• Surat Terbuka Kepada Semua Lepasan TIKL Mengenai Khabar Angin terbaru di SMTKL

    Assalamualaikum wrbh,

    Saya ingin menarik perhatian semua mengenai isu terbaru di sekolah kita.

    Ura-ura kini bertiup kencang bahawa SMT KL juga akan sama-sama bertukar kepada sekolah vokasional, malah dasar baru juga menyebabkan tahun depan, dengar khabarnya tiada lagi pelajar tingkatan 4 yang akan masuk ke SMTKL manakala bilik darjah akan bertukar kepada bengkel-bengkel sepenuhnya...

    Bahkan, kemasukan murid ke sekolah ini hanyalah berteraskan kemahiran 4 M, iaitu membaca, menulis, mengira dan minat. Guru-guru SMTKL juga khabarnya ramai yang pindah akibat dasar baru itu.

    Sekiranya dasar baru yg dijangkakan bakal diumumkan menteri berkenaan pada 20 Oktober ini benar, saya percaya dan penuh yakin, ia merendahkan taraf SMTKL sama seperti sekolah yang tiada kelayakan untuk masuk.

    SMTKL yang kita kenali, berjaya mengilap batu menjadi permata negara, malahan SMTKL juga satu jenama sekolah teknik yang diyakini, seharusnya tidak layak diperlakukan begitu.

    Malah, sebagai salah sebuah sekolah yang pernah memenangi anugerah Sekolah Harapan Negara dan Anugerah Inovasi Negara, apakah SMTKL juga harus menjadi sekolah vokasional di mana pelajarnya hanya layak mendapat sijil selepas itu dan tidak ada peluang untuk ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.

    SMTKL dahulu telah berjaya melahirkan Teknokrat, Ahli Perniagaan, Professional, Mahasiswa Universiti, Ahli Politik, Usahawan dan Pengerus GLC yang berjaya, apakah selepas ini kita hanya mampu mendengar lepasan sekolah ini hanya mampu jadi juruteknik dan juga orang yang hanya makan gaji sahaja?

    Secara jujurnya, saya amat sedih dengar khabar angin ini dan amat berharap pihak Alumtek KL dan juga semua lepasan SMTKL berusaha untuk mempertahankan legasi yang telah terbina sejak tahun 1926. Saya tidak sanggup untuk menerima hakikat bahawa semua ini hanya tinggal kenangan semata-mata.

    SMTKL seharusnya dinaik taraf kepada yang lebih baik, mungkin Sekolah Menengah Teknik berasrama penuh BUKAN Sekolah Menengah Vokasional. Saya amat berharap agar kita dan rakan-rakan berbincang dan dapatkan kepastian kembali daripada pihak sekolah kerana daripada pemerhatian saya, pihak sekolah hanya memendamkan sahaja berita ini dan seolah-olah merelakan legasi SMTKL terkubur akibat permainan politik pendidikan yang bermusim ini.

    Saya juga amat berharap agar kita dapat menyambut 100 tahun SMTKL pada tahun 2026 sepertimana SMTKL sedia ada, kerana teknik KL seharusnya tetap sama dari dulu, kini dan selamanya.....

    Idham Mahdi
    TIKL batch (07/08)
    Mahasiswa UTM, ic KL
    ex-Presiden PUSTAKAWAN SMTKL 2008
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan