Sudut Pidato: Mahasiswa masih belum bersedia?

Oleh;
Saudara Muhammad Zaki Omar,
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Universiti Teknologi Malaysia,

Johor Bahru, Johor.


Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan 1Malaysia..

Sudut pidato telah dibenarkan semula sejak hampir setahun lalu dan ramai berpendapat bahawa kerajaan makin terbuka untuk melihat aktivis mahasiswa kembali segar berpencak kata dan minda secara aktif dalam kelompok masayarakat.

Saya dapat melihat dan mengesan sedikit perubahan dalam luahan rasa rata-rata masyarakat dan para graduan yang telah bergraduasi sejak 20 tahun lepas. Di mana nada suara mereka menampakkan sedikit kelegaan dan rasa puas apabila hak mahasiswa untuk bersuara dibuka satu 'anak tangga' lagi.


Sudut Pidato : Diwujudkan semula selepas tiga dekad diharamkan oleh kerajaan.

Sejak berlakunya gerakan mahasiswa pada tahun 70-an, suara gerakan mahasiswa yang terlalu aktif menimbulkan sedikit 'kegerunan' pihak kerajaan terhadap mereka. Isu kemiskinan di Baling antara yang menjadi titik tolak kebangkitan mahasiswa. Gerakan mereka dihadkan dan berlaku penangkapan dan pemenjaraan aktivis mahasiswa apabila kestabilan sosial, keselamatan, aktiviti ekonomi dan kestabilan pentadbiran negara menjadi perkiraan.

Akan tetapi kontra turut berlaku di sesetengah universiti apabila pencapaian akademik sesetengah mahasiswa merudum teruk dan aktivisme mereka dalam bersuara bagi pihak masyarakat dikaitkan. Malah ada juga suara yang mempersoalkan kenapa hanya pencapaian akademik mahasiswa bumiputera merudum teruk dan mahasiswa bukan bumiputera kekal dengan kecemerlangan mereka? Adakah pensyarah bukan bumiputera melakukan sabotaj terhadap mahasiswa bumiputera?

Saya mengetahui sedikit sebanyak persoalan yang berlegar dalam perkara di atas. Akan tetapi, oleh kerana belum menemui sumber rujukan yang sahih maka saya tidak bercadang menulis panjang dan hanya menganggap itu semua telah menjadi lipatan sejarah. Tapi kita masih perlu belajar daripada sejarah agar pisang tidak berbuah 2 kali. Seorang Muslim juga tidak wajar dipatuk ular 2 kali dalam lubang yang sama.

Kenapa mahasiswa masih belum sepenuhnya menggunakan sudut pidato? Apa yang membuatkan mereka tidak merasa mahu berdiri di khalayak ramai dan memberikan pidato mereka terhadap masyarakat intelek di kampus? Adakah mereka takut dikritik? Atau mereka tiada sesuatu apa pun untuk disampaikan kepada warga kampus? Prosedur menjadi halangan?

Saya berpeluang untuk duduk semeja bersama Dato Saifuddin Abdullah ketika makan tengahari selepas tamat sesi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan 2010 (MPPK 2010). Isu sebuah universiti yang menetapkan berbagai pra-syarat untuk mahasiswa berpidato dibangkitkan oleh seorang pegawai KPT. Dato Saifuddin yang berportfolio Timb. Menteri 2 (Hal Ehwal Pelajar) secara spontan meminta Prof. Azali, Pengarah HEP KPT agar menegur IPTA tersebut supaya mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan proses mahasiswa berpidato.

Tidak perlu teks awal dan tidak perlu menetapkan samada dwi bahasa ataupun tidak. Terpulang kepada mahasiswa yang mahu berpidato. Jika terlalu banyak birokrasi terlibat, mahasiswa yang berminat pasti akan hilang mood untuk berpidato dan akhirnya pentas yang dibina akan terbengkalai begitu sahaja.

Suka untuk saya ingatkan kepada mahasiswa bahawa sudut pidato bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersuara kepada masyarakat kampus. Jika mahu bersuara kepada masyarakat Malaysia, kolum-kolum akhbar banyak tersedia seperti Varsiti Berita Harian, Helo Kampus Utusan Malaysia, Suara Siswa Harian Metro dan lain-lain. Dunia maya juga tidak terhad dengan ruang untuk bersuara dalam blog, facebook, twitter, myspace dan banyak lagi. Oleh itu saya ingin menafikan bahawa mahasiswa tidak diberi peluang untuk bersuara.

Jika ingin menyentuh isu-isu sensitif, saya menyarankan anda benar-benar mendalami isu dan tidak sekadar menulis dan bersuara atas dasar rasa mahupun agak-agakan semata-mata. Perkara sebegini perlu diperhalusi dan diolah sebaik mungkin untuk mengelakkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku. Juga jika ingin menyentuh isu-isu melibatkan sesetengah pihak atau individu tertentu kerana anda perlu bertanggungjawab terhadap apa yang anda tulis atau suarakan. Saya bukan ingin menakut-nakutkan akan tetapi ini realiti dunia hari ini bahawa kita tidak boleh dengan mudah menghentam orang dan kemudian berjalan seperti orang yang tidak bersalah.

Kepada yang menyatakan mahasiswa disekat, ingin saya nyatakan bahawa anda perlu menyahbuangkan sekatan minda yang masih ada dalam kepala saudara mahupun saudari. Dunia telah berubah dan begitu juga sepatutnya anda. AUKU pindaan 2009 telah melibatkan banyak perubahan dan sesetengah perkataan diganti agar maksudnya lebih murni, jelas dan memberi banyak peluang kepada mahasiswa.

Hak-hak mahasiswa dalam AUKU dijamin oleh YB Menteri KPT, Dato Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan mahasiswa boleh menterjemah dan melaksanakan idealisme, aktivisme dan inteletualisme mereka dengan bebas dalam ruang yang telah disediakan. Tidak perlu untuk kita mencipta berbagai-bagai alasan bahawa mahasiswa masih disekat. Pertimbangkan juga bahawa MUNGKIN kita yang menyekat diri sendiri. Fikir-fikirkanlah..

sumber : Muhammad Zaki Omar @ Facebook, 20 Sept 2010


EmoticonEmoticon