• Hanya orang tidak beriman terlibat rasuah

    SUNGGUH menyedihkan, ramai penerima rasuah di Malaysia beragama Islam. Kebanyakan mereka adalah penjawat awam yang diberikan amanah dan kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negara.

    Semua orang Islam tahu bahawa rasuah dalam apa jua bentuk adalah haram. Perkara ini selalu disentuh dalam media sama ada akhbar, radio atau TV. Juga sering dikupas dalam ceramah agama dan khutbah Jumaat. Jika mereka kakitangan awam, sudah pasti mereka lebih tahu kerana ia termaktub dalam syarat perkhidmatan.

    Mustahil ada kakitangan awam yang tidak tahu bahawa perbuatan rasuah itu berdosa. Jika sudah tahu, mengapa masih melakukannya? Sebabnya mereka ini tidak beriman, walaupun beragama Islam. Iman dan Islam adalah dua perkara yang berbeza.

    Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? - Al Ankabuut (29): 2

    Ujian terhadap iman seseorang datang dalam pelbagai bentuk. Salah satu ialah ujian terhadap keinginan wang ringgit dan harta benda. Mereka yang melakukan rasuah gagal mengawal nafsu yang sentiasa dahagakan wang dan harta.

    Sesungguhnya hawa nafsu sangat membawa kepada kejahatan.

    Surah Yusuf, Ayat 53

    Dan nafsu ini akan dihasut pula oleh syaitan dalam pelbagai bentuk bisikan di hati atau melalui hasutan manusia lain yang dikuasai oleh syaitan: "Buatlah tiada siapa yang tahu... engkau kerja dah lama, gaji sebesar mana... ini duit terpijak... orang lain pun buat juga, tidak pun kena tangkap... bos engkau lagi makan besar."

    Di dalam Quran jelas diperingatkan bahawa syaitan itu adalah musuh utama manusia yang kerjanya sentiasa mahu menyesatkan mereka ke jalan jahat. Manusia juga diberitahu bahawa syaitan membisikkan kejahatan di hati manusia dari tempat yang tidak dapat dilihat. Dan Allah juga mengingatkan bahawa hanya orang yang beriman sahaja tidak dapat disesatkan oleh syaitan.

    Hai anak-anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua-dua ibu bapa kamu (Adam dan Hawa) dari syurga, ia menanggalkan daripada kedua-duanya pakaian untuk memperlihatkan kepada mereka aurat. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

    Al Araaf (7): 27

    Terdapat tidak kurang 80 ayat dalam Quran yang mengaitkan tentang syaitan. Dan manusia diingatkan supaya memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan syaitan. Tetapi disebabkan hanya sedikit manusia yang menjadikan Quran sebagai petunjuk, maka ramai jugalah yang tidak berwaspada terhadap syaitan dan tersisih daripada mendapat perlindungan Allah.

    Akhirnya kecundang si penjawat awam. Tambahan pula mereka ini cuai atau langsung tidak menunaikan solat lima waktu. Yang bersolat pun boleh juga tewas jika sembahyang mereka didirikan bukan di atas dasar keimanan dan ketakwaan.

    Yang ditangkap akan didakwa. Nama dan gambar mereka terpampang dalam akhbar. Ketika itu barulah berasa malu. Apabila dibawa ke mahkamah, mereka menutup muka jika ternampak kamera jurugambar. Malu mereka ini hanya kepada manusia, tetapi tidak sedikitpun dengan Allah.

    Duit rasuah yang tersimpan dalam akaun akan disita dan apabila didapati bersalah akan dirampas. Mereka juga akan dibuang kerja. Alangkah malu dan susahnya anak isteri.

    Fikir-fikirlah wahai penjawat awam kerana kerajaan sangat serius membanteras rasuah sekarang. Penangkapan beramai-ramai pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen baru-baru ini adalah mesej yang jelas.

    Tetapi yang lebih penting bagi mereka yang beragama Islam, bertaubatlah. Jadilah orang beriman yang malu dan takut hanya kepada Allah. Hukuman di dunia amatlah ringan jika dibandingkan dengan hukuman di akhirat yang Allah gambarkan dalam Quran sebagai 'sakit yang tidak terperi.'

    Sesiapa yang bertaubat, tidak mengulangi kejahatan, beriman dan kemudian melakukan kebaikan akan menerima ganjaran lebih baik bukan sahaja di akhirat, tetapi juga di dunia. Hanya orang-orang yang beriman sahaja mengetahui kebaikan yang Allah berikan kepada mereka.

    Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

    Al Ankabut (29): 7

    Dan bacalah serta fahamilah segala petunjuk daripada Allah dalam Quran.

    Alangkah ruginya mereka yang tidak membaca Quran. Ramai yang suka membaca pelbagai buku tulisan manusia, anehnya tidak membelek buku yang 'dikarang' oleh Yang Maha Mengetahui. Kata-Nya dalam Quran '' setiap helai daun yang gugur pun adalah dengan pengetahuan-Ku." Berapa banyak daun yang gugur setiap hari. Hebatnya pengetahuan Allah.

    Tetapi umumnya manusia termasuk cerdik pandai di Malaysia, lebih berbangga dengan bahan-bahan bacaan yang ditulis oleh pemikir-pemikir Barat. Tidak salah membaca karya-karya tulisan manusia itu, tetapi kenapa abaikan karya Yang Maha Agung ini.

    Baguslah mengetahui blue ocean strategy, lateral thinking dan sebagainya, tapi alangkah ruginya jika kita tidak membaca Quran yang diturunkan daripada Luh Mahfuz (dimensi gedung segala ilmu) sebagai petunjuk kepada manusia ke jalan mencapai kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.

    Buku-buku tulisan manusia, kebanyakannya hanya mengajar kita sekadar untuk jadi kaya dan bahagia di dunia. Bacalah Quran kerana ia juga pintu kepada banyak rahsia yang tidak terdapat dalam mana-mana buku nukilan otak manusia.

    Anda tidak perlu pandai berbahasa Arab untuk memahami dan mendalami isi kandungan Quran kerana ia telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa sekarang, termasuk Bahasa Melayu. Cuma berdoalah kepada Allah dengan tawaduk setiap kali sebelum membaca Quran supaya dibukanya pintu ilmu yang hak dari sisi-Nya untuk menambah keimanan anda.

    Insya-Allah anda juga akan ditunjukkan ke jalan yang lurus untuk mengenali dan mendekati-Nya sedekat-dekatnya. Subhanallah!


    Artikel Petikan : Utusan Malaysia, 17/4/2011

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan