• "Jaguh Rakyat " atau " Jagung Rakyat "

    Oleh Wan Muhammad Idham Wan Mahdi


    Jatuh bangun sesebuah organisasi adalah bergantung kepada kepimpinan yang diterapkan pemimpin dalam organisasi itu. Minggu ini menyaksikan negara dihangatkan dengan berita pilihanraya kampus. Para mahasiswa telah pun memilih siapakah yang akan mempejuangkan nasib mereka untuk sepanjang tahun ini. Harapan saya, bagi yang menang, laksanakan amanh itu dengan sebaik mungkin dan bagi yang tewas, tumpukan usaha anda untuk sama-sama membantu menjadikan kampus kita lebih cemerlang.

    Minggu ini saya telah memberi komen pada facebook saya mengenai kepimpinan. Bahasanya cukup mudah dan ringkas, perbezaan antara "jaguh" dan "jagung" bagi rakyat. Jaguh sinonimnya dikenali sebagai mendahului, juara ataupun menjadi ketua dalam segala aspek. Jagung pula adalah sejenis buah dan biasanya dikaitkan dengan ayat "balik kampung tanam jagung". Jadi, saya cuba kaitan dua perkataan yang bunyinya hampir sama tetapi tidak serupa ini dalam laman facebook saya. Alhamdulillah, saya dapat banyak komen daripada rakan-rakan saya yang budiman.



    Baiklah, kali ini saya ingin berbicara lebih lanjut tetang apa yang saya cuba sampaikan melalui komen facebook saya tempoh hari. Secara jujurnya, saya tidak berniat pun menyerang sesiapa melalui komen facebook saya ini. Bagi saya, setiap orang ada gaya kepimpinan sendiri, pendekatan sendiri. Biarlah mereka melaksanakan dasar kepimpinan mereka dengan aman dan juga harmoni. Apa yang saya cuba tekankan adalah, para pemimpin haruslah sedar yang setiap tindak tanduk mereka diperhatikan dan dinilai oleh rakyat. Mahu atau tidak, rakyatlah yang akan menjadi hakim dan pengkritik sejauh mana bagusnya kredibiliti seseorang pemimpin itu, bukan dari omong-omong kosong pemimpin yang menyatakan dia bagus dan macam-macam lagi.

    Menyusuri sejarah silam yang memang telah tertera pada buku sejarah dan juga Al-Quran Karim di mana telah ditunjukkan contoh-contoh dan keteladanan yang harus kita ambil iktibar dalam melaksanakan kepimpinan. Kita diceritakan bagaimana Iskadar Zulkarnian, seorang Raja Agung mampu menakluk 2/3 dunia semasa zaman pemerintahannya, malah diceritakan sendiri oleh Allah SWT didalam al-Quran. Kita juga didedahkan bagaimana Asoka, Raja India mampu membina legasi ketamadunannya sendiri. Kerajaan Rom dan Parsi juga mempunyai kisah sejarahnya kemajuan pembangunannya yang tersendiri. Kerajaan Turki Uthmaniah, sebuah kerajaan yang paling lama bertahan, selama 6 abad itu pun telah diceritakan dalam teks-teks sejarah yang tersohor. Masakan kita sebagai pemimpin cilik, bangsa yang dikatakan bertamadun kini mengambil iktibar daripada kisah yang silam.

    Jaguh rakyat. Satu perkataan yang saya akui agak bermakna bunyinya. Perkataan ini menggambarkan betapa besarnya sumbangan seseorang pemimpin berbakti kepada rakyatnya sendiri tanpa mengira masa, tenaga dan waktu. Jagung rakyat pula saya gambarkan seorang pemimpin yang hanya tahu bercakap manis-manis berlaka, tetapi akhirnya bila diperlukan khidmatnya, lari entah ke mana. Tunggulah bila pilihanraya kembali menjelma, pasti selalu nampak muka pemimpin itu dengan menabur janji-janji kosong.

    Kenapa rakyat memilih pemimpin? Pertama sekali, rakyat ingin pemimpin itu membela nasib mereka, memperjuangkan hak-hak mereka dan memberi bantuan kepada mereka. Itu yang asas sekali. Mereka bukan menuntut lebih-lebih pun. Apa yang mereka mahukan kebajikan mereka terjaga. Pemimpin yang baik dan peka, faham mengenai kehendak anak buahnya, bukan menjadi pekak, buta dan bisu pabila dilindungi dengan nikmat kemewahan dan juga kuasa ditangan.

    Cukup sedih saya nyatakan disini apabila ramai pemimpin dalam kalangan masyarakat kita yang lupa diri apabila berada di puncak. Bagai sudah hilang arah dan punca dari mana asalnya mereka. Bagi mereka, inilah peluang untuk untuk mereka mencari ramai pengaruh dan juga memudahkan urusan kroni-kroni mereka. Rakyat ramai yang masih susah, tetapi pemimpin di atas semua berkereta mewah, berumah besar. Tidak salah untuk miliki semua itu asalkan kebajikan rakyat terjaga.

    Pernahkah kita terfikir, perlukah ada rancangan-rancangan seperti Bersamamu dan juga rancangan kebajikan yang lain andai semua pemimpin melakukan amanah dengan baik?? Walhal, pemimpinlah tempat patut rakyat mengadu seandainya ada masalah. Inikah yang kita laung-laungkan jaguh rakyat?

    Saya ingin menegaskan di sini, saya bukanlah seorang penyokong fanatik bagi mana-mana parti tetapi saya lebih suka mengambil tindakan memerhati dan menegur secara terbuka ketidak sempurnaan dalam pimpinan mana-mana pihak. Yang baik saya sokong dan yang buruk saya lawan. Saya bukannnya seseorang yang suka menyokong sesuatu secara membuta tuli dan mengikut emosi.

    Pemimpin apabila diberi kuasa, haruslah menggunakan kuasa itu untuk mengubah kekurangan yang ada dalam masyarakatnya, bukannya menindas lagi kedaan rakyat yang serba daif ini. Saya bukanlah terlalu pandai untuk mengajar semua ini tetapi saya bersuara atas saya rasa perlunya pemimpin sedar peranan mereka terhadap rakyat tidak kiralah sebesar manapun peringkat kepimpinan seseorang.

    Kita seharusnya sebagai pemimpin bermuhasabah diri siapa kita sebenarnya sebelum melaksanakan seuatu perkara. Kepimpinan bukanlah suatu platfom menunjukkan kebebalan tetapi merupakan satu tempat menunjukkan sejauh mana bertamadunnya umat manusia. Pemimpin yang bijak semestinya tahu apakah peoples need analysis yang mampu memanfaatkan semua orang. Pimpinlah melalui teladan, akhlak dan ilmu yang baik.


    *Penulis adalah Pemenang Anugerah Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2008, Anugerah Inovasi Negara 2007 dan kini merupakan Ketua Jabatan Akademik dan Pengantarabangsaan, Jawatankuasa Kediaman Mahasiswa, KSJ, UTM International Campus, KL














  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan