diharapkan, penganjuran program ini dapat memberikan impak positif kepada semua pihak, sama ada penganjur, peserta, penggerai, komuniti awam dan juga yang lain-lain dari sudut persepsi keusahawanan, kepimpinan, urus tadbir program, penyampaian ilmu dan pelbagai lagi nilai-nilai positif.

    Ini adalah kali pertama dalam sejarah hidup saya saya direhatkan secara total dalam penganjuran program berikutan ujian yang dilanda saya. Buat masa ini, saya sedang berusaha keras menjalani fisioterapi bagi memulihkan kembali kaki sebelah kanan saya yang parah selepas kemalangan di Peserai, sehari sebelum hari sambutan kemerdekaan negara yang ke-57. Nampak gayanya, EFEST mungkin program terakhir saya di UTHM berikutan keadaan sekarang yang saya alami. Saya tak yakin selepas ini saya akan ada peluang lagi untuk menganjurkan program lagi.

    Saya telah menjalankan gerak kerja program ini sejak bulan Februari 2014, secara tepatnya setelah Bengkel Hala Tuju Keusahawanan Mahasiswa anjuran Pusat Perniagaan dan Keusahawanan di Melaka. Kertas kerja ditulis berdasarkan pendapat dan juga pandangan rakan-rakan saya semasa melakukan survey di sekitar kampus. Harapan mereka mudah, pastikan isi program yang membina dan mampu memberikan nilai tambah kepada mereka. Sebelum ini pun, mereka juga yang mengkritik entiti keusahawanan siswa yang syok sendiri dan hanya sekadar buat program untuk puak-puak mereka sahaja. Saya mengambil pandangan itu sebagai suatu perkara yang membina.

    Bagi saya, alang-alang menjalankan program, pastikan ianya ada impak kepada kampus, mampu memberikan manfaat kepada semua orang atau ianya sekadar projek gajah putih, masuk telinga kanan keluar telinga kiri, masuk angin keluar asap.

    Pelbagai cabaran yang dialami semasa menjalankan gerak kerja program. Ada orang diberikan jawatan dan tugas, tapi kerja tak jalan. Ada orang pula pandai bermuka-muka, depan lain dibelakang lain, ada yang hanya pandai cakap sahaja tapi akhirnya tak gerak jgak kerja dan pelbagai lagi la ragam manusia. Saya ambil positif semua perkara ini, dan saya percaya bahawa, mereka yang menjalankan amanah ini dengan baik bersama-sama saya pada awal gerak kerja ini adalah mereka yang benar-benar dipilih oleh Allah.

    Sepanjang gerak kerja, saya sentiasa menguji anak-anak buah saya. Memang sengaja saya berikan amanah semasa mereka pulang ke kampung untuk melihat sejauh mana penerimaan mereka terhadap tugasan yang diberi. Semua orang diberikan masa 24 jam, ada komitmen dan kerja, tetapi sejauh mana mereka boleh mencuri masa untuk melakukan kerja-kerja program. Tak ramai yang ada fleksibiliti masa begini dalam menjalankan tugas. Mereka tak tahu yang dunia perkerjaan mencari versatiliti, bukan rigid person serta mampu menahan tekanan dengan baik.

    Sepanjang gerak kerja program, saya banyak melakukan networking dengan pihak yang ada kaitan dengan program. Saya masih ingat lagi bagaimana saya meyakinkan pihak MPBP untuk kebenaran pemasangan banner di sekitar pekan Parit Raja secara percuma, meyakinkan PA Pengarah Jabatan Penerangan untuk terlibat sama dalam program ini walaupun gdan enrenya tiada kaitan serta berhubung dengan puluhan peniaga dan pihak berkenaan untuk mengajak turut serta dalam program.

    Alhamdulillah, saya mempunyai networking yang baik sehinggalah saya sekarang walaupun sedang menjalani rawatan susulan di rumah. Saya gembira melakukan kerja ini tetapi dalam masa yang sama saya bersedih sebab tak dapat melihat program ini berlangsung dengan mata saya sendiri secara live,

    Mungkin rezeki saya tiada di EFEST. Ia juga sebagai tanda saya sudahpun keluar daripada lebuhraya kepimpinan saya di UTHM. Saya menerima hakikat itu seadanya. Sesungguhnya, berpisah dengan sesuatu yang kita usahakan daripada awal dan minat adalah sangat menyakitkan daripada kemalangan itu sendiri.

    Akhir coretan, saya ingin ucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang menyokong saya sepanjang saya menjalankan gerak kerja program ini dipermulaan dahulu. Buat program di universiti tak dapat gaji pun, duit tambang balik Batu Pahat pun atas ihsan mak ayah saya. Mujurlah mereka memahami, kalau tidak saya tak rasa banyak persiapan EFEST boleh dilangsaikan.

    Terima kasih juga buat Pengarah Pusat Perniagaan dan Keusahawanan, Prof Madya Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff, Penolong Pendaftar, En. Ahamad Khirul Nizam Ali dan Staf CBER atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang saya melakukan gerak kerja ini.

    Tahniah buat saudara Syahir dan pasukan atas kejayaan menjayakan program ini dengan baik. Anda telah buktikan yang anda telah berjaya menjadi Pengarah Program yang baik. In sha Allah, next time mesti ada buah tangan yang menarik untuk warga UTHM nikmati.

    Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi buat semua.

    Salam hormat,
    Idham Wan Mahdi

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan