• Luahan Seorang Pemerhati Muda

    Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia..

    Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerna masih lagi bernyawa dan dapat lagi menulis dan belajar dalam facebook dan juga UTMKL. Hari ini secara tiba-tiba terlintas dalam minda saya untuk menulis dalam notes. Entahlah, tidak tahu pula apa mimpi saya untuk menulis panjang-panjang, tapi saya rasa ada banyak perkara yang perlu saya luahkan. Mungkin luahan perasaan, atau mungkin meluahkan rasa penat yang telah bersarang dalam badan ini selamanya.

    Semester dua ini mengajar saya erti penat tahap maksimum. Saya terpaksa buat banyak perkara dalam satu masa. Bayangkan, dalam masa kita menjalankan tugas sebagai pelajar UTM, tanggungjawab yang telah diberikan dalam kolej, bekerja pada hujung minggu dan juga memenuhi keperluan keluarga.

    Bagi mereka yang memerhati dari jauh, tidak merasai apa yg ditanggung oleh saya, yang mereka tahu hanya mongomel anak emak dan bermacam-macam lagi, tetapi bila tiada wang, sibuk telefon mak ayah untuk bank-in duit dalam bank.

    Menjadi seorang mahasiswa bagi saya, walaupun pada hakikatnya rumah saya tidaklah jauh mana dari kolej, perlulah hidup berdikari, bersederhana dan juga tidak bergantung harap kepada sesiapa. Bukan menunjukkan bahawa diri saya bagus, tidak sama sekali, tetapi pabila melihat ada rakan-rakan melencong jauh, rasa amat sedih dan saya mendoakan kembali ke pangkal jalan.

    Sebagai mahasiswa, kita perlu sedar dunia sekarang lebih komplex, lebih mencabar dan lebih dinamik. Hanya orang yang mempunyai daya usaha untuk berjaya sahaja yang akan hidup bahagia dalam dunia. Berjaya bukan bermaksud dapat 4 flat ataupun mendapat penghargaan tertinggi daripada seseorang, tetapi berjaya menyeimbangkan perkara duniawi dan juga ukhrawi dengan cemerlang.

    Rata-rata mahasiswa kini mudah melatah pabila dilanda musibah dan cabaran. Musibah dan cabaran datangnya untuk mengajar kita menjadi lebih kuat dan juga lebih matang. Kadang kala, ia datang membawa satu pelajaran yang sememangnya tiada dalam buku teks mana-mana sekolah atau universiti dalam dunia. Oleh yang demikian, kita seharusnya membina daya mental yang kuat bagi mengharungi masa yang kita tidak tahu nasib kita di mana dan bersyukur dengan ujian yang diberikan di atas sana kerna daripada masalah itulah kita akan lebih berdaya kuat menghadapi cabaran mendatang.

    Hari ini, saya sekali lagi berbasikal pergi ke kampus. Saya berbasikal melalui jalan yang baru dibuka di belakang KSJ. Penat rasanya berbasikal ke kampus kerana jalannya yang berbukit, tambahan pula berhujan. Sesampai sahaja di KSJ, basah kuyup. Sepanjang perjalanan saya diketawakan dengan mahasiswa KSJ yang bermotor. Mereka memandang pelik dengan gelagat saya berbasikal. Bagi saya, tidak mengapalah, saya bersyukur kerana saya masih lagi berkenderaan untuk ke kampus. Tambahan pula, basikal yang saya naiki itu adalah titik peluh saya semasa bekerja cuti sekolah yang lepas. Saya amat menghargai basikal merah saya itu.

    Saya tertanya-tanya bagi mereka yang suka mentertawakan orang tadi, apakah cukup baguskah mereka menggelakkan orang? Apakah hina sangat orang yang mempunyai kemudahan yang kurang daripada mereka? Dan soalan yang paling menarik untuk ditanya, adakah kemudahan yang mereka gunakan menggunakan duit mereka 100%? Jika ya, alhamdulillah. Jika tidak, anda sebenarnya tidak layak mentertawakan orang yang punyai kekurangan daripada mereka tetapi sepatutnya anda patut rasa malu dengan mereka kerana mendapatkan sesuatu bukan atas hasil usaha sendiri.

    Bagi saya, biarlah orang nampak saya miskin dan hina asalkan saya senantiasa merendah diri dan berlaku adil kepada semua orang. Kadang kala, saya mengakui sikap saya amat menjengkelkan, dan saya cuba berubah ke arah yang lebih positif, tetapi keadaan sekeliling pula yang membantutkan saya ke arah itu. Itu tidak bermakna setiap kesalahan yang berlaku di sekitar saya harus disandarkan pada bahu saya, tetapi haruslah di selidik di mana puncanya, bukannya dituduh secara melulu dan serkap jarang.

    Bagi mereka yang melepaskan tanggungjawab mereka dengan mudah, ingatlah, Allah itu maha adil. Maka Dia yang menghitung amal setiap hambanya. Malah Allah menjanjikan pertimbangan yang sama rata di akhirat kelak. Kata-kata JF Kennedy ada benarnya, Jangan bertanya apa yang negara buat kepada kamu, tetapi bertanya apa yang kamu buat pada negara. Seharusnya, bersikap proaktiflah dalam berpersatuan dan berorganisasi, bukan terlampau taksub belajar sehingga tidak mengetahui apa yang berlaku disekeliling kita.

    Inilah masalah utama yang dikenal pasti dalam mahasiswa di Malaysia dan punca utama mengapa mereka gagal mendapat pekerjaan dalam pasaran negara kita. Majikan di negara kita hanya mencari yang terbaik dalam kalangan kita, itu bukan bermakna yang terbaik adalah mereka yang mendapat 4 flat dalam peperiksaan, tetapi kemampuan mereka melaksanakan tugasan yang diberi, dalam pelbagai situasi dan juga cabarannya. Mahasiswa yang pandai makin bertambah, tetapi mahasiswa yang flexible, seimbang dan juga dinamik payah ditemui seumpama mencari sebutir mutiara dalam lautan yang luas.

    Saya menyeru kepada sesiapa yang membaca luahan hati ini, agar bersama-sama saya untuk berubah menjadi lebih baik. Seperti dalam hadis Nabi SAW, barangsiapa yang hari ini lebih baik dari semalam, maka dia adalah orang-orang dirahmati, barang siapa yang hari ini sama seperti semalam, maka dia adalah orang yang rugi, dan barangsiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam, maka celakalah dia.Saya tidak pinta wang ringgit ataupun populariti untuk saya, tetapi ianya sebagai perkongsian ilmu daripada hamba yang hina dina ini.

    Bagi yang berorganisasi dan mempunyai amanah masing-masing, daripada pelbagai peringkat, jalankanlah amanah itu dengan sebaiknya. Bagi yang dikurniakan nikmat, bersyukurlah kerana nikmat itu datangnya daripada Allah SWT dan dan bagi yang punyai masalah, usahlah merungut dan mengomel, kerana masalah itulah yang mengajar kita menjadi manusia.

    Sekian, Terima Kasih.
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan