• Kita layak mengkritik, tetapi biarlah berpada..

    Sekadar Hiasan : Jauhilah fitnah yang membawa keburukan...


    Alhamdulillah, saya masih lagi diberi kesempatan untuk menulis, dan terus menulis. Seronok juga kadang kala dapat meluahkan perasaan dalam blog dan juga berkongsi idea dengan rakan-rakan blogger yang sememangnya sporting dan juga happening... (p/s : alhamdulillah setakat ini, tetapi ada juga segelintir yang bukan). Tidak mengapalah, nak buat cam mana kan? Rambut sama hitam tapi hati lain-lain.. :)

    Minggu ini secara jujurnya minggu yang sangat padat dengan kegiatan aktiviti kolej anjuran jawatankuasa pimpinan saya. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi pada hari ini, anak-anak buah saya dalam JKM KSJ dengan jayanya menganjurkan Majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan 1432H / 2011M yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Pemangku Pengetua KSJ, Encik Mohd. Sharil Abdullah dalam satu majlis yang penuh ringkas dan bermakna. Sebelum itu, Ustaz Ismail Abbas daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengambil tempat sebagai penceramah undangan dalam slot Ceramah Perdana KSJ yang telah masuk siri 3 tahun ini, selepas Yang Bhg Ustaz Datuk Daud Che' Ngah dan Ustaz Abdullah Zuhdi menyampaikan slot yang sama sebelum ini.

    Tahniah saya ucapkan kepada Saudara Syathir dan Saudari Juwaeriyah dan rakan-rakan penganjur daripada Persatuan Mahasiswa Islam dan Majlis Perwakilan Mahasiswa (Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah) atas sebuah kerjasama yang cukup murni dalam usaha untuk pembangunan sahsiah rakan-rakan sekolej kita yang lain. Momentum ini seharusnya menjadi azimat dan tonik untuk kita semua untuk terus berusaha bukan kerana nama, tetapi demi pembangunan sahsiah kita dan rakan-rakan bersama.

    Tiba sahaja bilik, saya meluangkan masa saya untuk membuka laman sosial facebook dan membaca blog rakan-rakan. Saya kadang kala suka membaca status facebook dan post blog rakan-rakan terutama daripada daripada kampus sendiri ataupun kampus lain dan ternyata ada yang mampu mengelurakan idea yang saya rasakan cukup bernas dan terbaik, tidak kurang juga yang kerjanya asyik mengkritik dan menghentam sahaja, seolah-olah dia sahajalah yang terbaik..Post kali ini, saya akan fokuskan lensa saya untuk golongan 'bajet bagus' ini.. Bagi yang berjaya menjana idea kreatif dan baik ini, saya doakan agar anda terus menghasilkan karya-karya berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan sejagat.

    Kita layak mengkritik, tetapi biarlah berpada... Itulah kata kunci yang saya ingin tonjolkan untuk post saya kali ini. Saya sempat membaca beberapa blog yang ada kaitan ngan kampus saya. Satu blog itu pemiliknya bekas org kuat UTMiC dari kalangan siswa dan sebuah lagi blog adalah siswa semasa UTMiC. Secara peribadinya, saya cukup kesal dengan pandangan peribadi yang dikemukakan oleh pemilik-pemilik blog tersebut yang kerjanya hanya mengkritik seolah-olah mereka ini 'maha' mengetahui dan pakar segala-galanya. Apa yang orang lain buat, semua tidak kene dan bercerita seolah-olah tahu berita itu daripada pihak pertama. Saya bukanlah nak kata saya ni bagus, tidak. Cuma saya yang boleh kata kerap juga berjumpa dengan orang atasan terutama kolej tidak berani nak komen banyak-banyak kerana saya yakin banyak lagi perkara saya tidak tahu dan pasti ada sebab kenapa sesuatu dasar dibuat...

    Saya bagi contoh mudah. Isu saman. Apakah pegawai keselamatan suka-suka sahaja mahu menyaman pelajar tanpa sebab? Saya rasa, jika pegawai keselamatan itu diberi peluang lain yang lebih mudah, pasti dia akan mengambil pilihan lain melainkan jika pegawai keselamatan itu memang ada niat nak menganaiya orang. Prosidur saman setahu saya melalui taklimat yang diberi pihak pejabat bukan mudah, bukan setakat hanya menulis nombor siri atas slip saman, tetapi perlu masukkan maklumat dalam fail, akses maklumat orang yang disaman, perlu laporkan kepada pihak atasan dan buka fail kes saman. Malah, sekiranya pegawai itu salah guna kuasa, dia boleh dikenakan tindakan tatatertib yang tegas oleh pihak atasan. Bagi siswa kita, mereka hanya melihat bahawa pegawai keselamatan menyaman mereka kerana ada niat untuk bertindak zalim pada mereka.

    Mereka tahu harga saman mahal, tetapi mengapa mereka tidak ambil langkah-langkah bagi mengelakkan saman?? Bukankah itu dinamakan bijak?? Sebagai mahasiswa di sebuah universiti penyelidikan, mengapa kita tidak mahu berfikir daripada semua sudut? Jadi saya lihak amat malang disitu kerana mereka gagal untuk menggunakan pengalaman hidup selama ini atau mungkin, mereka ini masih tidak matang lagi?? (atau dalam bahasa mudahnya belum basah kain lagi la ni)...Wallahuaklam bis sawab..Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui.

    Saya juga tertarik untuk mengulas post oleh seorang bekas pemimpin pelajar di kampus saya saya yang sangat 'berkaliber' yang menghentam presiden semasa persatuan akademik di kampus. Dia mengkritik dan menyelar kegagalan presiden tersebut menyatu padukan ahli persatuannya berikutan keputusan yang merudum dalam sebuah acara tahunan anjuran sebuah badan kepimpinan di kampus. Bagi saya, menang kalah dalam pertandingan itu adalah lumrah. Kalah tak bermakna tak bagus dan yang menang bukan bermakna hebat. Semuanya pada nasib. Jadi, apakah adil untuk kita menyelar kepimpinan sedia ada akibat kegagalan untuk mempertahankan legasi yang lepas?

    Suasana tidak pernah sama, sering berubah. Hidup ini ibarat roda, ada kala diatas, ada kala dibawah. Kita harus akur pada perkara itu. Yang lepas biarkan lepas, yang sekarang biarlah ia berjalan selagi mana mampu. Setiap orang ada cara dan resipinya sendiri. Rasanya tak perlulah nak tunjuk hebat dengan mengkritik setiap apa yang kepimpinan baru lakukan. Zaman kepimpinan yang dahulu sudah lepas, biarlah lepas, yang baru, biarlah ia membina jalan legasinya sendiri.

    Saya bukanlah angkuh dengan mengkritik hamba Allah ini kata semua ini betul atau tidak, tetapi yang memberangkan saya adalah, dia mengambil pendekatan populis dengan menulis terang-terangan dalam blog dan facebook dia.. Saya yakin sedikit sebanyak maruah orang yang dikritik itu jatuh. Dan sebagai saya sebagai orang yang pernah merasai pengalaman itu merasa marah dan mengecam tindakan 'bijak' dia dalam dunia maya ini.

    Saya beralih pula kepada penulis blog yang masih lagi mahasiswa di UTMic dan saya cukup yakin bahawa dia ini pula bukanlah orang yang tahu semua dalam universiti. Saya faham, di kolej saya ini banyak masalah. Wireless, astro dan pelbagai lagi masalah jika diceritakan daripada kaca perspektif mahasiswa tentunya banyak. Jika hendak diceritakan dalam post ini, saya rasa mungkin boleh jadi ensiklopedia kolej saya, tetapi secara asasnya, memang bagus ada laporan ini, tetapi salurlah di saluran yang betul dan jangan jadikan blog sebagai mediumnya sebab blog ini dibaca oleh semua orang tidak mengira latar belakang mahupun tempat. Malu kita weh...

    Saya nak bertanyalah kepada pemilik blog ini, berapa kali dia naik turun pejabat yang sepatutnya mengurusan isu-isu ini?? Apakah maklumat yang diterima oleh dia dan diberitahu dalam blog itu sahih-sahih belaka, senang cerita daripada sumber pertama, maksud saya daripada orang yang menguruskan perkara tersebut?? Adakah dengan kelayakan maklumat-maklumat daripada rakan-rakan setempat atau satu kursus atau kepimpinan mahasiswa itu sudah cukup menyatakan kita tahu segala-galanya?? Jawapannya TIDAK..

    Jadi apakah kita layak untuk mengulas perkara yang kita tidak tahu apa-apa? Layak dan adilkah? Bukankah menyampaikan perkara yang tidak benar itu jatuhnya jenis fitnah.. Wallahuaklam..Fikirlah sendiri baik buruknya...

    Apa-apa pun, sama ada saya, dia, sinun, si fulan dan kita semua, bermuhasabah la diri sebelum mengkritik. Kita ni bukannya hebat sangat pun nak mengkritik orang. Cukup masa, ke tanah juga kita kembali. Akhirnya, Allah jua yang akan mengadili kita. Ya, nasihat dan kritikan itu kadang kala membawa kepada kebaikan, dan fakta itu saya akui kebenaran, tapi ia tidak bermakna menghalalkan kita untuk mengkritik secara berlebihan. Sebelum mengkritik, kumpullah fakta dengan tepat dan jangan main serkap jarang sahaja, akibat nanti, orang akan menyampah dengan kita dan akhirnya, kera sumbanglah kita akan jadi....

    Benarlah kata Imam Ghazali dalam riwayatnya yang menyatakan lidah (Idea) itu ibarat pedang yang tajam... Silap guna, orang lain yang akan parah... Selamat beramal dan berpesan-pesan...

    Wan Muhammad Idham Wan Mahdi,
    UTM International Campus, Kuala Lumpur
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan