• Insaf dengan Kejadian di Baitulmal, MAIWP

    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

    1. Hari ini, saya berkesempatan untuk menguruskan hal ehwal pelajaran adik ke-2 saya yang ingin memohon bantuan pelajaran untuk ke MRSM Muadzam Shah, pada 8 Februari ini di Baitulmal MAIWP, Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya sempat ke Medan MARA bagi tujuan yang sama.

    2. Bagi tujuan itu, sy ke Kaunter Bahagian Bantuan Asnaf, Baitulmal di aras Mezzazin. Ramai orang menunggu dengan sabar dengan harapan mendapat ihsan daripada MAIWP untuk pelbagai urusan.

    3. Pelbagai gelagat manusia yang saya dapat perhatikan di sini. Ada yang ingin memohon bantuan, tapi pakaian tidaklah sopan dengan tidak bertudung dan ketat, menampakkan bukan seorang Islam sebenar walaupun berada di kawasan Majlis Agama Islam WPKL.

    4. Ada juga yang tidak kurang menunjuk kemewahan dengan menayangkan segala barang kemas dan juga telefon bimbit mahal, walhal masih lagi mengharap belas ihsan MAIWP.

    5. Ada juga yang siap melenting pada kaunter akibat tidak dapat bantuan setelah lama memohon, walhal tak sedar bahawa bantuan ini adalah ihsan MAIWP semata-mata. Lebih mengecewakan, si anak mengharapkan bantuan MAIWP untuk menyara ibunya, walhal sudah terang-terangan si anak yang patut berusaha untuk menyara ibu bapanya.

    6. Bagi saya, sebagai orang Islam, apabila kita tahu kita akan pergi atau berada di kawasan agama seperti Masjid / Surau / Badan yang menjaga kebajikan agama, pakailah pakaian yang sepatutnya, menutup aurat dan sopan.

    7. Nilailah diri sendiri dahulu sebelum berhajat untuk memohon bantuan. Janganlah kita tamak untuk mendapatkan wang ihsan orang lain walhal ada lagi insan yang lebih memerlukan wang itu. Apabila dapat wang itu pula, usahlah disalah guna sebaliknya gunakan dengan penuh amanah dan juga bertanggungjawab.

    8. Sebagai seorang anak, kita wajib berusaha untuk menyara diri sendiri dan juga kedua orang tua kita apabila mampu. Jangan harapkan orang lain untuk menanggung perbelanjaan mak ayah kita. Insaflah, semasa kita kecil, mak ayah kita sanggup mengerah keringat dan juga berkorban untuk menyara kita dari kecil tapak tangan hinggalah sekarang. Jadi berusahalah sebaik mungkin untuk mencari rezeki yang halal demi untuk sesuap nasi kita dan juga keluarga kita

    9. Pengalaman hari ini di MAIWP sangat menginsafkan saya. Mudah-mudahan, Allah membukakan hati individu yang saya maksudkan dalam post ini dengan baik. Bukan nak mengata, cuma sebagai perkongsian dan iktibar daripada pengalaman jalanan saya hari ini. Saya juga berharap agar Allah dapat memberikan sinar hidayah kepada kita semua agar menjadi anak yang soleh dan solehah pada ibu ayah kita.

    Terima kasih.

    Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
    UTM International Campus, KL
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan