Ajaibnya peribahasa..


Peribahasa Melayu yang kaya dengan maksud-maksud tersirat telah banyak membimbing saya menjadi seorang pemimpin yang baik. Bukanlah saya nak mengatakan saya baik sangat, tetapi alhamdulillah, setakat ini, Allah permudahkan urusan saya sehingga kini. Walaupun banyak kepahitan saya saya tempuhi, kadang kala saya terasa manisnya. Kali ini, saya akan menggunakan seberapa banyak peribahasa yang menggambarkan intipati yang saya ambil sebagai pengajaran buat diri saya

1. Umpama menarik rambut dalam tepung, tepung tidak bersepah, rambut tidak putus, talam tidak terbalik

Menjadi pemimpin memerlukan saya berfikir banyak kali sebelum melakukan keputusan. Silap langkah, akibatnya kredibiliti dan kepercayaan orang akan berkurangan. Teringat dialog Tan Sri Dr. P. Ramlee dalam filem anak bapak yang memarahi pemandunya kerana mengajar untuk tidak bersifat jujur dengan dialog, "Sekali orang tidak percaya aku, sampai mampus pun orang akan begitu". Yup, memang tepat sekali kenyataan itu. Menjadi pemimpin melambangkan kepercayaan orang terhadap kita. Seharusnya kita melakukan sehabis baik untuk melaksanakan amanah dan keputusan agar dapat menjadi suatu kebaikan bukan untuk jangka masa pendek tetapi untuk suatu kadar masa yang panjang.

Banyak hati orang perlu dijaga. Selain anak buah yang setia dengan saya, pegawai-pegawai diatas saya dan juga rakan-rakan yang lain tidak kiralah aliran kiri atau kanan perlu dijaga. Oleh yang demikian, keputusan yang patut diambil itu seharusnya bersifat menang-menang dan tepat. Ya, mungkin akan berlaku percanggahan tetapi sekiranya ia keputusan yang terbaik ketika itu, insyaAllah orang akan dapat menerima.

2. Sehari selembar benang, lama kelamaan menjadi kain.

Menjadi pemimpin memerlukan kita menjadi seorang yang proaktif dalam usaha memberi ilmu. Saya akui, pertama kali saya ambil alih kepimpinan persatuan memang sangat sukar, tetapi dengan berkat ilmu yang Allah kurniakan pada saya dahulu dan keikhlasan berkongsi, maka hari ini saya dapat melihat sekumpulan anak buah saya mahir melakukan tugas-tugas tertentu. Malah, mereka kini adalah kuda emas bagi gerakan mahasiswa di Universiti. Alhamdulillah.

3. Biar putih tulang, jangan putih mata.

Secara jujurnya, banyak yang telah dikorbankan sepanjang saya menjadi pemimpin. Peluang yang lebih baik, peribadi dan juga masa untuk akademik dikorbankan bagi menjayakan aktiviti mahasiswa. Saya bertekad, biarlah saya korbankan semua ini demi untuk membantu pihak universiti membina modal insan yang baik dan alhamdulillah, semuanya berjalan lancar berkat kerjasama anak buah dan juga warga pentadbiran universiti.

4. Diam bukan bermakna kalah, lantang tidak bermakna menang.

Pendekatan kepimpinan saya yang diam menyebabkan ramai yang menyatakan bahawa persatuan yang saya pimpin tidak aktif. Ada juga suara-suara sumbang yang menyatakan persatuan elit di kawasan universiti yang saya pimpin ini tidak prihatin dan sebagainya. Walhal, yang banyak membantu masalah-masalah berkaitan ketiadaan elektrik dan lain-lain lagi itu siapa selama ini terutama pada waktu tengah-tengah malam. Zombikah?

Malah, yang mengeluarkan perkataan yang tidak berasas itu adalah dari kalangan pemimpin siswa sendiri. Jadi apakan daya? Hanya diam sahajalah. Kita tengok yang mana baik dan yang mana sebaliknya. Sekiranya api berlawan api, sudah tentu marak. Maka baik api kita lawankannya dengan ais / air..:)

5. Jangan jadi resmi lalang, jadilah seperti padi, makin berisi makin tunduk...

Perjuangan bukanlah bermakna perlu mencari populariti atau pelbagai lagi pendekatan populis. Seharusnya, perjuangan menjadi azam senyap kita dalam perjuangkan hak demi kebaikan bersama. Seperti mana perang saraf, strategi ini dilihat berkesan terutama untuk menumbangkan musuh dalam selimut.

Tidak perlu pun bercakap gah berkata kita dapat itu dan ini, sebaiknya kita perlu merendah diri dan juga sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Gunakan pendekatan diplomasi dalam memperjuangkan sesuatu isu, nescaya orang akan dapat menerima apa yang diperjuangkan.

6. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.

Buatlah kerja dengan seikhlas hati, insyaAllah suatu masa nanti orang akan mengenang apa yang kita lakukan. Tidak perlu pun nak tulis autobiografi untuk diri sendiri tetapi ia akan kekal dalam satu bentuk memori yang senantiasa segar disebalik tembok bangunan atau organisasi.

Sebenarnya banyak lagi peribahasa yang hendak saya kongsikan. InsyaAllah dilain masa saya akan kongsikan lagi di lain masa dan waktu. Saya mendoakan agar semua pembaca blog saya dirahmati Allah senantiasa. Terima kasih.



Wan Muhammad Idham Wan Mahdi,
UTM International Campus, Kuala Lumpur


EmoticonEmoticon