Kualiti Pemikir dari UTM - Satu tapi dapat Perhatian Menteri KPT


KPT Wujudkan Kerangka Integriti Bagi Warga Akademik

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mewujudkan satu kerangka integriti akademik bertujuan memperkukuhkan integriti di kalangan warga akademik khususnya para pensyarah.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerangka integriti itu sedang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi dan Institut Pengajian Tinggi Negara.

"Ia bertujuan menjadikan aspek integriti akademik sebagai suatu kewajipan yang perlu dibangunkan, dijaga dan dipertanggungjawab oleh tenaga akademik," katanya kepada pemberita selepas menutup Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa 2010 dan melancarkan Rakan Integriti Mahasiswa di sini pada Selasa.

Mohamed Khaled berkata kekuatan integriti akademik di kalangan pensyarah amat penting kerana ia akan menjadi rujukan dan ikutan para pelajar sekaligus membantu ke arah pembinaan integriti pelajar.

"Integriti akademik itu akan menjadi garis panduan kepada para pensyarah serta sebagai kayu pengukur kepada orang awam untuk membuat penilaian dan ia dijangka siap dalam tahun ini," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kementerian tidak mempunyai sebarang halangan untuk memberi ruang mahasiswa bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk ahli politik jika ia bertujuan akademik.

"Tetapi kalau datang sengaja untuk mewujudkan kekecohan serta menganggu perpaduan di kalangan pelajar ia memang tidak dibenarkan," katanya.

Mohamed Khaled mengulas mengenai satu daripada 10 resolusi yang dicapai kongres itu iaitu memberikan ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan sama ada dalam atau luar negara bagi mempertingkatkan kematangan berfikir mahasiswa .

-- BERNAMA

** Resolusi yang digelapkan itu telah dikemukakan saya sendiri ketika Kongres Integriti Pemimpin Mahasiswa yang telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre, pada 11 Mei 2010.


EmoticonEmoticon