Amanat Terakhir Mantan presiden JKM KSJ 2011 - Agenda Memperkasakan Mahasiswa


Bismillahirrahmannirrahim

Alhamdulillahhirrabil alamin, wa solatu wassalamu ala asyrafil anbiya'i walmursalin wa 'ala alihi wa shohbihi ajma'in.

Yang saya hormati, Saudara dan Saudari Pengerusi JKM KSJ Blok, Afiq Amani Anuar dan Norainn Baharin, Barisan Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa baharu, JKM KSJ 2012 dan seterusnya mantan Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Mahasiswa Kediaman Siswa Jaya 2011 yang saya kasihi.

Assalamualaikum wrbh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1) Bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah kurniaNya, kita diberikan ruang bersama-sama untuk berkumpul dalam satu program yang saya kira penuh harmoni dan bersejarah pada malam ini. Saya inigin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini bagi memberikan sokongan pada kepada kepimpinan JKM KSJ yang baharu pada malam ini dibawah kendalian nakhoda kapal yang baharu, Saudara Afiq Amani Anuar dan Saudari Norainn Baharin.

2) Sebagai barisan kepimpinan JKM KSJ yang lama, kami senantiasa mendokan kalian agar dikurniakan hidayah, taufiq dan petunjuk oleh Allah SWT dalam merencana hala tuju dan masa depan JKM dan Kediaman Siswa Jaya yang kita cintai ini.

Hadirin sekalian,

3) Memperkasakan Mahasiswa merupakan satu agenda agung yang perlu ddijunjung dan dimartabatkan oleh setiap daripada ahli keluarga JKM KSJ untuk dizahirkan. Ia bukanlah hanya sekadar retorik untuk menyedapkan telinga atau sekadar motto persatuan bagi menampakkan gah semata-mata, tetapi setiap hala tuju perlu dikiblatkan moto ini dan dibuktikan melalui penganjuran aktiviti kediaman yang lebih bersifat ke arah pembangunan sahsiah dan kendiri, akademik serta kerjaya seperti yang termaktub dalam Pelan Transformasi Mahasiswa UTM.

4) Barisan JKM KSJ yang bahru harus sedar bahawa setuiap daripada anda kini adalah "imam" atau pemimpin bukan sahaja untuk diri sendiri, malah penghuni Kediaman Siswa Jaya yang jumlahnya lebih kurang 1600 orang kesemuanya. Ibarat memandu sebuah kereta, anda kini sudah duduk di tempat duduk pemandu dan akan membawa penumpang anda ke satu destinasi yang diimpikan yakni destinasi Al-Falah, kejayaan bukan hanya di dunia tetapi di akhirat.

5)Dalam usaha untuk menuju destinasi Al-Falah, setiap daripada jiwa-jiwa JKM KSJ harus bersatu dan saling memahami antara satu sama lain. Konsep 'one board one sound' harus diperkukuhkan agar segala yang dilakukan dalam JKM KSJ berkesan bukan hanya pada JKM, tetapi kepada penghuni KSJ, kampus dan komuniti sekitar KSJ. Inilah matlamat dan juga sistem penyampaian yang diperjuangkan JKM KSJ sejak awal penubuhan sehinggalah sekarang dengan dizahirkan dari program berbentuk ceramah agama di surau, pesta hari terbuka kediaman hinggalah program USR - SMArT CAMP'12 baru-baru ini bersama komuniti.

6) Setiap orang dalam bilik ini harus sedar bahawa anda semua kini nadi penggerak kepada kegiatan mahasiswa di KSJ dan juga wakil-wakil mahasiswa yang membawa suara-suara di luar bilik ini. Walau bagaimanapun, tugas harus dijalankan dengan adil dan amanah agar apa yang diharapkan oleh mahasiswa dan pihak pentadbiran Kediaman dapat digerakkan dengan baik.

7) Bagi merealisasikan semua perkara yang saya nyatakan sebentar tadi, kepimpinan JKM KSJ harus sedar bahawa aset utama anda adalah anak-anak buah anda. Oleh yang demikian, jagalah kebajikan anak-anak buah anda dalam JKM KSJ dengan cemerlang agar apa yang dihasratkan bersama dapat direalisasikan dengan ikhlas dan juga penuh bermakna untuk semua. Sedarlah bahawa anak-anak buah anda inilah yang akan sehidup semati dengan anda sepanjang kepimpinan anda, mereka inilah rakan ketawa, menangis, rakan berkongsi suka duka anda dalam JKM KSJ. Oleh yang demikian, lakukanlah yang terbaik untuk mereka.

8) Bagi anak-anak buah pula, sokonglah, bantulah dan berdiri teguhlah bersama pimpinan anda. Janglah sesekali bersifat membelakangkan pemimpin anda dalam apa jua keadaan melainkan jika hukum Allah SWT diingkari pemimpin anda. Anda semua harus sedar bahawa kepimpinan anda akan dihormati sekiranya sesebuah organisasi itu kukuh dan mempuanyai budaya kecemerlangannya yang tersendiri dan unik. Sedar mahupun tidak, anda kini merupakan tiang-tiang kepada JKM KSJ dan khidmat anda amatlah diperluka dalam usaha memartabatkan agenda memperkasakan mahasiswa.

Hadirin sekalian,

9) JKM KSJ mempunyai budaya kecemerlangan yang amat baik dan diiktiraf di pelbagai peringkat organisasi. Kita mempuanyai hubungan yang baik dengan Pejabat KSJ, Pejabat HEMA dan Pejabat Harta Bina di kampus yang memungkinkan segala urusan aktiviti dan kemudahan boleh digunakan dengan baik. Kita mempunyai hubungan baik dengan pihak swasta dan NGO yang memungkinkan penganjuran program-program mega Kediaman seperti Pesta Hari Terbuka dan Program Ihya Ramadan, malah Majlis Penghargaan Kediaman Siswa Jaya yang berlangsung di atas cruise mengelilingi Tasik Putrajaya. Semua ini mustahil untuk direalisasikan sekiranya tidak ada hubungan yang baik dengan semua pihak dan juga budaya kecemerlangan seperti tabah, menerima, matang dalam memimpin, terbuka, rasional, berprinsip kepada Yang Maha Esa dan setia kepada kepimpinan.

10) Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua warga JKM KSJ yang baharu, agar bersatu hati dan bersemangat senantiasa dalam berlayar dalam satu lautan kempimpinan Kediaman yang sememangnya kadang kala tenang, tidak kurang juga bergelora, nasib kalian tak ubah bak nelayan, kadang kala ikan mengena, silap haribulan pukat rosak dan tiada hasilnya.

11)Berkhidmatlah kalian dengan penuh ikhlas dan amanah, pasangkanlah niat kalian ikhlas kerana Allah SWT, insyaAllah, Allah akan permudahkan urusan kalian dalam kepimpinan senantiasa. Usahlah sesekali kita harapkan ganjaran semata-mata kerana ia mampu menggugat dan memesongkan niat yang telah di[pasang kalian pada awalnya. Sebaliknya, bertawaduklah dan istiqamah kalian dalam usaha, kerana sebaik-baik ganjran itu datangnya daripada Allah SWT.

12) Dalam kepimpinan, ada orang akan suka dengan kita, ada orang akan benci dengan kita, dan tidak kurang juga ada yang buat tidak kisah tentang kita. Apa yang penting, berkhidmatlah dengan adil dan terbaik untuk semua orang. Yang suka buatlah mereka terus gembira dengan kita, yang benci buatlah mereka suka dengan kita manakala yang tidak ambil tahu buatlah mereka ambil perhatian tentang kita. Oleh yang demikian, saya menyeru agar kalian semua sentiasalah memaparkan akhlak-akhlak mulia dan merendah diri senantiasa.

Hadirin sekalian,

13) Harapan saya selaku veteran JKM KSJ, teruskanlah perjuangan membawa obor Memperkasakan Mahasiswa yang diwarisi sepanjang 8 tahun kepimpinan JKM KSJ yang terdahulu yang sememangnya penuh ranjau dan liku. Jalan yang kalian bakal lalui ini adalah jalan yang pernah kami lalui dahulu, cuma dimensinya sahaja berbeza tetapi objektifnya tetap sama.

14) 24 program, jumlah kutipan tajaan hampir RM120 000 dan pencapaian yang baik di peringkat kampus dan negaeri adalah sejarah dan angka sahaja. Jadikanlah ia sebagai kayu ukur kecemerlangan hala tuju JKM KSJ tetapi jangan bebankan diri untuk mencapai perkara yang sama. Apa yang penting adalah kualiti penyampaian kalian melalui program dan perkhidmatan, bukan numerikal semata-mata. Berusahalah dengan duduk semeja dalam merangka sinergi untuk cemerlang dalam persatuan.

15) JKM KSJ bukanlah beban kepada tugasan hakiki kalian di sini dalam bidang akademik. Sejarah membuktikan tujuh orang mantan Presiden JKM KSJ terdahulu berjaya melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi terutama di UTM Skudai. Oleh yang demikian, aturlah masa kalian dengan baik dan bijaksana, supaya yang dikejar tidak terlepas, dan yang dikendong tidaklah berciciran.

16) Akhir kata, selamat maju jaya buat semua MT JKM KSJ dan semua warga kerja yang diterajui oleh saudara afiq Amani bin ANuar dan Saudari Norainn Baharin. Istiqamahlah dalam usaha kalian dan berikanlah yang terbaik demi KSJ dan semua orang. Alang-alang mencelup pekasam, biarlah ke pangkal lengan. Laksanakanlah amanah yang diberikan Allah dengan penuh tanggungjawab dan amanah, insyaAllah, kejayaan yang kita impikan bersama, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi kegiatan gerak kerja kepimpinan jaga sudah pasti menjadi milik kalian. Nikmatilah sepenuhnya keindahan membantu orang, persahabatan dan kepimpinan sepanjang dalam JKM KSJ. Semoga allah SWT bersama kalian sentiasa.

Sekian, Wabillahi taufiq Wal Hidayah.

Assalamualaikum wrbh dan selamat malam.

Wan Muhammad Idham bin Wan Mahdi,
UTM International Campus, Kuala Lumpur
1 Februari 2012

2 comments

WOW ANDA 'IMAM' TAPI ANDA LANTIK KETUA JABATAN KEROHANIAN DAN SOSIAL SEORANG PEREMPUAN.. DALAM BAB AGAMA X NAK PLAK JADI IMAM.. KIAMAT SUDAH DEKAT... ASTAGFIRULLAHALAZIM

Assalamualaikum wrbh,

cakap bukan sebarang cakap bro. Persoalannya sekarang, kenapa anda begitu taksub sgt siapa jadi Ketua jabatan tu? Ketua Jabatan bukannya jadi imam solat.. Kenapa anda tak pertikaikan Ketua jabatan blok B dan C sekali yang lelaki. Ketua jabatan Blok A sahaja yang sibuk dihebah-hebahkan. Peranan Ketua jabatan hanyalah menyelaraskan aktiviti, bukan urusan ibadah semata-mata.

Kalau berani, face-to-face la bro, bukan cakap belakang. Anda bukan berlawan dengan saya seorang, tetapi whole organization of JKM 2011.

Terima kasih.


EmoticonEmoticon