• 100 Hari JKM KSJ 10/11 - Seuntai Kata Untuk Dirasa


    Logo 100 Hari Pentadbiran JKM KSJ

    Rasional Logo

    + Jambangan Padi bermaksud mahasiswa KSJ yang berada dalam Persekitaran KSJ dan juga keutuhan ahli JKM KSJ dalam melaksanakan amanah yang diberi
    + 3 Jalur dibelakang mewakili 3 blok dalam Kediaman Siswa Jaya

    +Harimau Malaya daripada Jata Negara melambangkan keberanian untuk berubah ke arah lebih baik dan juga kemegahan. Dua ekor mewakili kesepakatan dua tunjang utama JKM KSJ, pemimpin JKM KSJ dan Majlis Felo.

    + Bulan dan Bintang melambangkan keteguhan JKM KSJ mendaulatkan hukum Allah sesuai dengan motto UTM itu sendiri, Kerana Tuhan untuk Manusia.

    + Logo JKM KSJ adalah sebagai identiti kepada keagungan, keteguhan, kesinambungan dan kesetiaan ahli terhadap organisasi.


    Assalamualaikum wrbh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia

    Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi dengan nikmatnya kita dapat bersama-sama menarik nafas dan menikmati nikmat Allah yang tidak terkira ini. Selawat dan salam juga diutuskan buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan semoga Baginda ditempatkan di tempat yang telah dijanjikan Allah. InsyaAllah.

    Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana JKM KSJ telah berjaya menghadapi 100 hari pentadbiran JKM KSJ yang penuh dengan warna warni dan juga ragam. Bagi saya, ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan tetapi belum lagi boleh berpuas hati sepenuhnya. Menguruskan sebuah organisasi yang besar yang merangkumi 90 orang warga kerja JKM KSJ, lebih kurang 1500++ orang penghuni kediaman,dengan menguruskan pelbagai disiplin tugasan bukanlah satu tugasan yang boleh dikatakan mudah seperti memetik jari atau sesedap mulut menyebut, ianya lebih dari setitik keringat dan juga usaha jerih setiap daripada warga kerja JKM KSJ.

    Bermula daripada Majlis Tertinggi sehinggalah AJK Biasa, JKM KSJ sudah semestinya tidak berada ditempatnya sekarang sekiranya tiada komitmen padu yang pada daripada kita. Oleh yang demikan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua yang berusaha ke arah itu dan semoga Allah sahajalah yang mampu membalas jasa kalian semua.

    Menjadi JKM KSJ, bukanlah hanya sekadar membuat program untuk warga KSJ, tetapi ianya lebih kepada bagaimana kita mampu menjadi pencetus kepada pergerakan warga kediaman dan seterusnya menghidupkan kediaman dengan perkara-perkara berfaedah. Kita juga bukanlah mahu bersifat syok sendiri dalam menjalankan program, tetapi lebih bersifat yang menjurus kepada "Memperkasakan Mahasiswa" sesuai dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa UTM dan juga Matlamat yang digariskan dalam organisasi Kediaman Siswa Jaya umumnya.

    JKM KSJ juga sepanjang tempoh ini banyak belajar daripada pengalaman masa lalu sama ada yang baik mahupun sebaliknya. Lihat sahaja daripada kurangnya orang untuk program Jom Ganyang Aedes kini telah berjaya menarik ramai warga kediaman untuk menyertai program yang bermanfaat buat mereka seperti Ceramah Perdana dan juga Festival Maulidur Rasul. Kita dapat lihat disini bahawa belajar dari pengalaman lalu dapat mematangkan kita agar menjadi organisasi yang lebih baik.

    Sudah menjadi sifat manusia itu serba tidak sempurna. Yang sempurna hanyalah Yang Maha Pencipta, Allah SWT. Oleh yang demikian, pasti juga banyak kekurangan dalam organisasi muda ini tetapi saya percaya, anak-anak buah saya ini adalah pucuk yang berkualiti tinggi dan insyaAllah, mereka inilah golongan yang bakal berjaya dalam kehidupan mereka sebagai seorang mahasiswa dan pemimpin apabila tiba masanya. Dan keyakinan saya itu bersandarkan pada, mereka sedang belajar melalui platfom JKM ini.

    Buat semua anak buah saya yang dikasihi, tekadkan niat berkhidmat itu kepada Allah SWT dan Rasulnya dan fokus kepada misi kita untuk memperkasakan mahasiswa di KSJ. Usahlah gentar menerima kritikan kerana kritikan yang baik itu sebenarnya membina dan kritikan yang buruk itu sebenarnya datang dari kecemburuan mereka terhadap pencapaian kita.Jangan disebabkan kita terlalu atau memikirkan kritikan yang tidak membina daripada mereka yang cemburu dengan kita sehingga menutup daun pintu hati kita untuk melakukan yang terbaik untuk organisasi yang kita cintai ini.

    Ingatlah, tatkala orang belajar untuk mengkritik kita, kita pula belajar untuk memimpin dan juga mengurus organisasi. Jadi, kita lebih baik daripada mereka kerana kita berusaha untuk melakukan, bukan sekadar bercakap, mengutuk dan mengeji tanpa memberikan solusi yang terbaik. Jadilah seperti Tun Dr. Mahathir yang bukan hanya sekadar mengkritik tetapi juga memberikan jalan penyelesaian seperti dalam buku Dilemma Melayu dan tahan menerima kutukan serta ejekan orang dalam usaha yang membangun anak bangsa. Sekarang, lihatlah sendiri, tin biskut Dr. Mahathir yang dikritik orang yang tidak sebulu dengan beliaulah berlumba di arena f1 sekarang, besi buruk jambatan Dr. M lah yang memudahkan rakyat Pulau Pinang berulang alik dari Seberang Perai ke Pulau dan juga projek gajah putih seperti KLCC , Putrajaya dan KLIA yang memartabatkan nama Malaysia kini. Semuanya kerana ketabahan dan juga keteguhan beliau menghadapi cabaran yang mendatang dalam pentadbiran beliau dahulu, beliau berjaya dan dihormati.

    Bagi saya, adalah tidak adil untuk orang lain mengatakan setiap kejayaan yang dicapai JKM KSJ tahun ini adalah hasil orang lain seperti staf semata-mata kerana saya tahu, anak buah saya sanggup menjadi burung hantu berjaga malam untuk menyiapkan kertas kerja, turun naik pejabat untuk minta kelulusan, bersusah payah melakukan gerak kerja dan juga pelbagai lagi kerja yang tidak terungkap di sini, hanya mereka yang dalam gerak kerja program sahaja yang tahu. Ya, saya tidak nafikan usaha daripada para felo dan staf UTM, tetapi yang menjadi penggerak utama adalah kita dan seluruh mahasiswa KSJ.

    Tidak semua yang sanggup mengorbankan cuti pertengahan semester hanya untuk bersama-sama menjalankan gerak kerja program, lebih baik sahaja mereka pulang dan menikmati rehat bersama keluarga tercinta dan menikmati makanan yang sedap-sedap dirumah berbanding masakan yang masak sendiri dan belum tentu sedapnya, tetapi semua ini tidak bagi warga JKM KSJ kerana mereka inilah yang komited dan sangguh bekorban demi menghidupkan program yang mampu memanfaatkan mahasiswa KSJ.

    Apa yang saya ingin tegaskan disini, yang penting, kita tahu apa yang kita buat. Tidak perlulah semua kerja kita perlu tunjuk kepada umum kerana kita bukanlah mahukan populariti tetapi lebihkan kualiti serta prestasi. Tetapi, tidak salah daripada hasil kerja itu kita menuai hasilnya dalam bentuk penghargaan dan juga pujian, tetapi tidaklah melampau dan harus diingat, semuanya datang daripada allah SWT. Oleh yang demikan, bermuhasabahlah dengan apa jua ketentuan yang kita peroleh hasil daripada usaha kita bersama.

    Kejayaan menganjurkan program bukan terletak kepada Pengarah program semata-mata, tetapi terletak juga kepada anak buah yang sanggup sehidup semati dan berjuang ketitisan darah terakhir. Ini kerana, setiap usaha bersama inilah yang berjaya menghidupkan kediaman, bukan hanya one man showmanship.

    Maka,di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Tuan Pemangku Pengetua, Encik Mohd, Sharil Abdullah atas segala tunjuk ajar, dorongan, nasihat dan juga bantuan yang diberikan buat kami semua warga JKM KSJ. tidak lupa juga kepada semua felo dan juga pembantu felo yang banyak membantu kami ke arah memantapkan pengisian program dan organisasi tidak kira peringkat pusat mahupun blok. Tidak ketinggalan, mantan Pengetua Kediaman Siswa Jaya, Encik Noh Muhamad Adlan Mohd Noh yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar semasa tempoh beliau berkhidmat buat kami. Festival Maulidur Rasul KSJ berjaya itu adalah dorongan dan juga motivasi Encik Noh yang cemerlang dan diharmonikan lagi dengan keunggulan pengurusan program oleh Encik Sharil dan hakikat itu tidak dapat dinafikan. Titik tolak itulah sebenarnya JKM KSJ bergerak sebagai pasukan yang mantap tetapi masih belum sempurna. Dan kesempurnaan itu akan bertambah setiap kali pengalaman itu dirasai.

    Tabik hormat saya juga ditujukan buat Timb Presiden, Ketiga-tiga Naib Presiden,Setiuasaha Agong dan Timbalannya, Bendahari Agong, serta organisasi blok yang merangkumi Naib Setiusaha dan Naib Bendahari dan Ahli Jabatan-Jabatan kerana telah berjaya menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Mungkin ada juga yang kurang berjaya atau langsung tidak berjaya, diharap perbaikilah dengan segera dan pastikan anda sempat tinggalkan sesuatu yang bermakna sebelum peluang itu terlepas. Biarlah orang kenang kita semua kerana apa sumbangan kita pada kediaman,bukan jawatan kita pada kediaman.

    Akhir sekali, harapan saya agar usaha kita tidak terhenti takat disini sahaja untuk memajukan JKM KSJ dan kediaman amnya. Teruskan perjuangan, ayuh aturkan langkah dan bergerak sederap seperti segerombolan batelion tentera yang gagah perkasa. Persiapkanlah senjata kita dengan sempurna dan ayuh kita gempur halangan pelbagai rupa untuk menuju ke arah destinasi iaitu punjak jaya.

    Selamat Menyambut Hari ke-100 Pentadbiran JKM KSJ dan teruskan perjuangan!

    JKM Memperkasakan Mahasiswa

    Ikhlas,

    Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
    Presiden

    Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya

  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan