• 3800 pelajar meriahkan Karnival Gempak KoKu 2013


    Karnival Gempak KoKu 2013 anjuran Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 18 hingga 31 Disember baru-baru ini telah mendapat sambutan hebat apabila berjaya menarik seramai 3800 pelajar menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.
    Penganjuran karnival yang diadakan saban tahun ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dengan pengajar di samping memberi pendedahan kepada mereka dengan pengalaman dan pembelajaran selaras dengan dasar pendidikan negara yang menekankan aspek akal, adab, fizikal dan sosial. Bertemakan ‘Kemahiran Insaniah Nadi Transformasi Siswa’, penganjuran karnival ini melibatkan pelajar daripada 60 kursus yang meliputi lapan teras iaitu Teras Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam, Kepimpinan, Keusahawanan, Kesukarelawan, Sukan, Daya Usaha dan Inovasi serta Kebudayaan. 
    Turut berlangsung pada waktu yang sama, Kejohanan Jemputan Futsal anjuran UTHM yang melibatkan penyertaan daripada Malaysia Technical University Network (MTUN) iaitu gabungan empat universiti teknikal yang terdiri daripada UTHM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP). Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dalam kalangan ahlinya melalui bidang kesukanan. Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan futsal lelaki UNIMAP telah berjaya merebut gelaran juara bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita pula dirangkul oleh pasukan futsal  wanita UTHM A.
    Sementara itu, bagi memeriahkan suasana kampus pelbagai aktiviti yang melibatkan sebahagian besar pelajar telah dilaksanakan sepanjang empat hari karnival berlangsung. Antaranya program Derma Darah, Senamrobik, Gotong Royong, Bengkel Penulisan Khat dan Jawi, Ceramah Kesedaran ‘Mercy Malaysia’, penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, Malam Kebudayaan, Pertandingan Kawad Kaki, Klinik Ragbi serta pameran daripada badan beruniform dan beberapa kursus kokurikulum yang lain. 
    Manakala majlis penutup karnival yang berlangsung pada 21 Disember pula berlangsung dengan meriah apabila Dewan Sultan Ibrahim, UTHM sarat dengan pelajar yang hadir memberi sokongan. Penolong Naib Canselor (Pembangunan), UTHM; Profesor Dr. Ahmad Tarmizi Abdul Karim selaku wakil rasmi Naib Canselor telah menyempurnakan upacara perasmian majlis tersebut. Turut hadir, Profesor Madya Dr. Ahmad Esa, Pengarah Pusat Kokurikulum UTHM dan juga jurulatih serta atlet dari Pusat Kokurikulum dari MTUN.
    Menyedari peranan universiti hari ini adalah jauh lebih besar dari dahulu, setiap IPTA perlu menetapkan 25% daripada keseluruhan pelajar Sarjana Muda mengambil kursus kokurikulum berkredit. Justeru selain penganjuran karnival seperti ini, Pusat Kokurikulum UTHM telah mengambil inisiatif dengan menawarkan beberapa kursus baharu kokurikulum seperti Pancaragam, Sastera Liberal (Liberal Arts), Siswa Muamalat, Bisnes Siswa, Pembimbing Rakan Sebaya, Pengurusan Diri, Debat dan Asas Kewartawanan. Selain itu, Pusat ini juga merancang untuk mewujudkan kursus-kursus baharu berteraskan kemahiran di mana pelajar berpeluang mendapat pengetahuan dan pengalaman secara ‘hands on’ selaras dengan prinsip pembelajaran kontekstual (contextual learning) yang telah digariskan. Ini menunjukkan UTHM begitu serius dalam menghasilkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah juga dalam bidang kokurikulum.
    Oleh Puan Suriati Baharom via UTHM Webpage
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan