• USR@Melaka 2010 - Timba Pengalaman Masyarakat Desa


    Ada di Taman Bunga ker? Tidak. Penulis bersama adik angkat, Aniza di Tugu 1Malaysia

    Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai mengikuti program University Social Responsibility (USR)-UTM @ Melaka yang telah berlangsung dari 2 Jun 2010 hingga 6 Jun 2010. Program yang berbentuk khidmat masyarakat ini dijalankan bertujuan bagi memupuk semangat sukarelawan mahasiswa terutama UTM untuk membantu dalam agenda pembangunan seluruh rakyat Malaysia.


    Tag Rasmi Program. Lawa tak?

    Bersesuaian dengan moto "Mahasiswa Agen Transformasi Masyarakat", saya dan juga 91 orang pelajar UTM International Campus telah melakukan beberapa khidmat bakti buat penduduk di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil, Melaka. Antara khidmat bakti yang dijalankan adalah Pemindahan Teknologi yang melibatkan pembinaan wakaf serta Tugu 1Malaysia, Khidmat Bakti Pendidikan yang merangkumi motivasi serta English For Fun dan juga Pembinaan ICT bagi kampung tersebut.


    Mengangkat wakaf milik orang kampung balik ke UTMIC?? Tidak, cuma pindahkan sahaja

    Saya secara langsung terlibat dengan krew pemindahan teknologi dan telah dipertanggungjawabkan untuk membina sebuah wakaf di Dataran Serumpun. Pada mulanya, ia amat mendebarkan oleh kerana saya tidak ada pengalaman membina wakaf dan saya bukanlah belajar tentang pembinaan di UTM ini. Tetapi semangat berpasukan dan ingin belajar membolehkan saya bersama rakan berjaya melaksanakan misi ini selama 3 hari sahaja.

    Drill, jangan tak drill

    Saya tidak menyangka dapat mencuba menggunakan jig saw, circle saw, timbang air dan macam-macam lagi yang kebiasaannya digunakan oleh pelajar kejuruteraan awam dan yang berkait dengannya. Terima kasih kepada Encik Yusmadi, encik Narawi dan Encik Ahmad atas tunjuk ajar yang diberikan. Wakaf yang kami bini berdiri kukuh di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil, Melaka.

    Team Wakaf USR@Melaka yang dipimpin Encik Yusmady

    Sepanjang program ini, saya tinggal bersama keluarga angkat saya. Ibu angkat saya bernama Puan Asiah bt Haji Bachik. Beliau merupakan seorang usahawan kecil-kecilan di kampung itu. Malah, kuih yang dijamu masa hari pembukaan program ini pun dibuat oleh mak angkat saya. Suami beliau Encik Omar Ibrahim. Beliau bekerja bebas dalam kampung tersebut.

    Bersama ibu angkat, Puan Asiah Haji Bachik

    Saya juga berkenalan rapat dengan cucu beliau iaitu Anif, Aniza, Afiqa dan juga Atirah. Anif merupakan pelajar darjah 6 dan tahun ini beliau bakal mengambil peperiksaan UPSR. Afiqah dan Atirah pula kembar dan bersekolah darjah tiga manakala Aniza pula darjah satu.

    dari kiri; Iera, Ieja, Akmal, Saya, Anip dan Ieqa


    Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang 4 hari 3 Malam di Melaka antaranya melawat Ladang Ternakan Rusa, Ladang Herba, Menyusuri Sungai Melaka, Menaiki Menara Taming Sari dan juga melawat sekitar Bandar Hilir Melaka. Melaka juga sedang giat mempromosikan Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai tuan rumah dan kami sempat menyertai larian SUKMA bersama Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam.


    Sesi kembara desa adalah aktiviti yang paling menarik yang saya ikuti. Menyusuri paya, merentas hutan dan juga parit, menongkah semak hutan dan masuk ladang kelapa sawait adalah pengalaman baru bagi saya. Sesi ini juga merapatkan hubungan kami dengan penduduk kampung. Walaupun isinya kurang mantap, tetapi apa yang dilalui cukup menarik.

    Secara kesimpulannya, USR@Melaka berjaya menimbulkan rasa kesedaran kami untuk berbakti kepada masyarakat. Mahasiswa sepatutnya menjadi juara rakyat dan menjadi agen dalam pembangunan negara. Pengalaman selama 4 Hari 3 Malam ini adalah pendedahan yang cukup bermakna terutama dalam pembentukan peribadi saya.

    Ketuk jangan tak ketuk

    Saya ingin mengucapkan tahniah buat krew USR-UTM@Melaka yang diterajui oleh Saudara Wan Hazim dan juga rakan-rakan atas penganjuran program ini. Tidak lupa juga kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UTM International Campus yang diterajui oleh Puan Siti Salamah Muhd Shihab dan Encik Mohd. Sharil Abdullah serta staf atas peluang yang diberikan. Tidak lupa juga buat semua peserta USR@Melaka. Anda semua memang terbaik dari ladang. Terima kasih.

    ~Mahasiswa Agen Transformasi Masyarakat~


    Peserta USR-UTM@Melaka 2010 - Hari Terakhir




  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan