Guan Eng Punca Perpecahan Rakyat Malaysia


Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang

Perkembangan mutakhir dalam masyarakat kita begitu mengganggu sambutan hari kemerdekaan tanah air yang diraikan pada 31 Ogos. Isu surau disimbah cat, pemimpin bukan Islam memasuki ruang solat, pengetua sekolah bersikap rasis dan video melampau Namewee adalah sebahagian daripada kejadian yang tidak melambangkan usia kemerdekaan negara yang ke-53.

Berbekalkan semangat cintakan negara dan tanah air, serta menjunjung tinggi kesepakatan pemimpin dahulu sehingga membuahkan nikmat kemerdekaan, saya mengenepikan kebimbangan itu atas nama negara Malaysia yang tercinta. Namun perasaan itu tidak mampu bertahan lebih lama apabila saya terbaca perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seperti yang disiarkan Merdeka Review pada 30 Ogos lalu.

Dalam perutusan itu, Guan Eng secara terbuka mengkritik Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai penipu besar dan sering membuat tohmahan kepada pemimpin parti pembangkang. Akhbar itu turut menyelitkan makna kemerdekaan bagi beliau iaitu hak rakyat tidak dipijak atau ditekan, selain kebebasan rakyat tidak terikat kepada Akta Hasutan 1960 dan Akta Hasutan 1948 serta Akta Percetakan 1984.

Beliau juga berkata kemerdekaan adalah menghindarkan negara daripada gejala rasuah, salah guna kuasa dan penghinaan dalam isu perkauman.

Saya berpendapat sebagai seorang pemimpin yang menjadi contoh kepada masyarakat yang diwakili, Guan Eng perlu mencari isu yang lebih besar sebagai perutusan, apatah lagi jika ia berkaitan dengan sambutan kemerdekaan.

Bukannya menjadikan pihak lain sebagai sasaran dan menyebar kebencian yang sama dalam kalangan pengikutnya. Menyerang Utusan Malaysia dalam perutusan kemerdekaan adalah satu tindakan yang tidak menunjukkan kematangan dan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin. Ia hanya akan menambah kegelisahan dan kebimbangan rakyat terutama masyarakat Cina terhadap kaum Melayu memandangkan akhbar ini mempunyai majoriti pembaca Melayu.

Sebagai seorang pemimpin parti politik, Guan Eng sepatutnya melontarkan idea mengenai bagaimana mengeratkan perpaduan rakyat berbilang kaum yang semakin rapuh hari ini, bukannya mengutuk sebuah akhbar. Agak ironi apabila beliau membuat kutukan itu dalam pada beliau sibuk memperkatakan tentang kebebasan akhbar.

Agaknya, kalau pakatan pembangkang memerintah, maka banyaklah syarikat akhbar perdana yang tidak memihak kepada perjuangan politik pembangkang ditutup.

Sedangkan, kerajaan sekarang tidak berbuat demikian, sebaliknya terus memberi permit kepada akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh pakatan pembangkang.Guan Eng sepatutnya bersyukur kerana kebanyakan orang Melayu tidak boleh membaca akhbar Cina. Jika mereka boleh memahami isi kandungan akhbar- akhbar Cina, saya kira hampir setiap hari orang Melayu akan berdemonstrasi dan membantah akhbar berkenaan di hadapan pejabat mereka. Banyak artikel yang diterbitkan di dalam akhbar Cina begitu rasis serta mengguris hati orang Melayu. Dalam hal itu, apa komen beliau? Setakat yang saya tahu, tiada apa-apa ulasan yang diberi terhadap penerbitan berita dan artikel yang rasis itu.

Jika Guan Eng boleh mempertikaikan peranan Utusan Malaysia dalam soal perpaduan dan kebebasan, maka orang Melayu juga boleh bertanyakan sejauh mana peranan akhbar-akhbar Cina dalam melakukan perkara yang sama.

Ini kerana sepanjang pemerhatian saya, akhbar Cina kurang berminat untuk bercakap soal perpaduan dan menghormati kaum lain. Apa yang lebih diperjuangkan adalah isu-isu kerajaan yang korupsi, bantuan sekolah Cina yang seperti tidak pernah dapat, isu kewarganegaraan yang kononnya sengaja diperketatkan dan beberapa isu lain yang memburuk-burukkan kerajaan.

Kita hanya perlu membaca akhbar Cina dalam tempoh yang singkat untuk mengetahui bahawa tidak ada yang baiknya mengenai negara ini sama ada dari sudut ekonomi, sosial, keselamatan, pendidikan dan pelbagai aspek lain. Kenapa tiada ulasan Guan Eng terhadap hal itu?

Saya kira jika benar Guan Eng dalam perutusan kemerdekaannya bermaksud untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dalam erti kata sebenar, maka beliau sepatutnya menegaskan beberapa perkara kepada kaum Cina. Pertamanya, beliau perlu mengajak seluruh masyarakat Cina bersetuju untuk menutup sekolah satu aliran. Sebaliknya, semua pelajar tanpa mengira kaum perlu belajar di bawah satu bumbung di sekolah kebangsaan. Guan Eng pasti sedar sekolah satu aliran hanya menjarakkan lagi jurang perkauman.

Guan Eng juga perlu mengajak setiap masyarakat Cina menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada dalam pertuturan dan penulisan. Soal berbahasa Melayu dengan baik ini penting kerana ia merupakan bahasa rasmi negara bagi mereka yang mengaku sebagai rakyat Malaysia.

Tidaklah situasi seperti ayam dan itik bercakap seperti yang berlaku dalam masyarakat hari ini berterusan. Guan Eng juga perlu mengajak masyarakat ekonomi Cina untuk membuka peluang perniagaan yang adil kepada peniaga Melayu.

Bukannya hanya memperluas jaringan sesama mereka dan menyekat kemasukan usahawan Melayu dalam beberapa sektor perniagaan. Bukan juga mempersoalkan keistimewaan ekonomi orang Melayu yang sebenarnya tidak pernah pun dimiliki oleh kaum majoriti ini.

Jika Guan Eng boleh menyeru masyarakat Cina ke arah apa yang saya sebutkan tadi, maka beliau berada dalam situasi dan posisi yang selayaknya untuk bercakap mengenai kebebasan, perpaduan dan soal negara bangsa seterusnya menyampaikan perutusan kemerdekaan tanpa perlu mengutuk pihak lain.

ANAK MERDEKA

Bukit Kepong, Johor

sumber : Utusan Malaysia 1/9/2010


EmoticonEmoticon