Cerita dongeng ini mengambil tempat di Windsor Farm, ladang yang asalnya diuruskan oleh manusia kemudiannya ditinggalkan. Akhirnya, haiwan ternakan di ladang tersebut mengambil alih pengurusan ladang tersebut yang dipelopori oleh JP dan kemudiannya Marcus, bapa kepada Deirdre. Marcus yang terlalu tua untuk menguruskan ladang itu, menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Deirdre untuk menguruskan ladang itu.
Bagi memastikan Windsor Farm sentiasa relavan dengan perkembangan semasa, Deirdre mencari jalan untuk mewujudkan rancangan perniagaan baharu untuk ladang ini. Memandangkan ladang-ladang yang lain semakin maju terutamanya ladang yang diuruskan manusia yang kaya dengan teknologi canggih, Deirdre dan pasukan perlu tampil dengan idea yang lebih segar untuk memastikan Windsor Farm terus maju bagi mengelakkan ladang itu daripada terpaksa dijual kepada pihak lain.
Melalui pertandingan Big Idea Hunt yang dianjurkan oleh Deirdre, beberapa idea yang menarik telah dibentangkan oleh kumpulan haiwan mengenai idea bisnes baharu mereka. Stella, yang baru pulang daripada Peru juga turut membentangkan ideanya mengenai pengeluaran pengeluaran bulu berkualiti tinggi daripada binatang Alpaca (sejenis binatang seperti unta yang terdapat di Peru).
Pelbagai cabaran yang akan dihadapi oleh pengurusan untuk melaksanakan idea baharu di Windsor Farm. Persoalan-persolan berikut akan bermain di minda pembaca sepanjang pembacaan buku ini.
Bagaimanakan mereka mengatasi cabaran tersebut?
Apakah usaha Deirdre untuk memastikan Windsor Farm terus relevan dan maju?
Bagaimanakan penerimaan kepimpinan ladang sedia ada mengenai idea baru tersebut?
Apakah menguruskan idea itu memerlukan kayu ukur yang sama seperti perkara yang sedia ada?
Siapakah yang akan tampil dengan idea-idea bernas untuk menyelamatkan projek yang diusahakan Windsor Farm?
Persoalan tersebut dijawab dengan gaya penceritaan yang cukup santai dalam cerita dongeng ini.
Buku setebal 159 muka surat ini berjaya dihabiskan saya dalam pembacaan selama 4 jam sahaja kerana jalan ceritanya cukup mengujakan, menarik dan tidak membosankan. Ternyata, cerita dongeng adalah penceritaan yang cukup berkuasa untuk menyampaikan maklumat dan nilai-nilai moral kepada semua lapisan masyarakat.
Saya amat menggalakkan mereka yang terlibat dalam bidang kejuruteraan, pengurusan dan perniagaan membaca buku ini. Malah, buku ini sebenarnya telah diiktiraf buku yang terbaik untuk pekerja memahami bagaimana untuk mengendalikan proses berkaitan inovasi dalam organisasi.
Terima kasih buat Encik Mohd Sharil Abdullah, Ketua Pelajar Malaysia di Belanda atas cadangan pembacaan buku ini kepada saya. Selamat membaca.
P/s : Buku ini boleh didapati di kedai buku utama di Malaysia seperti Kinokunya dan MPH dengan harga RM40 terbitan Penerbit Pan Mac Millan, UK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan