Dugaan & Ujian - Sebuah Rumusan dalam Perspektif Kita

oleh Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
UTM International Campus, Kuala Lumpur

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam keapada Rasul Junjungan, Muhammad SAW, Para Sahabat, Para Pejuang Panji-Panji Allah, para ulama’ seterusnya kepada mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.

Alhamdulillah, kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk hidup di bumi Allah yang serba menakjubkan ini. Bersyukur juga ke hadrat Illahi kerana negara yang kita huni ini aman dan tenang di bawah panji-panji Allah.

Tatkala kita semua sedang bertungkus lumus membuat persiapan akhir menghadapi Peperiksaan Akhir Semester ini, sudah semestinya banyak dugaan Allah yang diperoleh. Sukar untuk menghafal ilmu, mudah lupa, cuai dan bermacam-macam lagi ujian yang menimpa kita sepanjang kita berjihad ilmu ini.

Tidak kurang juga dugaan yang berada diluar lingkup kita selaku mahasiswa. Saya pasti, ada diantara kita yang sedang menghadapi detik-detik yang tidak diduga seperti mak ayah di kampung jatuh sakit, saudara mara kembali ke rahmatullah atau pelbagai lagi dugaan yang sememangnya menguji keimanan dan kesabaran kita sebagai seorang muslim yang beriman.

Saya ingin berkongsi beberapa input yang saya peroleh daripada pembacaan saya daripada buku yang bertajuk, “Merentasi Ujian dan Rintangan Mendaki Kejayaan” karya Syeikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairi terbitan Pustaka Al-Bayan. Dalam buku beliau menyatakan bahawa, antara bekalan yang perlu dimiliki oleh setiap muslim iaialah ilmu yang berkaitan dengan sebab-sebab terjadinya musibah dan cara-cara yang mampu mendorong kita ke arah keteguhan jiwa serta memahami dan yakin dengan kelebihan, balasan pahala dan juga ganjaran buat orang yang menghadapi musibah dengan tabah dan juga sabar.

Kajian ahli motivasi dan melalui pengalaman mereka mengenai musibah dan dugaan ini, adalah dapat dirumuskan bahawa;

1.Cabaran dan ujian itu mempunyai hikmah dan ia merupakan sunatullah kepada para utusan-Nya (rasul) dan para pengikutnya (Kitab Ma’abad, Jilid 3: 219)

Rumusan ini telah diperkuatkan lagi dengan pandangan dalam kitab Min Wasail Daf’ ul-Ghaibah, halaman 209 yang menyatakan;

Sudah menjadi sunnah Illahi (sunnatullah), ujian dan cabaran pasti akan datang pada setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini, terutama mereka yang berjuang pada jalan Allah SWT


Sudah jelas dinyatakan oleh para ulama’, cabaran kepada kita sebagai seorang yang sedang berjihad pada jalan Allah terutama sebagai seorang penuntut ilmu pasti akan diuji dengan tujuan untuk menentukan sejauh mana berimannya seseorang hamba itu dengan ajaran-Nya dan indikator sama ada bertambah kukuhkah iman kita semasa kita mempelajari ilmu baru itu.


Oleh yang demikian, sebagai Muslim dan pejuang di jalan Allah, kita haruslah memahami bahawa jalan kemenangan dan hasil yang baik adalah ganjaran setelah melalui ujian, cubaan dan pelbagai kesulitan, kerana kemenangan yang dicapai melalui ujian ini adalah yang paling mahal dan berharga.


Saban hari, kita berjalan melihat pokok. Adakah kita berfikir bagaimana pokok itu mampu hidup subur? Bagaimana pokok-pokok buah menghasilkan buah-buahan yang manis dan pokok-pokok bunga menghasilkan bunga yang cantik? Sudah tentulah semua ini jasa-jasa baja yang datangnya dari kotoran dan najis yang kita anggap jijik dan tidak berguna. Demikian jugalah manusia, cabaran dan ujian itulah yang mampu menyuburkan jiwa dan mematangkan fikiran dengan pengalaman yang kita tempuhi semasa ujian.

Maha Suci Allah menjadikan pokok disekeliling kita. Apakah kita berfikir mengapa pokok ini boleh tumbuh subur disekeliling kita?

Firman Allah SWT dalam Surah Nasyrah, ayat 5 dan 6;

Maksudnya : “Di sebalik kesukaran itu ada menanti kemudahan dan kejayaan

Jelaslah melalui firman Allah SWT dalam surah ini menyatakan bahawa kesukaran itu adalah kunci sesebuah kejayaan dan sudah semestinya Allah SWT memberikan kemudahan buat hambanya yang berada dalam kesukaran.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam kitab Al-Arbain, Imam Nawawi, hadis ke-19;


Ketahuilah bahawa sesungguhnya pertolongan (Allah) itu beserta kesabaran, sesungguhnya ketenangan dan kebahagiaan itu berserta kesedihan dan kesusahan dan sesungguhnya berserta kesukaran itu adalah kemudahan (kejayaan)”


Maka sudah teranglah bahawa jihad kita dalam menuntut ilmu ini pasti dipenuhi dengan cabaran-cabaran yang sememangnya yang tidak dapat kita duga atau jangkaukan. Oleh yang demikian, kita tidak harus berasa sedih mahupun menyalahkan takdir atas dugaan yang menimpa sebaliknya bersyukur dan seterusnya berusaha bagi menjadikan hidup kita lebih baik kerana ujian Allah yang datang itu adalah sebagai sebuah indikator buat diri kita yang memerlukan kita berfikir sejenak dan kembali merenung hubungan kita dengan Allah SWT.

2.Manusia yang senantiasa menyedari bahawa mereka setiap kali akan didatangi ujian oleh Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, mereka akan sentiasa mempersiapkan diri mereka untuk menghadapinya disertai dengan pergantungan dan senantiasa memohon perlindungan kepada Allah SWT.

Dari intipati ini, jelas dinyatakan bahawa kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapi ujian Allah SWT pada setiap masa. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Ujian Allah itu bukanlah sebuah temujanji yang kita sendiri mengetahui bila tarikh untuk ia berlaku sebaliknya ia datang secara tiba-tiba, mungkin sebentar lagi, mungkin juga esok atau lusa, tanpa kita ketahui.


3.Seseorang yang tidak teguh dan tidak tabah dalam menghadapi ujian dan musibah merupakan sebab yang utama ia boleh menyimpang dari agama Allah dan berkemungkinan boleh tergelincir kepada kerosakan iman dan akidah, kesan daripada bersangka buruk terhadap Allah SWT yang menganggap ujian dan musibah itu sebagai penzaliman ke atas dirinya sedangkan Allah datangkan ujian itu adalah untuk melatih dirinya bersabar dan akan dibalas dengan kejayaan di dunia dan pahala untuk ke syurga serta selamat di akhirat seperti mana seruan Azan Solat lima kali sehari.



Setiap hari Muazzin menyeru kita agar menuju kejayaan di dunia dan di akhirat, lima kali sehari siang dan malam


4.Seseorang yang tidak memahami hikmah di sebalik ujian dan musibah memudahkan dia dihasut dan dirosakkan hati serta imannya oleh syaitan dan nafsunya sendiri.

Sering kali kita pasti akan terdengar rakan-rakan kita mengeluh ataupun kita sendiri yang terdetik, mengeluh atas musibah yang melanda diri kita. Sebagai jalan dan cara untuk menolaknya, para ulama menggariskan bahawa hanya dengan panduan ilmu-ilmu yang berasaskan keyakinan kepad Allah, Tuhan yang mendatangkan ujian serta memberikan hikmah (sebab) atas sesuatu. Segala sumber itu haruslah digali daripada dalil-dalil syarak, dari Al-Quran Karim, hadis-hadis Rasulullah SAW serta athar para sahabat dan juga pesanan para ulama’ terdahulu yang soleh.

Selain itu, kita dikurniakan Allah senjata yang tidak ternilai harganya iaitu do’a dan juga solat-sunat sunat untuk berhubung dengan Allah secara peribadi. Gunakanlah dengan sebaiknya dan bersungguh-sungguh kerana Allah akan menolong hambanya yang benar-benar ikhlas dan juga khusyuk dalam jihad dan ibadatnya.

5.Setiap hari kita akan diperlihatkan saudara-saudara kita, sahabat handai kita ditimpa musibah dan ujian dalam pelbagai bentuknya di segenap penjuru dunia. Ada yang bertambah iman mereka dan tidak kurang juga sebaliknya. Seharusnya, kita sebagai manusia segera persiapkan diri dengan ilmu dan keyakinan agar segala peristiwa yang dilihat dan dialami kita dapat menjadi pengajaran yang dapat mengukuhkan iman dan akidah kita terhadap Allah Azawajallah.

6.Selaku hamba Allah SWT, kita hendaklah berharap agar tidak termasuk dalam golongan yang difirmankan dalam Al-Quran dalam surah Al-Haj ayat ke 11;

Maksudnya : “Dan antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi (tidak dengan penuh keyakinan, maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu (suka hati), dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang (kembali kafir). Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata

Dalam firman Allah yang lain dalam surah Al-Ankabut, ayat 10;

Maksudnya : “Dan antara manusia ada orang yang beriman kepada Allah, maka apabila ia disakiti (kerana ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai (melebihi) azab Allah

Sebenarnya, sudah terang-terangan ayat ini menemplak golongan manusia yang tidak tahan dengan ujian Allah sedangkan dia mengaku beriman dengan kalimah syahadah dan mengamalkan suruhan Allah SWT dengan menganggap bahawa ujian itu sama seperti azab Allah sehingga sanggup meninggalkan perintah dan melanggar larangan Allah SWT.

7.Kita harus sedar bahawa tiada jalan lain untuk mendidik jiwa agar sentiasa bersabar dan teguh dalam menghadapi ujian dan berhadapan dengan musibah, kecuali dengan mempelajari dan memahami tentang hakikat dan ujian sesuatu itu.

Huzaifah bin al-Yamani pernah berkata dalam kitab Muttafaq ‘Alaihi:

Dulu ada orang bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan , tetapi aku bertanya kepada Baginda tentang keburukan, kerana aku takut keburukan itu (jika aku tidak mengenalinya) ia akan menimpaku (tanpa aku sedari)”

Menurut hadis Huzaifah di atas, adalah disarankan untuk kita berimbang (adil) dalam memahami ujian dan musibah. Allah SWT telah menjadikan kita” umat pertengahan” di antara umat-umat yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud;

Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (saksi atas perbuatan orang yang menyimpang dari kebenaran baik di dunia mahupun di akhirat) dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi pula atas (perbuatan) kamu...”

Oleh kerana itu, bukanlah suatu perkara yang dianjurkan bagi orang yang terlalu yakin dengan balasan baik di sebalik ujian dan cubaan sehinggakan mengharap ujian dan musibah agar diberikan pahala atau lain-lain ganjaran Allah kerana hadis Rasulullah SAW bersabda, dalam kitab Munttafaq’ Alaihi;

Wahai Manusia, janganlah kamu mengharapkan bertemu dengan musuh, melainkan mohonlah pertolongan kepada Allah akan kebaikan. Namun jika bertemu juga mereka (musuh), maka bersabarlah

Semoga kandungan dalam penulisan ini dapat menjadi panduan kepada diri saya dan juga rakan-rakan. Ingatlah, bahawa amal yang baik akan senantiasa mendapat perlindungan Allah jua. Berjuanglah atas nama Allah, nescaya Allah akan bersama-sama kita. Semoga kita dapat mengharungi cabaran dalam hidup kita dengan tabah dan sabar, seterusnya pulang membawa kejayaan yang memang tidak ternilai harganya jika dibandingkan barangan dunia ini. Selamat beramal dan selamat menduduki peperiksaan akhir tahun.

Rujukan Utama :

1. Merentasi Ujian dan Rintangan Mendaki Kejayaan, Syeikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairi, Pustaka Al-Bayan 2009

2. Kitab Fadhilat Amal, terbitan 2001


Catatan : Penulis merupakan mantan Ketua Jabatan Akademik dan Pengantarabangsaan, Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya, UTM International Campus K. Lumpur 2010 dan merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan 2008 .

2 comments

salam..
entri yang menarik
syukran.. :)
cuma ingin bertanya, berkenaan dengan Kitab Ma’abad, Jilid 3: 219, merujuk kepada bahagian entri :
--------------------------------------------

1.Cabaran dan ujian itu mempunyai hikmah dan ia merupakan sunatullah kepada para utusan-Nya (rasul) dan para pengikutnya (Kitab Ma’abad, Jilid 3: 219)

--------------------------------------------

jilid ke-3 ini, cetakan yang keberapa? ada sebahagian isinya telah diperbaharui ( ditambah ).pada jilid yang terdahulu, kiranya tiada.dengan kata lain, cetakan yang terbaru, mengupas isinya dengan lebih jelas.

Waalaikumussalam,
Terima kasih atas keprihatinan dan kesudian menimba ilmu di blog saya.
mengenai persoalan saudara yang ditimbulkan, saya merujuk pada buku "Merentas Ujian dan Rintangan Mendaki Kejayaan, karya Al-Fadhil Syeikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairy, beliau merupakan seorang penulis yang mengkaji kitab-kitab lama fiqh dan juga ibadah ini...
Saudara boleh dapatnya di kedai-kedai buku Islam dengan harga RM15 x silap saya...Terima kasih...


EmoticonEmoticon