• Sekolah Terbilang: Ke mercu kecemerlangan

    PELAJAR SMT KL bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas menerima Anugerah Inovasi Negara 2007.


    Misi SMT Kuala Lumpur sedia pendidikan teknikal bermutu, lahir teknokrat kelas pertama

    SEJAK penubuhannya 82 tahun lalu, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Kuala Lumpur berjaya melakar pelbagai kegemilangan dan tradisi kecemerlangan itu berkekalan sehingga kini.

    Pencapaian akademik SMT tertua itu sentiasa berada di tiga tempat teratas di kalangan 90 SMT seluruh negara terutama dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain berjaya mengekalkan pencapaian gred purata sekolah (GPS) cemerlang yang ditetapkan Kementerian Pelajaran bagi SMT iaitu tidak lebih 4.00.

    SMT Kuala Lumpur kerap mengungguli kejohanan sukan, kegiatan badan beruniform, inovasi dan reka cipta di antara SMT serta peringkat kebangsaan.

    Justeru, tidak hairan sekolah aliran teknik sepenuhnya yang terletak di Cheras itu menjadi pilihan lepasan Penilaian Menengah Rendah hingga permohonan kemasukannya mencatat lebihan 500 peratus daripada tempat yang disediakan iaitu kira-kira 330 setahun.

    Pencapaian membanggakan itu juga membuatkan ia satu-satunya SMT terpilih sebagai sekolah kluster kumpulan kedua diumumkan tahun lalu, sekali gus menjadikan SMT ketiga diberi status berkenaan, selain SMT Tuanku Jaafar, Seremban dan SMT Tawau.

    Pengetuanya, Hamsi Jamhari, berkata bagi memastikan usaha pemacuan kecemerlangan sekolah berkenaan dilaksanakan sejajar keperluan semasa, visinya kini diubah kepada ‘SMT KL di Mercu Kecemerlangan’, manakala misi baru ditetapkan sebagai ‘Menyediakan Asas Pendidikan Teknikal Berkualiti Kepada Pelajar Untuk Melahirkan Teknokrat Kelas Pertama Selaras Aspirasi Negara’.


    Beliau berkata, tiga bidang kebitaraan ditetapkan sebagai fokus melonjak pencapaian sekolah iaitu Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PKE) bagi bidang akademik, pasukan kadet bomba (badan beruniform) serta bola jaring (sukan).

    “Langkah pertama yang kami lakukan setelah meraih status sekolah kluster adalah mengubah visi dan misi sekolah supaya ia selari dengan usaha pemacuan kecemerlangan yang akan dilaksanakan dan upacara khas pelancarannya dilaksanakan tahun lalu bagi memastikan setiap warga sekolah peka mengenainya serta menyumbang untuk mencapainya.

    “Ketika ini, kami di dalam fasa melengkapkan keperluan dan kemudahan tiga bidang kebitaraan yang ditetapkan menggunakan peruntukan diberikan Kementerian Pelajaran iaitu RM200,000 bagi PKE serta RM150,000 masing-masing bagi kadet bomba serta bola jaring,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Hamsi berkata, PKE diberi fokus kerana SMT KL berhasrat menjadi sekolah ‘showcase’ bagi subjek berkenaan termasuk aspek infrastruktur, alat bantu mengajar serta modul pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.

    Beliau berkata, pencapaian cemerlang sekolah dalam subjek berkenaan menyediakan landasan kukuh bagi memajukannya hingga dijadikan rujukan SMT lain.

    “Gred purata mata pelajaran PKE SMT KL sejak tiga tahun lalu berada di tahap cemerlang iaitu di antara 2.2 hingga 2.3 dan kejayaan sekolah dalam pertandingan inovasi dan reka cipta juga berasaskan kepakaran pelajar bidang itu.

    “Sebagai contoh, pada 2007 pasukan SMT KL memenangi Anugerah Inovasi Negara (Sekolah Menengah) kerana kejayaan pelajar PKE mencipta jaket keselamatan bagi penunggang motosikal dan pelajar jurusan sama memenangi pertandingan F1 In School kategori Pasukan Terbaik Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan serta Pemasaran dan Penajaan,” katanya.

    Bagi memantapkan pasukan kadet bomba, katanya, khidmat jurulatih Balai Bomba berhampiran dimanfaatkan, selain mendedahkan pasukan beruniform itu kepada pertandingan peringkat antarabangsa supaya kejayaan lebih tinggi dicapai berbanding pencapaian terbaik setakat ini iaitu johan keseluruhan Pertandingan Antara Balai 2007.

    Sementara itu, katanya, usaha menaik taraf padang latihan serta mendapatkan khidmat jurulatih Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Bukit Jalil antara usaha dijalankan bagi memantapkan mutu pasukan bola jaring sekolah berkenaan.

    “Kejayaan pasukan bola jaring sekolah ini cukup membanggakan terutama dalam Kejohanan Antara Teknik iaitu sembilan kali johan peringkat zon dan enam kali johan peringkat kebangsaan bagi tempoh 1998 hingga 2006.

    “Peruntukan khas sekolah kluster ini membolehkan kami meluaskan penyertaan pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa termasuk di Singapura dalam masa terdekat,” katanya.

    INFO: SMT Kuala Lumpur

    • Ditubuhkan pada 1926 di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur sebagai The Federated Malay State Trade School bagi melatih juruteknik

    • Berpindah ke Jalan Yaacob Latiff, Kuala Lumpur sejak 1962 dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur sehingga kini.

    • Pelajar Tingkatan Empat dan Lima sahaja dalam empat jurusan pengajian iaitu Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Perdagangan.

    • Tiga bidang kebitaraan iaitu Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kadet Bomba dan Bola Jaring.
    ehsan : Berita Harian, 21 Januari 2009
  • You might also like

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan