Politik Mahasiswa :: Dari Kaca Mata Penulis

Oleh Wan Muhammad Idham Wan Mahdi

Setiap hujung tahun, atau lebih tepat lagi, hujung semester satu setiap tahun, pasti ada kempen-kempen politik dalam kampus yang mempromosi parti dan juga calon yang bakal bertanding dalam pilihanraya kampus (PRK) sama ada pada hujung semester ini mahupun awal semester akan datang.

Dalam facebook saya, banyak parti politik mahasiswa cuba mencari pengaruh dengan menambah kenalan dan juga membuka laman blog dan juga halaman parti atau calon masing-masing. Nampaknya, mereka ini benar-benar bersungguh-sungguh untuk menang dalam PRK pada tahun ini.

Dalam kita memilih siapakah calon yang layak untuk mengemudi bahtera kepimpinan, beberapa faktor haruslah diambil kira, sama ada dalaman mahupun luaran.

Jenama

Bagi semua parti politik siswa yang bertanding, sudah semestinya jenama itu amat ditekankan semasa kempen politik mereka. Bagi penyandang kerusi, modal inilah yang digunakan bagi menarik undi dengan mencanangkan perubahan-perubahan lalu yang telah berjaya diperjuangkan. Bagi mereka, mereka telah berjaya membawa sesuatu yang baik untuk rakyat kampus dan seterusnya layak untuk diberi mandat lagi untuk memegang tampuk kuasa politik kampus.

Bagi calon baru dan parti lawan pula, mereka akan menggunakan profil calon sebagai kekuatan dan juga penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti bersama badan-badan kepentingan di luar atau dalam kampus sendiri. Kadang kala, saya merasa, parti 'independent' ini lebih baik kerana dari segi ideologinya, mereka lebih matang dan juga kerap bercampur dengan masyarakat luar, jadi mereka sebenarnya lebih mendalami masyarakat kampus dan mereka yang berada di luar kampus.

Kekuatan Calon

Kekuatan calon adalah antara kunci kemenangan utama dalam PRK. Kebiasaannya, parti-parti yang bertanding akan meletakkan calon-calon yang popular untuk dicalonkan dalam PRK. Persoalannya, apakah calon-calon yang popular itu disebabkan kredibilitinya dalam organisasi, kekuatan ilmu duniawi dan ukhrawi, ataupun setakat menjadi jaguh kampung sahaja.

Inilah silapnya tanggapan siswa itu sendiri. Mereka hanya mampu menilai orang hanya berdasarkan populariti semata-mata, tidak melihat daripada faktor-faktor lain. Itulah puncanya mengapa pemimpin siswa hanya berjuang berpaksikan duniawi sahaja, ukhrawi hanya dipandang enteng. Ideologi perjuangan pula, hanyalah untuk mencari populariti, jika tidak pun, hanya untuk menyedapkan hati pihak-pihak tertentu.

Calon seharusnya bukan hanya pandai bermain retorik, tetapi mestilah pandai dan tabah melaksanakan segala amanah yang telah 'rakyat kampus' berikan kepadanya. Seperkara lagi perlu diingatkan kepada pemimpin-pemimpin siswa ini adalah, mereka bukan ketua kepada rakyat, tetapi mereka berkhidmat untuk rakyat, tidak perlu berprotokol dan ber 'YB' untuk berjumpa dengan mereka.

Ideologi

Faktor ideologi kempen merupakan senjata dalam setiap kempen PRK. Sudah semestinya, ideologi dan janji yang berkepentingan dengan 'rakyat kampus' akan memenangi undi pada PRK. Persoalan yang cuba dilontarkan adalah, apakah janji yang dibuat itu semuanya ditunaikan? Apakah calon mempunyai kuasa dan sumber untuk memastikan semua yang ditabur itu tertunai? Jawapannya, TIDAK.

Hal ini demikian kerana, apabila calon itu menang, sudah semestinya calon akan bekerja bersama-sama pihak pentadbiran kampus. Pentadbiran kampus yang membuat segala keputusan, calon hanyalah mengemukakan aduan dan pandangan. Apakah ini juga dilihat sebagai satu perjuangan? Dalam perihal ini, pemimpin siswa haruslah dilihat sebagai pemudah bicara siswa kepada pihak pentadbir, bukan sebagai hero kepada mahasiswa.

Ideologi yang baik dan matang tidak akan menyakiti mana-mana pihak. Bak kata pepatah, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak tumpah, talam tidak terbalik. Ideologinya mampu diterima dengan baik oleh smua pihak sama ada pihak rakyat, rakan dan juga saingan calon. Biasanya, ideologi-ideologi ini bersifat universal, tidak hanya bersifat politik kampung yang hanya bising di kedai kopi sahaja.

Pengaruh

Sudah semestinya, pengaruh merupakan bonus buat calon yang bertanding. Malah, pengaruh inilah yang boleh menjadi pemudah bicara untuk calon yang bertanding untuk menerangkan faktor-faktor yang saya kemukakan sebelum ini. Mereka inilah bertindak sebagai askar bagi memastikan calon mereka dijulang ke puncak kuasa kepimpinan kampus.

Pengaruh juga mampu menarik rakan-rakan mereka agar melobi calon pilihan mereka. Persolannya kini, apakah pengaruh itu benar-benar menyokong calon atau ada agenda tertentu bagi membayar kembali hasil melobi yang telah mereka canangkan? Semuanya terletak selepas tempoh pilihan raya tersebut.

Analisis Penulis

Pada hemat saya, calon yang mempunyai keempat-empat faktor di atas ini mempunyai peluang yang teramat cerah untuk menang. Walau bagaimanapun, yang terpilih itu bukan bermakna mereka hebat dan yang tidak terpilih itu bukan bermakna mereka itu gagal. Adat pemilihan, menang kalah itu menjadi lumrah.

Seharusnya, yang menang itu haruslah menjalankan tugasnya dengan baik dan seperti yang telah diamanahkan dan calon yang tewas seharusnya teruskan berjuang dan membantu calon yang menang untuk memperbaiki perkara-perkara yang terlepas pandang. Persoalan parti A dan B haruslah ditolak jauh-jauh kerana ia adalah agenda berkaitan kepentingan bersama, bukan perseorangan.

Dalam Islam, memang ada istilah politik, malah politik itu sebahagian daripada Islam TETAPI Islam tidak pernah ada definasi POLITIK KEPARTIAN. Politik kepartian sebenarnya ideologi pihak kolonial bagi memusnahkan politik negara bekas jajahannya untuk jangka masa yang panjang. Dalam Islam hanya menekankan semangat kerjasama dalam kepimpinan demi pembangunan ummah dan juga negara.

Sebaik-baik contoh pimpinan adalah pimpinan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Keseimbangan kepimpinan duniawi dan ukhrawi seharusnya menjadi tunjang kemajuan ummah. Al-quran dan Hadis Nabi SAW menjadi rujukan utama dalam melaksanakan agenda kepimpinan. Itulah sebab utama mengapa zaman Nabi SAW dan Para Sahabat digelar zaman emas dalam pentamadunan dunia.

Mahasiswa kini hanya lebih suka berhibur dengan budaya hedonisma yang berpaksikan barat dan semakin menjauhi suruhan agama. Al-Quran dan Hadis dianggap tidak lagi relevan buat masa kini sebalinya lebih menyanjung karya-karya kepimpinan barat yang banyak mengarut dan menciplak dari tamadun Islam.

Bagi saya, saya tidak melihat mahasiswa itu matang sepenuhnya malah masih perlukan pimpinan. Jika benar mahasiswa itu matang, mengapa masih ditakuk lama dengan memperjuangkan ideologi-ideologi yang basi sahaja misalnya isu 3K, Kafe, Kolej dan Kebajikan?? Seharusnya, sebagai seorang mahasiswa, kita harus memandang kehadapan dan memikirkan idea-idea bagi membangunkan masyarakat di negara kita.

Persoalan seperti AUKU pula jika dilihat secara matang, apakah dengan adanya AUKU, mahasiswa tidak dapat menyuarakan pendapat dengan bebas? Bagi saya, mahasiswa mampu menyuarakan apa sahaja pendapat mereka di mana-mana media asalkan mestilah bersifat bernas dan berhemah. Medium akhbar misalnya, sentiasa terbuka untuk itu. Jadi gunakanlah sebaiknya dengan isu-isu yang memperjuangkan kepentingan sejagat, bukan hanya untuk perjuangan politik sempit yang tiada kesudahnnya.

Kesimpulan

Menilai kembali arena politik di kampus, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Calon yang mempunyai keempat-empat kriteria sebenarnya mudah sahaja untuk dicari. Apa yang menjadikannya sukar adalah, SEJAUH MANA KEKUATAN ILMU DAN IMAN calon tersebut. Ilmu dan Iman itulah yang mencorakkan amalan seseorang itu.

Dari pandangan saya, pemimpin siswa kini lebih memilih pendekatan selamat dengan memperjuangkan hak siswa secara total tanpa menilai baik buruknya apa yang diperjuangkan. Ya, itulah yang seharusnya diperjuangkan, menjaga hak-hak kebajikan mahasiswa, tetapi tidak semua mahasiswa betul. Seharusnya, pemimpin perlu menilai setiap perkara yang diperjuangkan agar tidak menimbulkan rasa kurang senang pada mana-mana pihak.

Boleh dibilang dengan jari, berapa ramai pemimpin kita yang rajin turun ke surau atau masjid untuk solat berjemaah? Jika benarlah mereka itu sebenar-benar pemimpin, pasti suruhan penciptaNya tidak dipandang enteng.

Ironinya, pemimpin siswa itu harusnya mempunyai kesimbangan duniawi dan ukhrawi yang baik agar objektif kepimpinan tercapai dengan cemerlang tanpa mencelakan mana-mana institusi yang berkaitan sama ada masyarakat, agama, negara, bangsa dan dunia.

Wan Muhammad Idham Wan Mahdi,
Ketua Jabatan Akademik dan Pengantarabangsaan,
JKM Kediaman Siswa Jaya 2010,
UTM International Campus,
7 Oktober 2010.




EmoticonEmoticon