4 terima Anugerah Merdeka

Najib Tun Razak bersama penerima Anugerah Merdeka selepas menyampaikan anugerah tersebut di Dewan Filharmonik Petronas, malam tadi. (Dari kiri) Tan Sri Just Faaland, Prof. Dr. Harith Ahmad, Datin Paduka Mother Mangalam a/p Iyaswamy Iyer dan Prof. Emeritus Dr. Yong Hoi Sen. Turut kelihatan ialah Pengerusi Merdeka Award Board of Trustees, Datuk Shamsul Azhar Abbas (tiga dari kanan), Hugh W Thomson dan Mohd. Anuar Taib (kanan).

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan penyampaian Anugerah Merdeka 2010 kepada empat penerima di Dewan Filharmonik, Menara Berkembar Petronas di sini malam ini.

Mereka adalah Presiden Seumur Hidup Persatuan Pure Life (PLS), Datin Paduka Mother Mangalam Iyaswamy Iyer; dua ahli sains iaitu iaitu Profesor Emeritus Dr. Yong Hoi Sen dan Profesor Dr. Harith Ahmad serta pakar ekonomi antarabangsa dari Norway, Tan Sri Just Faaland.

Mangalam, 84, dinobatkan sebagai penerima kategori Pendidikan dan Komuniti anugerah itu atas sumbangan kepada golongan kanak-kanak serta masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama yang memerlukan bantuan, perhatian serta kasih sayang.

Anugerah Merdeka bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik pula dimenangi secara bersama oleh Hoi Sen dan Harith - kedua-dua mereka dari Universiti Malaya.

Hoi Sen, 63, pakar bidang zoologi dan botani yang kini berkhidmat sebagai Profesor Emeritus di Institut Sains Biologi UM mencatatkan beberapa kejayaan antaranya, menyelesaikan misteri fenomena titisan air berwarna kekuningan yang didapati sering melekat pada tumbuh-tumbuhan yang sebenarnya berpunca daripada najis lebah madu.

Harith, 46, pula menerima anugerah itu berikutan penyelidikan yang dibuatnya dalam bidang fotonik iaitu kajian mengenai cahaya termasuk lampu, menghasilkan, mengukur dan memanipulasi cahaya, laser, optik serta gentian optik.

Penerima terakhir, Faaland, 88, menerusi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia terpilih kerana pernah terlibat dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas negara menyaksikan Tragedi 13 Mei 1969.

Beliau yang kini bertugas sebagai Perunding Kanan Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway, memberi idea itu ketika berkhidmat membantu Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mewujudkan DEB selepas peristiwa berdarah tersebut.

Tiada pemenang terpilih bagi dua lagi kategori iaitu Alam Sekitar serta Kesihatan, Sains dan Teknologi tahun ini.

Setiap kategori anugerah yang diasaskan Petronas, ExxonMobil dan Shell itu menawarkan hadiah wang tunai RM500,000, piala dan sijil manakala penerima bersama pula menerima RM250,000 setiap seorang.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang juga Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan dua lagi anggota pemegang amanah iaitu Pengerusi ExxonMobil Malaysia, Hugh W. Thompson dan Pengerusi Shell Malaysia, Mohd. Anuar Taib.

Sumber : Utusan Malaysia 27/10/2010


EmoticonEmoticon