• Kekuatan Sebenar Terletak Pada Hati


    Bersempena hari kemerdekaan yang ke-53 pada tahun ini, sekali lagi PETRONAS berjaya menarik perhatian umum dengan iklan yang berjaya menyampaikan mesej secara halus tetapi berkesan. Tema iklan syarikat GLC ini cukup mudah untuk difahami;

    "Kekuatan Sebenar Terletak Pada Hati"

    Ayuh kita renung sejenak, apakah mesej yang cuba disampaikan pada tema iklan PETRONAS kali ini?

    Jika kita lihat sekali imbas iklan ini yang berlatarkan suasana persekolahan, bagi saya, sebenarnya ia menggambarkan bahawa semangat dan azam untuk berjaya haruslah bermula daripada asas dan yang paling strategik iaitu pada zaman persekolahan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Zaman persekolahan ini dilihat amat bermakna dalam elemen pembangunan negara.

    Hal ini demikian kerana, pelajar akan mudah terpengaruh dan mengikut pembudayaan kehidupan semasa di sekolah. Itu sebablah mengapa suasana di sekolah mencerminkan hubungan kaum di negara. Di platfom inilah, jurang hubungan antara kaum mampu dikecilkan malah mampu untuk memperkasakan integrasi antara kaum.

    Cerminan ini digambarkan melalui watak utama pada iklan ini. Seorang pelajar lelaki Melayu, India dan juga Bumiputera Malaysia Timur (Sabah / Sarawak) yang sama-sama berada dalam satu pasukan dalam sebuah pertandingan rekacipta. Maksud tersirat dalam jalan cerita ini bagi saya adalah, integrasi, persefahaman dan juga perpaduan itu amat perlu bagi mencapai kejayaan yang lebih baik. Semestinya, nilai-nilai ini adalah kunci kepada kejayaan dalam pembinaan bangsa Negara Malaysia.

    Sebagai sebuah negara berbilang kaum, seharusnya kita berfikir bagaimana untuk membangunkan negara ini tanpa mengira kaum, prejudis terhadap mana-mana pihak, fahaman politik mahupun perbezaan lain yang mampu mengugat keutuhan masyarakat dalam negara kita. Nilai negatif seperti dengki kepada orang lain, bercakap besar, suka menunjuk dan juga takbur harus dibuang jauh-jauh dalam istilah masyarakat negara ini kerana ia mampu menimbulkan suasana kurang selesa dalam kalangan masyarakat negara ini.

    Sudah semestinya, setiapa cabaran itu pasti ada halangannya. Dalam iklan ini dipaparkan bagaimana rakan-rakan seteru pertandingan watak utama memperkecilkan kemampuan mereka. Begitulah realiti dunia kini. Ramai orang yang suka mengecilkan kemampuan orang lain.

    Malah, jika kita lihat dalam perspektif dunia pun, kuasa besar sering memandang enteng pada negara dunia ketiga. Malaysia, tidak terkecuali pernah berada dalam kelompok negara-negara dunia ketiga sekitar tahun 1980-an, mampu bangkit dan kini berada dalam kelompok negara-negara membangun dunia. Seandainya rakyat negara kita tidak tabah dan mudah akur pada telunjuk Barat dahulu, sudah pasti negara kita masih ditakuk lama, tidak berkembang malah mundur seperti negara-negara Afrika.

    Nilai yang paling penting ditunjukkan dalam iklan ini adalah AZAM. Azam seharusnya ditanam betul-betul di dalam hati bagi mencapai matlamat yang diinginkan. Sekiranya azam tidak teguh, maka matlamat asal boleh tersasar.

    Dalam iklan ini, kita dapat lihat selain pasukan watak utama ini ingin memenangi pertandingan rekacipta itu, mereka juga ingin membantu bapa Raju, seorang peniaga air batu campur (ABC). Keazaman mereka membuahkan hasil apabila berjaya merekabentuk sebuah kereta yang canggih malah dilengkapi dengan peralatan untuk mengisar ais dan membuat ABC. Yang lebih menarik, hasil kerja mereka bukan sahaja memenangi pertandingan itu, malah berguna untuk bapa Raju untuk membuat ABC.

    Secara keseluruhannya, mesej yang disampaikan dalam iklan ini cukup bermakna. Hati yang teguh, cekal dan juga berjiwa bebas senantiasa berusaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk orang lain. Kecekalan tiga anak muda dalam iklan ini seharusnya menjadi teladan terbaik buat anak muda dalam perjalanan mengisi kemerdekaan ini. Sesungguhnya, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sukar daripada mendapatkan kemerdekaan. Itu sebablah mengapa kekuatan sebenar terletak pada hati, bukan pada fizikal yang serba lengkap.


    Idham Mahdi
    UTM International Campus, Kuala Lumpur
    27 September 2010










  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan