• JKM KSJ : Sebuah Coretan Perjalanan Saya 2010-2012 (part 1)


    Catatan ini merupakan catatan peribadi saya..:)


    Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya (JKM KSJ) merupakan sebuah pertubuhan siswa yang saya kira sangat unik peranannya dalam usaha membangunkan gerak kerja mahasiswa di Kediaman Siswa Jaya, UTM International Campus, Kuala Lumpur dan juga menjaga kebajikan mahasiswa yang bernaung dibawahnya.

    Awal penyertaan saya dalam JKM KSJ bermula semasa menjadi Biro Perhubungan Awam untuk Pesta Hari Terbuka KSJ 2009 (Mahabbah'09) bawah kelolaan Sdr Azmi Ghaffar (kemudian Presiden Jurutek 2010). Tetapi saya merasakan bahawa peranan saya tidaklah sepenuhnya kerana kebanyakan kerja telahpun diselesaikan secara bersendirian oleh senior yang menjadi ketua bahagian saya ketika itu, seingat saya Kak Nurul Ain.

    Tidak terniat sertai JKM KSJ

    Saya masih ingat lagi reaksi kawan-kawan saya pabila melihat poster pencarian AJK Kolej di dalam lif dan papan kenyataan kediaman. Bagi kawan-kawan saya, menyertai kegiatan kediaman adalah sangat membosankan, tambahan pula mereka yang pernah aktif di sekolah. Saya pun sebenar terpengaruh dengan apa yang diperkatakan kawan-kawan saya, akhirnya saya pun mengabaikan notis pencarian krew jawatankuasa kediaman.

    Pra Kursus JKM 2010 - Ditarik member.

    Siapa sangka sedang seronok bercuti di rumah (nota : rumah saya berhampiran KSJ) dan bekerja, tiba-tiba mendapat panggilan daripada sahabat lama sekolah yang melanjutkan pelajaran ke tempat yang saya, Sdr Shahid Suhaimi yang mengajak saya menyertainya untuk ke kursus JKM KSJ.

    Asalnya saya memang tidak berminat pun berikutan saya mempunyai komitmen bersama PETROSAINS dan keluarga, tetapi pancingan beliau dapat berjalan-jalan di Port Dickson memotivasikan saya menyertai JKM KSJ. Pada asalnya tak ikhlas pun tapi akhirnya saya mulai gembira menjadi JKM KSJ di sana. Banyak model kursus yang menarik saya alami antaranya adalah modul ikhtiar hidup yang modulnya ala-ala mcm cerita P.Ramlee dalam filem Musang Berjanggut mencari calon isteri...Hahaha, pelik orang dibuatnya bila kami bawa barang bercampur-campur dan masak dirumah mereka dan makan sama-sama..Jangan marahlah la ya mak cik kalau makanan tak sedap..huhuhu...


    Gambar-gambar semasa kursus JKM KSJ board 2010 @ NUBE Training Centre, Port Dickson, NS

    Kursus JKM KSJ 2010 - Dilantik sebagai Ketua Jabatan



    Hanya pergi sekadar melancong, tetapi akhirnya dilantik sebagai Ketua Jabatan Akademik dan Pengantarabangsaan. Pada asalnya memang malas nak memikul amanah sebagai ketua jabatan ini, tapi disebabkan orang dah lantik, terpaksa la ikutkan jua. Presiden JKM yang dilantik adalah Sdr Mohamad Shahril Zaabar.

    Siapa pula penasihat bagi jabatan saya? Alamak, orang kuat UTM International Campus, En. Mohd. Najib bin Masroon (Pegawai Khas Pengarah Kampus, UTMIC) dan Encik Mohd. Sharil Abdullah (Pegawai Pejabat HEM, UTMIC). Saya akui, saya gerun dengan mereka disebabkan jawatan besar yang disandang mereka di kampus, terutama En. sharil yang kelihatan cukup menjengkelkan semasa Minggu Haluan Siswa 2009 (Orientasi Siswa), tetapi saya menyakinkan diri saya bahawa jika saya tak buat salah, tidak ada sebab kenapa saya perlu di marah mereka.

    Perkenalkan juga ahli jabatan saya:-
    1) Luqman Failei (kemudian S/U PMI)
    2) Kak Shafiah
    3) Kak Hidayah
    4) Kak Najwa
    5) Arif Tukiman
    6) Alif
    7) Patrick GBH

    Pengalaman Pertama Program dalam JKM KSJ :- Sport Fiesta'10

    Program Sport Fiesta'10 ini merupakan program pertama dalam kalendar JKM KSJ sesi 2010 anjuran Jabatan Sukan dan Kebudayaan dan diketuai oleh Pengarah yang juga ketua jabatan, Sdr Ahmad Faiz Abd Hamid. Saya ditugaskan menjaga bahagian sukan bola keranjang walaupun saya sebenarnya tidak tahu pun nak bermain bola keranjang.. Macam mana tu ya? Walau bagaimanapun, hasil perbincangan dengan semua wakil pasukan, isu juri dan pengadil dapat diselesaikan dengan baik.

    Sebenarnya rasa agak gementar juga bila berurusan dengan ramai orang, tetapi apabila kita berjaya memecahkan tembok malu yang tak bertempat itu, alhamdulillah kita akan mulai menikmati keseronokan dalam bekerja dengan semua orang.

    Pengarah Program :- UTM - KSJ 1Malaysia Camp-In Sahabat 2010

    Kalau tolong sebagai anak buah biasa pun dah cuak, apatah lagi nak jadi ketua sesebuah program. Huhuhu, memang bergetar la lutut dibuatnya. Bukan apa, kita tak tahu apa nasib kita di hadapan. banyak perkara yang saya fikirkan apabila buat program besar ini. Penajaan?? Peserta?? Penceramah?? Makanan?? Oh, banyaknya... Tiap-tiap hari tidur mengigau sebab fikirkan projek ini.

    Alhamdulillah, saya ada mentor yang cukup baik untuk program ini. Terima kasih saya tidak terhingga buat Encik Mohd. Najib Masroom, penasihat jabatan yang membimbing saya untuk membuat kertas kerja terbaik. Masa proses pembikinan kertas kerja, saya tidak begitu rapat sangat dengan Encik Sharil sebab imejnya yang sedikit garang (trauma kene bahan dgn beliau dalam Canseleri) daripada Encik Najib sehinggalah pergi berjumpa beliau di Pejabat HEMA dan alhamdulillah, beliau akhirnya meluluskan kertas kerja saya dengan peruntukan Pejabat HEMA sebanyak RM2500.


    Bersama dgn Team Excellent Camp-In Sahabat bergambar bersama CEO Proton, Dato' Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

    Beliau juga sempat memberikan tips untuk bagaimana menjayakan program ini dan memeberi input kepada saya kepentingan untuk meletakkan matlamat dalam penganjuran program. Dalam program ini, pihak KSJ memberi peruntukan sebanyak RM4000 manakala PROTON memberi tajaan sebanyak RM2000 bagi menjayakan program ini.

    Antara pengalaman berharga semasa menganjurkan program ini adalah dapat bertemu dengan CEO Proton, Dato Sri Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir di Centre Of Excellence, Proton Shah Alam. Beliau menyemak kertas kerja saya dan ia merupakan satu penghormatan buat saya. Beliau memang seorang yang agak teliti dan yang menarik, dia berjaya mengesan kesalahan yang sangat kecil dalam kertas kerja. Sangat teliti benar orangnya. secara jujurnya, beliau mengajar saya agar menjadi seorang yang lebih terperinci dalam pembikinan kertas kerja dan saya praktikkan sehingga kini.

    Gambar kenangan program Proton-UTM-KSJ Camp In Sahabat 2010

    Dipendekkan cerita, program ini disertai oleh 7 buah sekolah dengan peserta seramai 79 orang. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Datuk Haji Zulkifli Mohd. Wazir, Ketua Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM pada 18 Julai 2010 di Kediaman Siswa Jaya. Semuanya berjalan dengan lancar dan selamat walaupun ada beberapa kekurangan..

    TEMMASYA'10 - Pengarah Sub-Program Legasi Kemerdekaan

    Daripada terpaksa kepasa suka. Itulah yang saya dapat rungkaikan apabila dipilih secara 'terpaksa' untuk menjadi Pengarah Sub-Program Temmasya'10. Bukan apa, saya dah cukup sibuk dengan program saya sendiri, Camp_in Sahabat, kemudian dilantik lagi menjadi pengarah sub-program bagi Legasi Kemerdekaan yang pada asalnya merupakan perancangan seorang hamba Allah yang juga dalam JKM KSJ pada bengkel Pengurusan Aktiviti di HEMA pada tahun 2010.

    Tetapi Allah telah bukakan pintu hati saya untuk buat yang terbaik bagi menjayakan program ini. Strategi diatur dengan kemas dengan memulakan langkah menncari kerjasama terbaik bagi slot ini. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan kerjasama bagi program ini bersama Jabatan Penerangan Malaysia. Antara kerjasama yang diberikan adalah

    1) Pameran Legasi Kemerdekaaan : Memaparkan sejarah pembangunan negara sejak sebelum merdeka sehingga sekarang, dasar NKRA dan 1Malaysia

    2) Pertandingan Karaoke Bintang Patriotik

    3) Pertandingan Mewarna

    4) Kuiz Legasi Kemerdekaan

    5) Pertandingan Mewarna

    6) Wayang Pacak / Layar Bestari

    Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan baik sepanjang Pesta Hari Terbuka KSJ 2010 (TEMMASYA'10) yang diketuai oleh Saudara Afiq Baharin. Saya sedaya upaya menjadi orang kuat pada beliau dan cuba sehabis baik bagi membantu beliau merealisasikan hari terbuka yang saya kira terbaik sepanjang penubuhan KSJ bagi pengisiannya.


    Pentas perasmian TEMMASYA'10 harganya hampir RM150 000 tetapi kami berjaya dapatkannya dengan hanya PERCUMA

    Mana tidaknya, perasmian pembukaan program dibuat atas pentas gergasi bersaiz kontena yang bernilai RM130 000 tanpa sebarang kos dan secara tak langsung memecah dimensi penganjuran program mahasiswa di UTM amnya bahawa kemampuan KSJ menganjurkan Pesta Hari Terbuka yang mesra rakyat dan meriah.

    Album program TEMMASYA'10

    Legasi Kemerdekaan anjuran pasukan yang diketuai saya sendiri telah berjaya memenangi program terbaik bagi TEMMASYA'10 pada Family Day Temmasya'10 di Selangor. Alhamdulillah.

    Kembara'1o@UTM Skudai : Tanamkan Azam ke Johor Bahru

    Peluang dapat bertandang ke Skudai memberi ruang buat saya untuk mengenali kampus induk UTM. Saya rasa cukup bersyukur atas peluang yang diberikan JKM buat saya untuk menanamkan cita-cita saya ke kampus induk suatu masa nanti. Jelas, saya makin jatuh cinta dengan universiti kandung saya ini yang menjunjung prinsip " Kerana tuhan untuk manusia".



    Dipilih Pemenang Anugerah Kepimpinan Jabatan Terbaik 2010

    Alhamdulillah, hasil sinergi kerja berpasukan dalam jabatan saya, Jabatan Akademik dan Pengantarabangsaan telah berjaya melaksanakan perancangan sepanjang tahun 2010 dengan jayanya. Antara program yang telah dilaksanakan adalah:-

    1) Proton UTM KSJ 1Malaysia Camp-In Sahabat
    2) Reading Station
    3)Legasi Kemerdekaan @ TEMMASYA'10
    4) Department Appreciation Nite 2010

    Saya amat berterima kasih kepada semua yang bersatu hati dan bersama menjayakan agenda aktiviti anjuran jabatan saya dan JKM KSJ. Anda semua memang terbaiklah. Anugerah yang saya dapat ini bukanlah milik saya tetapi milik bersama kerana sebuah jabatan takkan maju tanpa setiap orang dalam jabatan tersebut.

    Menarik JKM KSJ 2010

    1) Presiden vs Timbalan Presiden mengenai isu Temmasya'10
    2) Afiq Baharin ambil alih projek gajah putih TEMMASYA'10
    3) Perang Dingin Presiden JKM KSJ, Pembantu Felo
    4) Migrasi JKM KSJ Blok B ke Blok C akibat tak tahan tekanan kerja di Blok B
    5) Presiden KSJ vs MPM Kebajikan (isu lif, wifi, kebajikan)
    6) MPM Kebajikan, Pembantu Felo Perang Dingin
    7) Pejabat KSJ berang dengan MPM Kebajikan
    8) Bikin Provokasi, notis bantahan diletakkan pada cermin kereta pengetua mengenai isu loker
    9) MPM Kebajikan mudah melatah apabila hujahnya dipatahkan
    10) Ceramah Maulidur Rasul : Mana pergi Presiden JKM KSJ, boikot program Blok B akibat berang dengan Pembantu Felo.
    11) Isu Tandatangan Presiden : surat Kelulusan Program Blok B harus minta tandantangan Presiden.

    Sengaja saya recap dalam bentuk begini supaya semua pembaca boleh dapat lakaran bagaimana liku-liku perjalanan JKM KSJ pada tahun 2010. Apa-apapun, semua ini menjadi pengajaran buat saya dalam diari kepimpinan saya. Antara yang saya pelajari adalah :-

    1) Pemimpin harus rasional dalam membuat keputusan dan tidak mudah melatah apabila dicuit. Seharusnya ambil langkah musyawarah, dapat kepastian dan baru lancarkan tindakan, bukan sekadar buat kerja membabi buta.

    2) Hubungan pemimpin dengan semua orang haruslah baik demi memastikan kelangsungan kepimpinan persatuan

    3) Syak wasangka harus dihapuskan bagi memastikan organisasi yang mantap dan terbaik

    4) Menjadi underdog lebih baik daripada menjadi favourite player.

    5) Setia kepada pemimpin pada setiap masa selagi mana beliau melakukan perkara yang betul.

    7) MT dan Pemimpin Jabatan harus rapatkan saf bagi memastikan kelancaran pergerakan persatuan.

    UTM Student Ambassador - Wakil JKM KSJ

    Saya masih ingat lagi, waktu itu jam menunjukkan pukul 11 malam di mana Encik Noh (Pengetua KSJ) menghubungi saya tarik saya ke program anjuran Pejabat HEM. Saya pada asalnya berat hati untuk pewrgi berikutan komitmen saya kembali pada PETROSAINS, tapi setelah diyakinkan oleh beliau, makan saya sekali lagi melapangkan diri untuk menghadiri program tersebut pada awal bulan Disember nanti.

    Saya tidak menjangka pula program ini akan berbentuk lasak, berjalan melangkau sempadan negeri dan terpaksa survive sendiri, tetapi ia secara tak langsung mengajar saya menjadi seorang yang tabah dan tidak mudah mengalah. Alhamdulillah, kumpulan yang saya pimpin berjaya menjadi 3 terbaik dalam program Advance Leadership Programme (ALP) bersama-asama dengan rakan sepasukan Sdr Iqbal Asyraf (Presiden Karisma) dan Sdri Farhana (KKDK).

    Sekembalinya daripada ALP, saya mulai berfikir untuk masuk kembali ke JKM KSJ atau sekadar menjadi rakyat marhean kembali...


    Sedang menemuramah seorang nelayan di Kuantan, Pahang.



    Bergambar di Bangunan KTM, Seremban

    Nantikan episod 2 catatan ini pada post akan datang. Terima kasih kerana membaca...




  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan