Maulidur Rasul Manifestasi Kecintaan Siswa Terhadap Junjungan Besar SAW

Jawatankuasa Kediaman Siswa Jaya, UTM International Campus, KL telah menganjurkan Festival Maulidur Rasul Kediaman Siswa Jaya 1432H pada 19 Februari 2011 bertempat di Kediaman Siswa Jaya, UTM International Campus bersempena Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Majlis perasmian festival telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa. Lebih manis, program ini telah diterajui gerak kerjanya oleh saya sendiri dan juga dibantu MT JKM dan juga Jabatan Kerohanian dan Sosial JKM KSJ, bersama-sama Jabatan-Jabatan dan juga Jawatankuasa Blok JKM KSJ.

Tuan Pemangku Pengetua, Encik Mohd Sharil Abdullah menyampaikan cenderamata kepada Yang Berhormat Dato' Seri Haji Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa.


Al-Fadhil Ustaz Khairi Al-Hafiz sedang menyampaikan ceramahnya yang bertajuk, "Nabi Muhammad Pelita Sepanjang Zaman"

Mahasiswa sedang berarak dengan kreativiti masing-masing. Tertera digambar Pasukan QS Bina-MPM 09/10 dengan pakaian baju batik UTMKL dan berjaya merangkul sebagai Johan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Setiawangsa.

Bertemakan “Nabi Muhammad...Manifestasi Kecemerlangan dan Keunggulan Ummah”, tujuan festival ini dianjurkan adalah sebagai platform buat mahasiswa untuk lebih mengenali Nabi Muhammad SAW dalam majlis keilmuan seperti ini dan juga sebagai satu ruang mengekspresi kecintaan mereka terhadap Rasulullah SAW.


Pasukan Nasyid UTMIC, Shababul Iman sedang beraksi semasa Pertandingan Nasyid Terbuka Kediaman Siswa Jaya dan mendapat tempat Naib Juara. Juara disandang oleh Kumpulan Nasyid SMK Sungai Pusu, Gombak dan Ketika, Kumpulan Nasyid QS Bina.

Program sepanjang hari di Perkarangan Kediaman Siswa Jaya disokong penuh oleh Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa UTMIC, Pusat Islam UTMIC, Pejabat Harta Bina UTMIC, Pusat Perkhidmatan Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa, Kediaman Siswa Semarak dan Persatuan-Persatuan Mahasiswa UTMIC.

Forum "Rasulullah Teras Kekuatan Formasi Kekuatan Ummah" yang dipengerusikan Al-Fadhil Ustaz Hambali Rasyid (Pusat Islam UTMIC)-Tengah, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Zuhdi (UIAM)-Kiri dan Encik Imran Koyube (iluvislam)-Kanan.

Antara pengisian yang telah berlangsung dengan jayanya adalah Perarakan Maulidur Rasul di mana sebanyak 15 kontinjen persatuan Mahasiswa UTMIC mengambil bahagian dan bersama-sama berarak dengan rakyat Parlimen Setiawangsa, Ceramah Maulidur Rasul oleh Al-Fadhil Ustaz Khairi Al-Hafiz, Pertandingan Nasyid Terbuka Kediaman Siswa Jaya, Persembahan Rebana dari Kumpulan Rebana Sri Perak, Petaling Jaya, Selangor, Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana dan Forum Maulidur Rasul “Peribadi Rasulullah Teras Formasi Kekuatan Ummah” yang telah dipengerusikan Al-Fadhil Ustaz Mohd. Hambali Rashid (Pusat Islam UTMIC) bersama ahli panel yang dijemput khas iaitu Al-Fadhil Ustaz Abdullah Zuhdi (UIAM) dan Encik Imran Koyube (iluvislam).

Keunikan sambutan Maulidur Rasul KSJ kali ini adalah acara Kenduri Sekampung di mana sebanyak dua ekor lembu dimasak secara bergotong-royong oleh warga UTM IC sendiri yang terdiri daripada staf UTM, mahasiswa tempatan dan antarabangsa, felo KSJ dan KSS dan tidak ketinggalan masyarakat setempat.

Sesungguhnya, penganjuran Festival Maulidur Rasul Kediaman Siswa Jaya telah berjaya membuka satu dimensi baru hubungan ukhwah antara warga KSJ, UTM IC dan masyarakat Parlimen Setiawangsa amnya dalam menzahirkan manifestasi kecintaan terhadap seorang insan agung bernama Nabi Muhammad SAW dalam menuju kecemerlangan ummah.

Candid Maulud Nabi SAW

Tanggang Bukti Mustajab Doa si Ibu


Nasi Sudah Menjadi Bubur - Sujud ampun tidak diterima ketika azab tuhan telahpun melanda, bala akibat derhaka pada ibu sendiri.

Masyarakat Nusantara sememangnya kaya dengan cerita-cerita dongeng dan lisan yang mampu memberikan pengajaran yang terbaik buat generasi muda Nusantara. Sejak kecil lagi, kita telah disajikan dengan kisah-kisah dongeng sang Kancil dan Buaya, Kisah Kura-Kura dan Arnab dan tidak kurang juga kisah-kisah berat seperti Si Tanggang dan Batu Belah Batu Bertangkup. Pada nukialan kali ini, saya ingin berkongsi bersama rakan blogger mengenai kisah si anak yang menderhaka kepada ibunya, yakni kisah lagenda Si Tanggang. Kisah ini juga mempernyai beberapa versi iaitu di Brunei yang dikenali Nakhoda Manis dan di Indonesia iaitu Malin Kundang.

Gambar Malin Kundang yang telah disumpah menjadi batu oleh ibunya di Sumatera, Indonesia. Inilah bukti kukuh wujudnya kisah Tanggang@Malin Kundang@Nakhoda Manis di Nusantara.

Tanggang ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya, dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.

Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955 . Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.

Kisah ini lebih awal lagi telah dirakamkan pada 1900 dalam buku Malay Magic yang ditulis oleh Walter William Skeat sebagai satu cerita rakyat berjudul Charitra Megat Sajobang dalam buku Malay Magic (1900) ms 54-55 dicetak oleh The Macmillan Company : New York, yang diceritakan oleh orang Melayu Selangor Ulu Klang. Ia jelas membuktikan bahawa ia telahpun menjadi kisah rakyat pada akhir 1800-an lagi di Selangor.

Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: jangan derhaka kepada orang tua. Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.

Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.

Trilogi Ceritera Tanggang@Nakhoda Manis@Malin Kundang

Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.

Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.

Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, akan tetapi dia berpura-pura tidak kenal mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi dia mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.

Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.

Kesimpulan

Sebagai seorang anak, kita haruslah menghormati ibu ayah kita. Tidak kiralah sejauh mana kita berjaya sekalipun, jasa ibu ayah masih tidak dapat menandingi sumbangan yang kita beri apabila sudah berjaya. Sama ada cerita ini benar ataupun dongeng, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT memakbulkan doa ibu ayah dengan mustajab. Faktornya;

1. Ibu dan ayah adalah orang yang membesarkan si anak

2. Kerana doa orang yang teranaiya.

Seharusnya, apabila kita menghayati kembali kisah si Tanggang ini, kita hendaklah bermuhasabah diri, apakah kita ini tergolong dalam golongan si Tanggang? Sebagai mahasiswa, ingatlah bahawa kita pergi ke IPT adalah untuk menuntut ilmu dan membela nasib keluarga di kemudian hari, bukannya untuk bersuka ria dan bersenang-lenang.

Cerita si Tanggang adalah satu cerita lama yang diturunkan daripada penceritaan lisan oleh nenek moyang kita. Walaupun cerita ini boleh dikategorikan antik ataupun klasik, tetapi nilainya tetap segar dan releven untuk tatapan generasi kini dan juga akan datang.

Salam bermuhasabah.

Lamanya tidak berbicara di sini....

Bismillahirrahmannirrahim...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang menciptakan alam yang serba indah ini. Alhamdulillah, kita masih lagi dapat menarik nafas segar dan juga melaksanakan segala urusan yang sudah teratur buat kita (bagi yang sesiapa ada jadual la...). Wah, sudah lama juga saya tidak menulis di blog. Agak la. Kali terakhir saya menulis pada 13 Disember 2010, selepas saya mengikuti Program UTM Advance Leadership Programme di mana saya memaparkan kisah orang Asli kita yang perlukan perhatian daripada pihak Kerajaan.

Saya memohon maaf kepada rakan-rakan blogger kerana dah lama tidak menjenguk anda semua. Maklumlah, sejak sahaja memegang jawatan dalam kolej, saya agak kesuntukan waktu untuk berblogging. Ya Allah, permudahkanlah urusan saya selepas ini. (Amin).

Baiklah, saya cerita serba sedikit apa yang berlaku sepanjang dua purnama kehilangan saya dalam dunia blogger ini. Satu perjalanan yang sangat mencabar dan juga ekstrem bagi saya. Maklumlah, jika dahulu tanggungjawab kecil sahaja, kini makin besar. Ibarat seorang pengemudi sampan dipilih menjadi ketua kapal titanic. Berikut adalah trilogi yang berlaku dalam diari saya..


27-30 Disember 2010 - Kursus Pemantapan JKM KSJ@ Kediaman Siswa Jaya & Pusat Latihan LKIM Sepang



Kursus sepanjang 3 hari 2 malam yang agak padat dengan modul-modul bagi melatih pimpinan baru JKM KSJ. Hanya 4 orang sahaja JKM KSJ yang lama menyertai organisasi tahun 2011/2012 iaitu saya, Nurhafizah Suib, Ahmad Faiz dan Muhamad Shahid Suhaimi. Apa yang menariknya tahun ini, bilangan ahli JKM KSJ hanya ada 30 orang sahaja, kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pemilihan MT dibuat dan berikut adalah senarai MT JKM KSJ

Presiden : Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
Timb. Presiden : Muhammad Effendi
Setiausaha : Nurhafizah Suib
Timb. Setiausaha : Anis Najihah Abu Samah
Bendahari : Nor Shazliana

Sepatutnya kursus sehingga 31 Disember, tetapi saya habiskan awal dan kemudiannya mengikuti UTM Leading Change Programme.


31 Disember 2011-2 Januari 2011-UTM Leading Change Programme

Satu program yang sangat mencabar. Selepas melalui program yang hampir sama untuk Advance Leadership Programme (ALP), kini laluannya beralih ke sebelah utara pula. Berikut adalah laluan bagi LCP

KL>>Ipoh>>Medan Gopeng>>Kepala Batas>>Butterworth>>Georgetown>>Kuala Lumpur

Saya telah menjadi fasilitator untuk kumpulan yang dianggotai oleh 4 orang rakan saya iaitu Lokman Sahani, Firdaus Razak, Shahmi dan Aishah. Kumpulan kami berjaya menamatkan program walaupun perniagaan kami rugi RM30++ sahaja. Walau bagaimanapun, ia adalah satu usaha yang baik.


3 Januari 2011 - Mengendalikan Mesyuarat Pertama JKM KSJ

Saya telah mengendalikan mesyuarat pertama JKM KSJ. Hala tuju, wawasan dan juga matlamat ditetapkan. Moto pada tahun ini adalah "Memperkasakan Mahasiswa" berasaskan Dasar Pembangunan Mahasiswa UTM.

19 Januari 2011 - UTM Talent Management I @ Dewan Jumaah

Saya telah menyertai untuk mendengar ceramah mengenai bersama Encik Arif Adenan, Setiausaha Sulit Menteri KPT mengenai kepentingan Pembangunan Talent Mahasiswa. Ketika ini, hangat mengenai isu Pilihanraya di Dun Tenang yang akhirnya dimenangi oleh BN.





22 Januari 2011 - Family Day Temmasya'10


Kerja keras dihargai! Begitulah penghargaan yang diberikan oleh warga gerak kerja tertinggi Temmasya '10 kepada anak buah program Hari Terbuka tahunan KSJ kali ini. Dianjurkan di Sungai Congkak, Selangor, program yang berbentuk santai dan rileks ini menghiburkan semua warga kerja Temmasya'10 yang bertungkus lumus menjayakan Temmasya'10 pada Ogos lepas.






23 Januari 2011 - Program Jom Ganyang Aedes

Sedih. Personaliti dan VVIP dah turun, tetapi tiada yang turun untuk program ini. Malah, nama besar Aznil Haji Nawawi seolah-olah seperti tiada aura di sini. Walau bagaimanapun, program tetap dijalankan dengan jayanya. Memang profesional habis Pak Nil, siap bagi hadiah RM100 untuk peraduan siapa cakap paling laju. Cayalah Pak Nil. Kemudian, Pak Nil meluangkan masa untuk melawat bilik kediaman mahasiswa.



25 Januari 2011 - UTM Talent Management II

Efisensi peserta LCP dan ALP dibuktikan dengan berjaya menarik mahasiswa lain memenuhi program ini dengan jayanya. Ceramah "Global Player-Malaysia is Not Our Boundary" telah disampaikan oleh CEO Yayasan Pelajaran Mara, Encik Syariff Hamid di Dewan Jumaah UTMIC. Pada malamnya, selepas program ini, saya berjumpa dengan Encik sharil untuk memohon kelulusan Festival Maulidur Rasul. Program diluluskan untuk gerak kerja sahaja.


26 Januari 2011 - Malam Muktamar PMI

Kesedaran untuk perlunya Persatuan-Persatuan Mahasiswa UTMIC bersatu hati untuk menangani isu sahsiah remaja dan kerjasama dalam program dibangkitkan. Dari sinilah JKM KSJ mengintai hasrat itu untuk aplikasikan dalam Program Festival Maulidur Rasul KSJ 1432.


27 Januari 2011 - Pengumuman Persaraan Tuan Pengetua KSJ- Encik Noh.

Sebak. Itulah perasaan saya apabila Encik Noh Muhamad Adlan menyatakan beliau sudah pasti untuk bersara apabila borang persaraan beliau telah diterima oleh Yang Berbahagia TNC HEMA UTM. Apa boleh buat, dah itu kehendak beliau, dan saya doakan yang terabik untuknya.


31 Januari 2011 - Encik Noh Punch Out kali terakhir sebelum bersara selaku Pengetua KSJ

Tepat jam 5 petang, saya berdiri di hadapan pintu Pejabat Blok A dan mengucapkan Tahniah kepada beliau kerana berjaya mengharungi tempoh 4 tahun yang cemerlang selaku Tuan Pengetua KSJ. Beliau kelihatan gembira dan dalam masa yang sama, gusar juga yob...Walau bagaimanapun, terima kasih Encik Noh atas sumbang bakti yang ditaburkan.



2 Februari 2011 - Pelancaran Biasiswa Endownment UTM

UTM mencipta sejarahnya tersendiri apabila memperkenalkan Biasiswa endownment untuk diberikan kepada mahasiswa UTM yang cemerlang diperingkat Sarjana Muda dengan nilai biasiswa RM10000 tanpa sebarang kontrak bekerja.


5 Februari 2011 - Konvensyen JKM KSJ 2011




Buat pertama kalinya dalam sejarah JKM KSJ, Konvensyen JKM KSJ diadakan bagi membincangkan Pelan transformasi JKM KSJ yang telah diusulkan oleh Yang Berusaha Tuan Pemangku Pengetua, Encik Mohd Sharil Abdullah serta berbincang beberapa tataetika JKM KSJ yang akan digunapakai pada Mac akan datang.


12 Februari 2011 - Simposium Dilemma Melayu @ PWTC

Buku yang pernah mencetuskan kontroversi pada zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman diperdebatkan kembali menurut persepektif orang muda. Anjuran Alumni Aspirasi Malaysia yang diketuai oleh Encik Shahar Abdullah, Presiden Alumni Aspirasi.


16 Februari 2011 - Majlis Penghargaan Encik Noh Muhamad Adlan

Satu majlis yang penuh rasa kekelurgaan bagi menghargai jasa dan khidmat bakti Tuan Mantan Pengetua, Encik Noh Muhamad Adlan Mohd Noh di Foyer Blok B, Kediaman Siswa Jaya, UTM IC. Semua warga JKM KSJ lama dan baru serta pelajar antarabangsa turun bagi meraikan beliau dalam majlis ini.


19 Februari 2011 - Festival Maulidur Rasul Kediaman Siswa Jaya 2011

Sebuah majlis yang sangat signifikan dalam Kediaman Siswa Jaya. Hampir 1000 orang memenuhi Festival ini. Majlis Persamian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa dan mendapat liputan TV al-Hijrah. Program ini adalah titik tolak kepada manifestasi perancangan yang diusulkan pada Malam Muktamar PMI, gabungan semua persatuan siswa dalam satu program.







Wah, padat sungguh program saya. Tidak hairanlah kenapa saya tertidur dalam kuliah. Ayuh Idham, harus fokus... Belajar itu utama. Itu sahaja buat masa ini, nanti saya akan kongsikan lagi pengalaman saya bersama semua. Terima kasih.