• #tandaPutera - Ulasan dan Cadangan

    Rasanya tidak adil jika saya menilai tanpa pergi menonton filem #tandaPutera itu sendiri. Oleh yang demikian, saya mengambil inisiatif untuk curi masa untuk menonton filem ini tadi di TGV Wangsa Walk, walaupun badan tak seberapa sihat. Owh ya, sebelum saya teruskan ulasan, saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Komunikasi, Multimedia Malaysia untuk pelaksanaan nyanyian lagu Negaraku di pawagam. Saya lihat, betapa masih ada rakyat kita yang cintakan negara, bukan hanya setakat berdiri, malah menyanyikan lagu Negaraku bersama. Owh ya, video sebelum itu, bertajuk Tanah Tumpah Darahku dan Pesanan Terakhir juga sangat baik. Menyayat hati dan sarat dengan mesej. Tahniah!

    Filem karya Datin Paduka Suhaimi Baba ini sememangnya mendapat perhatian yang sangat luas oleh rakyat. Kenapa? Kerana ia melibatkan sisi penting liku-liku sejarah negara, terutama krisis perkauman 13 Mei 1969. Pujian harus diberikan kepada pengarah dan krew kerana nak jadikan kisah sejarah kepada sebuah filem bukan satu tugas yang mudah, malah ramai yang akan bertindak menghentam walaupun fakta sejarah mereka tidaklah begitu mantap.


    Poster Filem, Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba
    Filem ini mengisahkan biografi Tun Razak, PM ke-2 dan Tun Dr. Ismail, Timb PM yang pertama zaman Tun Razak, dua orang watak penting semasa proses Malaysia berubah menjadi sebuah negara yang membangun. Berlatar belakangkan Malaysia masih lagi mundur, berdepan ancaman komunis dan pelampau kaum, ianya lebih kepada kisah bagaimana tindakan Tun Razak dan Tun Dr. Ismail menghadapi krisis negara walaupun kesihatan kedua-dua pemimpin ini tidak begitu mengizinkan. Tetapi demi Negara, mereka turutkan jua amanah rakyat.

    Saya bukanlah penyokong tegar UMNO, tetapi tidaklah bermakna saya harus bersikap sambil lewa dan tak ambil berat dengan sumbangan yang dilakukan pemimpin terdahulu yang kebanyakannya daripada UMNO. Bezakan antara fakta dan sentimen lain, jadilah rasional dalam menilai.

    Tentang kesalahan teknikal yang saya timbulkan pada ulasan yang pertama tadi memang tidak dinafikan, tetapi janganlah hanya sebab itu kita menghukum keseluruhan filem ini. Ianya tidak adil. Datanglah ke pawagam, buatlah penilaian. Jika rajin, baca sinopsis Tun Razak, Tun Dr. Ismail dan sejarah 13 Mei 1969 untuk lebih memahami filem ini.

    Fakta 13 Mei 1969, secara teknikalnya, apa yang dipaparkan dalam filem ini hampir tepat. Saya juga pernah mengkaji dan menulis artikel tentang peristiwa ini berpandukan sejarah versi kerajaan dan juga pihak pembangkang. Pilihanraya 1969 menyaksikan Parti gerakan dan DAP menang besar di kawasan yang mereka bertanding. Pada asalnya, perarakan kemenangan parti Gerakan di selangor memang mendapat permit polis dan mereka boleh berarak. Cuma, biasalah, bila dah ada pihak buat perararakan, pasti ada juga provokasi dan mencetuskan kekecohan. Rentetan beberapa peristiwa membabitkan Cina-Melayu, maka terjadinya rusuhan kaum sekitar Kuala Lumpur.

    Cuma, saya rasa ada sedikit meragukan apabila jelas filem ini menjadikan DAP kambing hitam untuk rusuhan ini. Jika benar DAP dalangnya, mohon jasa baik pengarah atau mungkin ahli sejarah untuk jelaskannya.

    Lagi satu, timeline ceritanya saya kira kurang kemas. Malah saya tertanya2 kenapa ada scene mcm Tun Razak jatuh dan tiba-tiba terjaga dari tidur.. Dua kali pulak tu... Unsur dramatik kalau mahu ditambah pada filem sejarah, tak salah. Tapi biarlah kemas dan orang boleh menerima dengan baik, senada dengan jalan cerita, bukan suka-suka ditokok tambah.

    Dari segi usaha, saya kira Puan Pengarah dan Krew patut diberikan pujian atas keberanian untuk menerbitkan filem ini. Bila bermain dengan sejarah, ramai pengarah dan individu takut dihentam teruatam mengenai ketepatan sejarah, kerana ia mempengaruhi perasaan dan emosi orang yang terlibat.

    Penghargaan juga buat para pengkritik yang tak putus-putus memberikan komen yang membina, tak kurang sebaliknya untuk filem ini. Tak mengapa, komen anda yang baik akan menambahkan kualiti filem Malaysia sedia ada..

    Cadangan pada masa hadapan untuk pembuat filem sejarah
    1. cadangkan apabila scene berkaitan sejarah, buat nota kaki tentang sejarah itu dan kalau ada sumber rujukan, lagilah amat dialu-alukan. bagi saya, filem adalah medium untuk mendidik, bukan hiburan semata-mata. Saya bagi contoh drama korea, apabila ada istilah yang pelik yang disebutkan pelakon, produksi ambil insiatif untuk tulis dan buat nota kaki pada screen supaya penonton boleh belajar tentang apa yang disampaikan dalam cerita tersebut.

    2. Garap cerita dan timeline dengan kemas, jangan terlalu banyak main flashback, serta hati-hati dengan fakta, berkaitan individu dan juga latar belakang peristiwa. Saya tak berapa faham part yang mula2 IGP dibunuh, kemudian ketua komunis pulak dibunuh.

    Jika saya diberi peluang dengan skala 5 bintang, saya akan beri 3.75 bintang sahaja. Filem ini baik, cuma kurang kemas dari persembahan faktanya. Saya amat sensitif dengan fakta sejarah, memandangkan saya minat sejarah sangat-sangat. Apa2 pun, tahniah buat krew produksi #tandaPutera dan buat rakan-rakan diluar sana, ianya berbaloi untuk anda tonton filem ini. Belajarlah sedikit mengenai keikhlasan dan ketabahan Tun Razak dan Tun Dr. Ismail yang berjuang demi negara. Semoga Allah merahmati roh mereka. Al-fatihah.
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan